SDI 1617: Hukum Terbersin Ketika Membaca al-Fatihah Dalam Solat

Soalan:

ustaz, semasa di dalam solat seseorang tu lepas baca satu ayat di dalam surah al fatihah dia terbersin2 dalam tempoh yang agak lama, apakah lepas dia dah berhenti bersin dia teruskan sambung ayat yang seterusnya atau dia kena ulang balik baca surah al fatihah dari awal ayat..

Jawapan:

Semata-mata bersin tidak memutuskan muwalah dalam membaca surah al-Fatihah. Oleh itu tidak perlu memulakan bacaan al-Fatihah dari mula apabila terbersin beberapa kali. Namun jika berhenti yang terlalu lama, sehingga berlaku pemisahan yang lama antara satu ayat dengan ayat lain, maka hendaklah dimulakan bacaan al-Fatihah dari awal.

Ulama mazhab Syafi‘e mensyaratkan bacaan al-Fatihah perlu dibaca secara tertib, iatulah memulakan bacaannya dengan ayat pertama, kedua sehingga ke tujuh. Demikian juga hendaklah setiap ayat al-Fatihah dibaca secara muwalah atau berterusan dan bersambungan antara satu ayat dengan ayat yang berikutnya. Perkara ini terkandung dalam tuntutan menunaikan solat seperti yang ditunaikan oleh Nabi SAW dalam sabda baginda: صلوا كما رأيتموني أصلي maksudnya: “Tunaikan solat sepertimana kamu semua melihat daku menunaikan solat”, dan Nabi SAW membaca surah al-Fatihah dalam solat secara tertib dan bersambungan antara satu ayat dengan ayat yang berikutnya tanpa dipisahkan dengan perkataan lain.  Al-Khatib al-Syarbini RH dalam Mughniy al-Muhtaj 1/357 berkata:

يجب ترتيبها وموالاتها بأن يصل الكلمات بعضها ببعض ولا يفصل إلا بقدر التنفس للاتباع مع خبر: (صلوا كما رأيتموني أصلي)... فإن تخلل ذكر أجنبي لا يتعلق بالصلاة قطع الموالاة وإن قل كالتحميد عند العطاس، وإجابة المؤذن والتسبيح للداخل؛ لأن الاشتغال به يوهم الإعراض عن القراءة فليستأنفها، هذا إن تعمد، فإن كان سهواً فالصحيح المنصوص أنه لا يقطع

Maksudnya: “Wajib (membaca al-Fatihah) secara tertib dan muwalah secara berterusan setiap kalimat sebahagian dengan sebahagian yang lain. Tidak memisahkannya melainkan menurut kadar bernafas bagi mematuhi hadis: “Tunaikan solat sepertimana kamu semua lihat daku (Nabi SAW) menunaikan solar.”… Jika berselangan dengan zikir yang tiada kaitan dengan solat, ia memutuskan syarat muwalah sekalipun sedikit, seperti bertahmid ketika bersin, menjawab laungan azan muazzin dan bertasbih untuk orang yang masuk. Ini kerana menyibukkan diri dengan perkara-perkara ini memberi gambaran berpaling dari terus membaca al-Fatihah. Maka jika ia berlaku, hendaklah dimulakan bacaan al-Fatihah dari awal. Ini jika dilakukan dengan sengaja. Jika terlupa, maka berdasarkan pandangan al-Sahih al-Mansus, ia tidak memutuskan muwalah (bacaan al-Fatihah).”

Dalam al-Majmu’ 3/359, al-Nawawi RH berkata:

فلو أجاب المؤذن في أثناء الفاتحة أو عطس فقال: الحمد لله، أو فتح القراءة على غير إمامه، أو سبح لمن استأذن عليه، أو نحوه انقطعت الموالاة بلا خلاف، صرح به البغوي والأصحاب

Maksudnya: “Jika seseorang yang sedang membaca al-Fatihah dalam solat  menjawab laungan azan atau bersin lalu menyebut alhamdulillah. Atau dia membantu bacaan al-Fatihah orang lain dan bukan imam solatnya, atau dia menyebut tasbih untuk sesiapa yang meminta izin darinya atau seumpamanya, maka terputus tuntutan muwalah tanpa ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Hal ini dinyatakan dengan jelas oleh al-Baghawi dan al-Ashab.”  


Cetak  
Wallahu a'lam