SDI 1652: Takbir Beserta Angkat Tangan Selepas Tahiyyat Awal Dan Persoalan Solat Masbuk

Soalan:

Adakah angkat takbir untuk rakaat kedua atau selepas tahiyyat awal?...Sebab kalau masbuk pun boleh jadi rakaat pertama dia sudah tahiyat awal mengikut imam. Dia bangkit angkat takbir juga walaupun tidak sampai dua rakaat.

Jawapan:

 

Baik, pertama sekali kita disunatkan untuk mengangkat tangan beserta dengan takbir pada empat kedudukan dalam solat. Salah satunya adalah ketika kita bangun dari rakaat kedua untuk melaksanakan rakaat ketiga. Itu salah satu tempat yang kita disunatkan bertakbir dinamakan sebagai takbir intiqal dan takbir intiqal ketika bangun untuk melaksanakan rakaat ketiga termasuk dalam tempat yang disunatkan kita bertakbir bersama dengan mengangkat tangan. Perkara ini berdasarkan antaranya riwayat hadis dalam Sahih al-Bukhari daripada Ibn ‘Umar RA, di mana Ibn ‘Umar berkata:

وإذا قام من الركعتين رفع يديه

Yang bermaksud: “Nabi SAW apabila bangun atau berdiri setelah melaksanakan dua rakaat, baginda akan mengangkat dua tangan baginda.”

Oleh kerana itu mengangkat tangan beserta dengan bertakbir untuk melaksanakan rakaat ketiga termasuk dalam sunnah Nabi SAW. Inilah juga pandangan ulama mazhab Syafi’e.

Sekalipun kalau kita tengak perkataan Imam Syafi’e hanya menyebut tiga tempat sahaja di dalam solat disunatkan mengangkat tangan ketika bertakbir, tidak termasuk ketika bangun untuk melaksanakan rakaat ketiga. Akan tetapi ulama mazhab Syafi’e seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, para ulama kesemua mereka mengikut dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Cumanya kadang-kala kita tengak sebahagian pandanga ulama ada yang berbeza dengan al-hadis, menunjukkan hadis itu tidak sampai kepada mereka ataupun di sisi mereka hadis itu tidak sahih atau alasan-alasan lain. Sebahagian besar alasan itu telah dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH dalam kitabnya Raf’ al-Malam ‘An al-Aimmah al-A’lam. Oleh kerana itu ulama mazhab Syafi’e apabila mereka lihat pandangan imam kita semua ada perbezaan dengan hadis, maka mereka kekal mengikut hadis Nabi SAW. Maka kesemua atau majoriti ulama mazhab Syafie yang kemudian menyatakan sunat juga mengangkat tangan ketika bangun untuk melaksanakan rakaat yang ketiga, sekalipun perkara itu berbeza dengan pandangan imam Syafi’e RH, kerana apa? Kerana memuliakan dalil, mendahulukan dalil, mengutamakan dalil berbanding perkataan imam.

Kembali kepada soalan, bila kita telah tahu mengangkat tangan ketika bertakbir untuk melaksanakan rakaat ketiga itu termasuk dalam sunnah Nabi. Maka ia dilakukan.

Isunya bagi masbuk, wallahu a’lam, sebahagian ulama menyatakan orang yang masbuk, bagi kedudukan berdiri, dia mengikut rakaat dia, bukan mengikut rakaat imam. Akan tetapi ketika kedudukan duduk dia mengikut kedudukan imam. Maksudnya imam duduk pada rakaat keempat sebagai contoh, imam duduk tahiyyat akhir sebagai contoh, dia baru rakaat ketiga sebagai contoh, maka dia juga disunatkan membaca tahiyyat atau tasyahhdud sepertimana imam, bahkan dia juga dibolehkan terus berdoa selepas bertahiyyat sekalipun dia baru pada kedudukan rakaat ketiga. Kerana apa? kerana mematuhi arahan Nabi supaya orang yang menunaikan solat berjemaah hendaklah mengikut imam. Jadi kedudukan duduk, sujud, tahiyyat dan seumpamanya, seorang yang masbuk hendaklah mengikut imam. Manakala pada kedudukan berdiri bacaan dan seumpamanya dia berdasarkan rakaat sebenar orang yang masbuk tersebut bukan rakaat imam. Jadi selepas imam memberi salam, dia menyempurnakan solat dia, menurut rakaat sebenar dia, bukan mengikut rakaat imam. Inila pandangan sebahagian ulama dan inilah pandangan yang dipilih oleh sebahagian ulama mazhab Syafi’e setakat yang saya tahu.


Cetak  
Wallahu a'lam