SDI 1647: Perbezaan Puasa Enam Syawal Dengan Puasa Enam Dalam Bulan Lain

Soalan:

Ustaz,

Jika kelebihan puasa enam Syawal terkait dengan bulan Syawal, kelebihan yang sama diperolehi juga jika seseorang berpuasa dalam bulan yang lain, kerana sememangnya satu amalan baik dalam Islam digandakan menjadi 10. Jadi tidakkah pandangan majoriti ulama tidak kukuh jika dilihat dari sudut yang ini?

Jawapan:

Para ulama mazhab Syafi‘e menyatakan kelebihan bagi sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa sunat enam hari dalam bulam Syawal, pahalanya menyamai puasa fardhu selama setahun. Inilah yang dimaksudkan dalam hadis kelebihan puasa enam Syawal. Jika tidak, maka tiada makna baginda mengkhususkan sebutan Syawal dalam hadis:

من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال، كان كصيام اادهر

Maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian menuruti puasa Ramadan itu dengan puasa enam hari bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa setahun."

Oleh itu sesiapa yang melakukan puasa enam hari selepas Syawal, maka dia berhak mendapat pahala gandaan 60 hari puasa sunat. Berbeza dengan mereka yang berpuasa enam Syawal. Kata al-Bujairami RH dalam Hasyiah al-Bujairami ‘Ala al-Khatib 2/406:

قَوْلُهُ: «كَصِيَامِ الدَّهْرِ» أَيْ فَرْضًا، أَيْ ثَوَابُهُ كَثَوَابِ الْفَرْضِ وَإِلَّا لَمْ يَكُنْ لِخُصُوصِيَّةِ رَمَضَانَ وَسِتَّةٍ مِنْ شَوَّالٍ مَعْنًى، إذْ مَنْ صَامَ شَهْرًا غَيْرَ رَمَضَانَ مَعَ سِتَّةٍ مِنْ غَيْرِهِ يَحْصُلُ لَهُ ثَوَابُ الدَّهْرِ أَيْ السَّنَةِ؛ لِأَنَّ الشَّهْرَ بِعَشَرَةِ أَشْهُرٍ وَالسِّتَّةَ أَيَّامٍ بِشَهْرَيْنِ لِأَنَّ كُلَّ يَوْمٍ بِعَشَرَةٍ لِأَنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشَرَةِ أَمْثَالِهَا. وَحَاصِلُهُ أَنَّ مَنْ صَامَهَا مَعَ رَمَضَانَ كُلَّ سَنَةٍ يَكُونُ صِيَامُ الدَّهْرِ فَرْضًا بِلَا مُضَاعَفَةٍ، وَمَنْ صَامَ شَهْرًا وَسِتَّةً غَيْرَهَا كَذَلِكَ يَكُونُ كَصِيَامِهِ نَفْلًا بِلَا مُضَاعَفَةٍ

Maksudnya: “Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Seperti puasa setahun” iaitulah seperti puasa fardhu setahun, ia memaksudkan pahala puasa setahun. Jika tidak tiada makna pengkhususan Ramadan dan puasa enam hari Syawal. Di mana sesiapa yang berpuasa sebulan selain Ramadan bersama dengan enam hari selain Syawal, dia memperolehi pahala puasa setahun, kerana puasa sebulan seperti puasa 10 bulan, manakala puasa enam menyamai dua bulan. Setiap hari puasa digandakan pahalanya seperti 10 hari puasa kerana sesuatu amalan baik digandakan 10 yang seumpamanya. Kesimpulannya sesiapa yang berpuasa enam Syawal bersama dengan sebulan Ramadan pada setiap tahun, maka dia seperti berpuasa fardhu selama setahun. Siapa yang berpuasa sebulan (Ramadan) bersama enam hari bukan dalam bulan Syawal, dia juga memperolehi pahala seperti puasa setahun tetapi pahala puasa sunat (60 hari bagi enam hari yang ditunaikan di luar Syawal).”   


Cetak  
Wallahu a'lam