SDI 1635: Hukum Melakukan al-Ta’qib (Solat Sunat Malam Hari Selepas Tarawih) Dalam Bulan Ramadan

Soalan:

Di beberapa masjid di Perlis kebelakangan ini diadakan solat tarawih dua kali. Sekali ditunaikan selepas solat Isyak sebanyak 11 rakaat. Kemudian ada pula solat pada pukul 3 pagi atau 4 pagi. Solat apa pada pukul 3 atau 4 pagi tersebut? Apakah ia bertepatan dengan sunnah Nabi SAW?

 

Jawapan:

Solat seperti yang ditanya disebut oleh para ulama sebagai al-Ta’qib (التعقيب). Al-Marwazi (W294) dalam kitabnya Mukhtasar Qiyam al-Lail, halaman 245 menyebut:

باب التعقيب وهو رجوع الناس إلى المسجد بعد انصرافهم عنه

“Bab Berkaitan Al-Ta’qib Iaitulah Orang Ramai Kembali Ke Masjid Setelah Meninggalkannya.”.

Ibn al-Athir (W606H) dalam al-Nihayah 3/267 berkata:

التَّعْقِيب: هُوَ أَنْ تَعْمَل عَمَلا ثُمَّ تَعُودَ فِيهِ، وَأَرَادَ بِهِ هَاهُنَا: صَلَاةَ النَّافلة بَعْدَ التَّراويح

Maksudnya: “al-Ta’qib ialah kamu melakukan satu amalan, kemudian (setelah selesai) kamu kembali melakukannya. Dimaksudkan di sini ialah solat sunat yang dilakukan selepas melakukan solat sunat Tarawih.”

Ibn Rejab dalam Fath al-Bari 6/258-259 berkata:

هو أن يقوموا في جماعة في المسجد ثم يخرجون منه، ثم يعودون إليه فيصلون جماعة في آخر الليل، وبهذا فسره أبو بكر عبد العزيز بن جعفر وغيره من أصحابنا

Maksudnya: “(al-Ta’qib) ialah orang ramai melakukan solat sunat secara berjemaah di masjid, kemudian mereka keluar dari masjid, setelah itu kembali semula ke masjid dan menunaikan solat sunat berjemaah di penghujung malam. Inilah yang dijelaskan oleh Abi Bakr Abd al-‘Aziz dan selain beliau dari kalangan sahabat kami.”

Solat Tarawih termasuk dalam solat malam. Tiada batas maksimum bagi rakaatnya dan ia juga boleh ditunaikan pada bila-bila waktu antara selepas solat Isyak dan Subuh. Jika ditunaikan sebelum tidur ia termasuk dalam qiyamullail atau qiyam Ramadan. Jika ditunaikan selepas tidur terlebih dahulu, maka ia tergolong dalam solat Tahajjud dan termasuk juga dalam qiyamullail atau qiyam Ramadan secara umum.

Majoriti ulama berpandangan harus melakukan solat sunat malam hari secara terpisah. Ibn Rajab dalam Fath al-Bari 6/259 berkata:

وأكثر الفقهاء على أنه لا يكره بحال

Maksudnya: “Kebanyakan fuqaha berpandangan ia (al-Ta’qib) tiada hukum makruh dalam semua keadaan.”

Keharusan ini berdalilkan hadis Qais bin Talq yang berkata:

زَارَنَا طَلْقُ بْنُ عَلِيٍّ فِي يَوْمٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأَمْسَى عِنْدَنَا، وَأَفْطَرَ، ثُمَّ قَامَ بِنَا تِلْكَ اللَّيْلَةَ، وَأَوْتَرَ بِنَا، ثُمَّ انْحَدَرَ إِلَى مَسْجِدِهِ، فَصَلَّى بِأَصْحَابِهِ حَتَّى إِذَا بَقِيَ الْوِتْرُ قَدَّمَ رَجُلًا، فَقَالَ: أَوْتِرْ بِأَصْحَابِكَ، فَإِنِّي سَمِعْتُ النَّبِيَّ ﷺ يَقُولُ: لَا وِتْرَانِ فِي لَيْلَةٍ

Maksudnya: “Suatu hari dalam bulan Ramadan Talq bin ‘Ali menziarahi kami, ketika masuk waktu berbuka beliau masih bersama kami dan beliau berbuka bersama. Setelah itu beliau mengimamkan solat Tarawih bersama kami sehingga solat Witir, kemudian beliau pergi ke masjidnya dan mengimamkan solat dengan para sahabatnya. Apabila tinggal untuk menunaikan solat Witir, beliau minta seorang lelaki lain mengimamkan solat dengan berkata: “Tunaikan Witir mengimamkan solat bersama para sahabatmu. Sesungguhnya aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Tiada dua Witir dalam satu malam.” (HR Abu Daud, al-Nasai’e, Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya, dan Ibn Hibban dalam Sahihnya. Dinilai sahih oleh al-Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Ahadith al-Mukhtarah 8/156 dan al-Albani dalam Sahih Abi Daud 5/184)

 


Cetak  
Wallahu a'lam