SDI 1607: Beberapa Soalan Tentang Fidyah Puasa

Soalan:

Assalamualaikum, nama saya ***** ***** dari Selangor.

Saya dulunya agak lalai dan meninggalkan solat serta puasa. Sekarang saya sedang berusaha untuk berubah. Dari apa yang saya belajar, solat yang sengaja saya tinggalkan dulu tidak perlu diganti manakala puasa yang sengaja ditinggalkan perlu diganti. Saya membuat anggaran bahawa saya perlu menggantikan puasa sebanyak tempoh 5 tahun, (5 * 30) = 150 hari. Alhamdulillah saya dah ganti sebanyak lebih kurang 30 hari.

Persoalan saya ialah:

1. Betulkah anggaran saya untuk menggantikan puasa sebanyak tempoh 5 tahun itu?

2. Bagaimana untuk menentukan jumlah fidyah yang saya perlu bayar? Adakah perlu digandakan fidyah yang lambat dibayar?

3. Bilakah saya perlu membayar fidyah tersebut? Bolehkah saya membayar selepas berjaya ganti kesemua 150 hari?

4. Kepada siapakah fidyah tersebut?

Terima kasih.

 

Jawapan:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Di bawah ini adalah jawapan untuk persoalan yang diajukan:

  1. Ganti puasa yang anda lakukan itu berdasarkan pandangan majoriti ulama. Cara gantinya adalah seperti yang anda lakukan. Kekal dengan pandangan majoriti ulama ini adalah satu tindakan yang lebih berhati-hati dan terpuji.

 

  1. Ada diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat yang berpandangan sesiapa yang melewatkan qadha puasa Ramadhan tanpa keuzuran yang dibenarkan, perlu mengeluarkan fidyah sebagai kaffarah atas kesalahan sengaja melewatkannya.

 

Namun terdapat pandangan lain, iaitulah dari al-Nakhai‘e, Abu Hanifah dan sahabatnya yang berpendapat sesiapa yang meninggalkan pauasa Ramadhan sama ada disebabkan keuzuran atau tanpa keuzuran, wajib ke atasnya melakukan qadha puasa sahaja tanpa perlu mengeluarkan fidyah. Inilah pandangan yang ditarjihkan oleh Siddiq Hasan Khan RH dalam al-Raudhah al-Nadiyyah kerana tidak terdapat bukti dari Nabi SAW yang mewajibkannya. Bukti yang ada adalah dari perkataan beberapa sahabat.

 

Kata Dr. Yususf al-Qaradhawi RH dalam Mausu ‘ah al-A’mal al-Kamilah 15/84: “Daku berpandangan mengambil pandangan yang datang dari sahabat (perlu mengeluarkan fidyah) dalam bentuk sunat, bukan wajib. Ia termasuk dalam kumpulan menampung kekurangan (kerana cuai dari segera melaaksanakan qadha puasa) dengan mengeluarkan sedekah. Ia perkara yang digalakkan. Adapun untuk mengatakan hukumnya wajib, memerlukan teks dari Nabi yang maksum, namun teks (mewajibkan itu) tiada.”

 

  1. Fidyah boleh dikeluarkan di penghujung Ramadan dengan cara membuat jamuan kepada orang miskin muslim menurut jumlah hari puasa yang ditinggalkan.

 

  1. Fidyah dikeluarkan kepada orang miskin beragama Islam.

 


Cetak  
Wallahu a'lam