SDI 1636: Bolehkah Solat Sunat Selepas Solat Witir?

Soalan:

Kalau saya nak buat tahajjud, ketika solat Tarawih bersama imam selepas Isyak, apakah saya solat witir bersama imam solat tarawih awal malam, atau saya lewatkan witir untuk dibuat waktu tahajjud?

  

Jawapan:

Bagi memperolehi kelebihan menghidupkan sepanjang malam dengan melakukan ibadah, Anda dinasihatkan solat bersama dengan imam sehingga selesai keseluruhannya. Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الرَّجُل إِذَا صَلَّى مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ حُسِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya sesiapa yang menunaikan solat bersama dengan imam sehingga selesai, maka dicatitkan dia telah mendirikan solat sepanjang malam.” (HR Abu Daud dan al-Tirmizi, beliau juga berkata: “Hadis hasan sahih.”)

Jika imam melakukan Witir tiga rakaat dua salam, anda solat bersamanya dengan niat Tarawih. Apabila imam memberi salam pada satu rakaat akhir witir, anda bangun menggenapkannya. Hal ini menjadikan anda solat Tarawih bersama imam sebanyak 12 rakaat. Setelah itu apabila bangun Tahajjud, anda jadikan solat Witir di akhir sekali. Hal ini bagi menjadikan anda memperolehi kelebihan menjadikan solat Witir sebagai penutup solat malam seperti hadis Nabi SAW:

اجْعَلُوْا آخِرَ صَلَاتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا

Maksudnya: “Jadikan solat akhir kamu pada malam hari adalah solat Witir.” (al-Bukhari dan Muslim)

          Namun jika imam melakukan solat Witir secara tiga rakaat satu salam. Anda dinasihatkan turut menunaikan solat Witir bersama imam Tarawih. Ini kerana ada dalam kalangan ulama yang melarang melakukan Tarawih dengan cara empat rakaat satu salam seperti pandangan dalam mazhab Syafi‘e. Apabila bangun untuk melaksanakan Tahajjud, anda boleh menunaikan berapa rakaat solat yang anda mahu, tanpa perlu lagi menunaikan solat Witir berdasarkan hadis Nabi SAW:

لَا وِتْرَانِ فِي لَيْلَةٍ

Maksudnya: “Tiada dua Witir dalam satu malam.” (HR Abu Daud, al-Nasai’e, Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya, dan Ibn Hibban dalam Sahihnya. Dinilai sahih oleh al-Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Ahadith al-Mukhtarah 8/156 dan al-Albani dalam Sahih Abi Daud 5/184)

Melakukan solat sunat setelah melaksanakan solat Witir adalah perkara yang diharuskan.  Kata al-Imam al-Nawawi RH dalam al-Majmu’ 3/512 berkata:

إذا أوتر ثم أراد أن يصلي نافلة أم غيرها في الليل جاز بلا كراهة ولا يعيد الوتر، ودليله حديث عائشة رضي الله عنها وقد سئلت عن وتر رسول الله صلى الله عليه وسلم قالت : " كنَّا نعدُّ له سواكه وطهوره فيبعثه الله ما شاء أن يبعثه من الليل فيتسوك ويتوضأ ويصلي تسع ركعات لا يجلس فيهن إلا في الثامنة فيذكر الله ويمجده ويدعوه، ثم ينهض ولا يسلم، ثم يقوم فيصلي التاسعة، ثم يقعد فيذكر الله ويمجده ويدعوه، ثم يسلم تسليماً يسمعنا، ثم يصلي ركعتين بعد ما يسلم وهو قاعد" رواه مسلم، وهو بعض حديث طويل، وهذا الحديث محمول على أنه صلى الله عليه وسلم صلى الركعتين بعد الوتر بياناً لجواز الصلاة بعد الوتر

Maksudnya: “Jika seseorang telah melakukan Witir, kemudian dia mahu menunaikan solat sunat atau selainnya pada malam itu, maka harus perkara itu tanpa ada hukum makruh, dan tidak perlu diulang melakukan Witir lagi. Dalilnya adalah hadis ‘Aisyah RA yang pernah ditanya tentang Witir Rasulullah SAW, lalu beliau menjawab: “Kami (isteri baginda) menyediakan siwak dan air wudhu untuk baginda. Setelah itu Allah membangunkan baginda pada waktu malam yang dikehendaki oleh-Nya. (apabila bangun) Baginda memulakan dengan bersiwak, kemudian berwudhu dan menunaikan solat sebanyak sembilan rakaat. Baginda tidak duduk antara rakat-rakaat tersebut, melainkan pada rakaat kelapan. Baginda membaca al-Tasyahhud, mengagungkan-Nya dan berdoa kepada-Nya. Kemudian baginda bangun tanpa memberi salam. Kemudian baginda berdiri untuk untuk melaksanakan rakaat kesembilan, sehinggalah baginda duduk membaca tasyahhud, mengagung dan berdoa kepada Allah, setelah itu memberi salam sehingga menjadikan kami mendengar salam baginda tersebut. kemudian baginda menunaikan solat dua rakaat setelah memberi salam dalam keadaan duduk.” Hadis ini riwayat Muslim, ia merupakan sebahagian dari hadis yang panjang. Hadis ini difahami baginda SAW menunaikan solat dua rakaat selepas Witir sebagai penjelasan akan keharusan menunaikan solat selepas melaksanakan Witir.”     


Cetak  
Wallahu a'lam