Soalan:
Nak tanya kawan saya menunaikan haji. Masa tahalul dia memotong rambut suaminya sebelum suaminya memotong rambut nya. Bolehkah berbuat demikian? Dia dalam keadaan tidak mengetahui dan lupa. Dia dah balik Malaysia.
Jawapan:
Seorang muhrim (dalam ihram) yang telah selesai ibadah haji atau umrah, sebelum bertahallul, boleh menggunting atau mencukur rambut orang lain kerana hendak tahallul. Al-Imam al-Nawawi RH dalam Raudhah al-Talibin menyebut:
للمُحرِم حلق شعر الحلال
Maksudnya: "Seorang muhrim (dalam ihram), boleh mencukur rambut seorang yang halal (seorang yang bukan dalam ihram)."
Maka demikian hukumnya bagi seorang muhrim memotong rambut pasangannya atau orang lain kerana bertahallul. Bahkan seorang muhrim (berada dalam ihram) boleh juga menggunting rambutnya sendiri. Larangan menggunting atau mencukur rambut dalam ibadah ihram memiliki waktu tertentu. Apabila tamat waktu larangan dengan hendak bertahallul, hilanglah larangan tersebut. Oleh kerana itu, perbuatan seorang muhrim yang hendak bertahallul menggunting atau mencukur rambutnya atau orang lain tidak termasuk dalam larangan ihram, bahkan ia termasuk dalam melaksanakan ibadah tahallul untuk keluar dari ibadah ihram.