SDI 1634: Maksud Perkataan Nawawi al-Bantani Tentang Tidak Boleh Niatkan Solat Dua Rakaat Sebagai Witir

Soalan:

Salam Ustaz,

Saya terima mesej whatapps yang diforward ke grup surau saya & tertulis begini:

"*Selepas ini kpd yg silap jgn buat silap lagi deh....* Niat witir 3 rakaat 2 salam ni ramai silap. Di sisi Mazhab Syafie, kita tak boleh niat “Sahaja aku solat witir 2 rakaat kerana Allah Ta'ala.” kerana witir tu maksudnya ganjil. Solat dua rakaat disebut syafa’ (genap), bukan witir (ganjil). Jadi niat witir yang betul ialah:

“Sahaja aku solat dua rakaat daripada witir kerana Allah Ta'ala.”

أصلي ركعتين من الوتر

Boleh juga “Sahaja aku solat mukaddimah witir…”

Atau seperti imam Malaysia banyak buat pun boleh, “Sahaja aku solat witir 3 rakaat 2 salam…”

Atau “Sahaja aku solat syafa’ dengan witir…”

Tidak sah niat witir 2 rakaat kerana solat dua rakaat itu ialah syafa’ (genap), bukan witir (ganjil). Ibarot dalam Nihayah az-Zain 1/101:

‏ولا يصح أن ينوي بالركعتين وترا لأنهما شفع لا وتر ويجوز في الأخيرة أن يقول ركعة من الوتر لأنها بعضه أيضا

Jika seseorang itu niat:  ‎أُصَلِّى سُنَّةً مِنَ الْوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلّٰهِ تَعَالَى
Sahaja aku solat sunat dua rakaat DARIPADA witir kerana Allah taala.

Maka untuk 1 rakaat witir kemudiannya memadai baca: Sahaja aku solat sunat witir 1 rakaat kerana Allah Ta'ala. “Habis tu kira tak sah la, takda pahala la ibadat kitorang selama ni.”

Kejahilan termasuk perkara yang Allah maafkan. Serahkan kepadaNya. Sebab tu kita kena selalu belajar. Lagi banyak belajar lagi banyak kita sedar selama ni banyak ibadat kita buat silap. And that’s is good."

Apa pendapat ustaz terutama dalam isu niat untuk solat 2 rakaat witir.

Jawapan:

Perkataan Nawawi al-Bantani dalam Nihayah al-Zain itu memaksudkan bagi sesiapa yang berniat hendak menunaikan solat dua rakaat sahaja, tetapi dia maksudkan solat witir. Niat seperti itu tidak sah solatnya, kerana dua rakaat sahaja bukan solat witir sebaliknya solat syafa' (genap). Perkataan al-Syeikh Nawawi al-Bantani tersebut perlu dibaca dari awal. Di bawah ini teks dari Nihayah al-Zain 1/101 beserta terjemahan dari saya:

(وتر) فِي غير رَمَضَان (وَأقله رَكْعَة) وَلَا كَرَاهَة فِي الِاقْتِصَار عَلَيْهَا على الْمُعْتَمد بل خلاف الأولى وَأدنى الْكَمَال ثَلَاث وأكمل مِنْهُ خمس ثمَّ سبع ثمَّ تسع (وَأَكْثَره إِحْدَى عشرَة) وَهِي غَايَة الْكَمَال فَلَا تصح الزِّيَادَة عَلَيْهَا فَلَو أحرم بِثَلَاث عشرَة دفْعَة وَكَانَ عَامِدًا عَالما بَطل الْجمع، وَإِن كَانَ نَاسِيا أَو جَاهِلا وَقعت نفلا مُطلقًا، وَإِن أحرم بِرَكْعَتَيْنِ بعد أَن صلى الإحدى عشرَة لم تَنْعَقِد هَذِه الصَّلَاة إِن كَانَ عَامِدًا عَالما وَإِلَّا وقعتا نفلا مُطلقًا وَلمن زَاد على رَكْعَة الْفَصْل بَين الرَّكْعَات بِالسَّلَامِ بِأَن يحرم بالوتر رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ ثمَّ يحرم بالأخيرة وَيَنْوِي بالأخيرة الْوتر وَيتَخَيَّر فِي غَيرهَا بَين نِيَّة صَلَاة اللَّيْل ومقدمة الْوتر وسنته وَرَكْعَتَيْنِ من الْوتر لِأَنَّهُمَا بعضه، وَلَا يَصح أَن يَنْوِي بالركعتين وترا لِأَنَّهُمَا شفع لَا وتر وَيجوز فِي الْأَخِيرَة أَن يَقُول رَكْعَة من الْوتر لِأَنَّهَا بعضه أَيْضا

Maksudnya: “Dan (termasuk dalam solat sunat) solat witir di luar Ramadan. Rakaat minimumnya ialah satu rakaat. Tiada hukum makruh berpada melakukan witir sebanyak satu rakaat berdasarkan pandangan muktamad (mazhab Syafi‘e). Perbuatan itu hanya khilaf al-Awla (menyalahi sesuatu yang lebih utama). Minimun sempurnanya ialah tiga rakaat, lebih sempurna lagi dengan lima rakaat, lebih sempurna lagi dengan tujuh rakaat dan lebih sempurna lagi dengan sembilan rakaat. Dan maksimum rakaat witir ialah sebanyak 11 rakaat. Inilah kemuncak kesempurnaan witir. Tidak sah (solat witir) yang dilakukan lebih dari 11 rakaat. Jika seseorang bertakbiratul ihram dengan niat menunaikan solat witir 13 rakaat sekaligus, dalam keadaan sememang memaksudkannya, mengetahui tiada witir lebih dari 13 rakaat, batal seluruh solatnya itu. Jika dia terlupa atau tidak tahu, maka semua 13 rakaat itu menjadi solat sunat mutlaq (bukan solat witir). Jika seseorang bertakbiratul ihram sebanyak dua rakaat setelah menunaikan 11 rakaat, solat ini tidak sah jika dilakukannya dalam keadaan memaksudkan witir dan mengetahui tiada witir lebih dari 11 rakaat. Jika tidak sengaja dan tidak tahu, maka dua rakaat ini menjadi sunat mutlak. Sesiapa yang menunaikan solat witir lebih dari satu rakaat, pemisah antara rakaat-rakaat yang lebih dari satu rakaat tersebut dengan salam, iaitulah dengan bertakbiartul ihram melakukan witir dua rakaat-dua rakaat, kemudian bertakbiratul ihram satu rakaat terakhir sebagai witir. Dia juga boleh memilih untuk rakaat-rakaat selain satu rakaat itu sebagai solat malam, atau muqaddimah witir atau solat sunat witir atau dua rakaat dari solat witir, kerana dua rakaat-dua rakaat itu sebahagian daripada witir juga. Tidak sah berniat dua rakaat (semata-mata) sebagai witir, kerana dua rakaat itu syafa’ (genap) bukan witir (ganjil). Harus juga satu rakaat akhir itu diniatkan satu  rakaat dari witir, kerana satu rakaat itu adalah sebahagian daripada witir juga.”

Perkataan al-Syeikh Nawawi al-Bantani ini, beliau menceritakan beberapa bentuk solat witir yang boleh dilakukan dan beberapa bentuk solat yang boleh dilakukan bersama dengan solat witir. Dua rakaat yang diniatkan witir, diukur menurut niatnya dan sah jika memenuhi syarat yang dijelaskannya. Beliau berkata: "Sesiapa yang menunaikan solat witir lebih dari satu rakaat, pemisah antara rakaat-rakaat yang lebih dari satu rakaat tersebut dengan salam, iaitulah dengan bertakbiartul ihram melakukan witir dua rakaat-dua rakaat...

Dari ungkapan beliau ini jelas menunjukkan sesiapa yang berniat menunaikan solat witir dua rakaat, sebelum menamatkannya dengan satu rakaat adalah sah dan dikira witir. Hal ini kerana setiap dua rakaat itu diukur menurut niat yang ada di dalam hati, tidak diukur menurut apa yang ditutur dan dilafazkan. Ini adalah asas dalam permasalahan niat. Namun jika hendak melakukan dua rakaat solat sunat sahaja, tetapi dengan niat witir, maka tidak sah solat tersebut kerana tiada witir jika dilakukan hanya dua rakaat. Inilah maksud perkataan al-Syeikh Nawawi al-Bantani: "وَلَا يَصح أَن يَنْوِي بالركعتين وترا لِأَنَّهُمَا شفع لَا وتر" yang bermaksud: "Tidak sah berniat dua rakaat (semata-mata) sebagai witir, kerana dua rakaat itu syafa’ (genap) bukan witir (ganjil)", beliau menyebut "Tidak sah berniat dua rakaat..." beliau tidak memaksudkan lafaz niat. Ini kerana niat dan lafaz niat adalah dua perkara yang berbeza. Beliau menyebut dalam kitab yang sama pada halaman 56:

وَتقدم فِي الْوضُوء أَن النِّيَّة محلهَا الْقلب (و) لَكِن ينْدب (نطق بمنوي) قبيل التَّكْبِير ليساعد اللِّسَان الْقلب وَلِأَنَّهُ أبعد عَن الوسواس وَلَا يضر النُّطْق بِخِلَاف مَا فِي الْقلب كَأَن قصد الصُّبْح وَسبق لِسَانه إِلَى الظّهْر

Maksudnya: "Dan telah berlalu dalam persoalan wudhu menyatakan bahawa niat itu tempatnya adalah di dalam hati. Akan tetapi disunatkan penuturan apa yang diniatkan (melafazkan) sebelum bertakbir bagi lisan dapat membantu apa yang ada dalam hati, demikian juga ia lebih jauh dapat selamat dari gangguan waswas. Tidak memudharatkan penuturan (melafazkan niat) yang berbeza dengan apa yang ada di dalam hati (kerana yang dikira adalah apa yang ada di dalam hati sebagai niat), seperti seorang memaksudkan (meniatkan) solat Subuh, akan tetapi terlajak lidahnya menyebut Zohor." 

Oleh kerana itu, seseorang yang sememangnya berniat hendak menunaikan solat witir tiga rakaat dengan dua salam. Setelah itu dia bertakbiratul ihram untuk menunaikan dua rakaat dari solat witirnya dari tiga rakaat keseluruhannya, atau tanpa menyertakan sebarang lafaz dan lintasan dalam hati, maka solatnya sah sebagai solat witir. Inilah maksud sebenar perkataan al-Syeikh Nawawi al-Bantani yang difahami secara salah oleh sebahagian ustaz. 


Cetak  
Wallahu a'lam