Soalan:
Ada saya dengar orang kata tiada solat sunat ketika bermusafir hatta solat sunat qabliah dan ba’diah. Betul ker ustaz?
Jawapan:
Wujud perbezaan pandangan dalam kalangan ulama berkaitan solat sunat ketika bermusafir. Pandangan majoriti ulama termasuk mazhab Syafi'e mengatakan solat sunat ketika bermusafir kekal suatu yang sunat dan digalakkan, sama ada solat sunat rawatib (qabliah dan ba’diah solat fardhu) atau selainnya. Kata al-Imam al-Tirmizi RH:
ﻭﺑﻪ ﻗﺎﻟﺖ ﻃﺎﺋﻔﺔ ﻣﻦ اﻟﺼﺤﺎﺑﺔ ﻭأﺣﻤﺪ ﻭإﺳﺤﻖ ﻭﺃﻛﺜﺮ ﺃﻫﻞ اﻟﻌﻠﻢ
Maksudnya: “Inilah pandangan sekumpulan dari kalangan para sahabat Nabi SAW, Ahmad, Ishak dan majoriti ulama.”
Dalil pandangan majoriti antaranya ialah:
[1] Sabit baginda menunaikan solat sunat ketika bermusafir di atas tunggangan, menurut arah mana kenderaan baginda bergerak.
[2] Hadis Abu Qatadah RA yang menceritakan para sahabat pernah bermusafir bersama dengan Nabi SAW. Disebabkan keletihan mereka terlajak tidur dan tidak sedarkan waktu Subuh sehingga matahari meninggi. Mereka bangun dan bergerak ke tempat lain, baginda berwudhu dan mengarahkan Bilal untuk melaungkan azan. Setelah itu baginda SAW menunaikan solat sunat sebelum Subuh dua rakaat, setelah itu baru baginda menunaikan solat fardhu Subuh. Baginda lakukan sama sepertimana kebiasaan yang baginda lakukan. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
[3] Hadis Ummu Hani’ RA yang menceritakan baginda SAW solat pada hari Fath Makkah di rumahnya sebanyak 8 rakaat pada waktu Dhuha di sisi al-Bukhari dan Muslim.
Pandangan majoriti ulama ini berbeza dengan pandangan Ibn ‘Umar RA yang berpandangan tiada lagi solat sunat ketika dalam permusafiran. Beliau berkata: ﻟﻮ ﻛﻨﺖ ﻣﺘﻨﻔﻼ ﻷﺗﻤﻤﺖ yang bermaksud: “Jika aku melakukan solat sunat, pasti aku akan menyempurnakan solat (tidak melakukan solat secara qasar).” Beliau juga berkata:
ﺻﺤﺒﺖ ﺭﺳﻮﻝ اﻟﻠﻪ ﺻﻠﻰ اﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻓﻲ اﻟﺴﻔﺮ ﻓﻠﻢ ﻳﺰﺩ ﻋﻠﻰ ﺭﻛﻌﺘﻴﻦ ﺣﺘﻰ ﻗﺒﻀﻪ اﻟﻠﻪ ﻭﺻﺤﺒﺖ ﺃﺑﺎ ﺑﻜﺮ ﺭﺿﻲ اﻟﻠﻪ ﻋﻨﻪ ﻓﻠﻢ ﻳﺰﺩ ﻋﻠﻰ ﺭﻛﻌﺘﻴﻦ ﺣﺘﻰ ﻗﺒﻀﻪ اﻟﻠﻪ ﻭﺻﺤﺒﺖ ﻋﻤﺮ ﺭﺿﻲ اﻟﻠﻪ ﻋﻨﻪ ﻓﻠﻢ ﻳﺰﺩ ﻋﻠﻰ ﺭﻛﻌﺘﻴﻦ ﺣﺘﻰ ﻗﺒﻀﻪ اﻟﻠﻪ ﻭﺻﺤﺒﺖ ﻋﺜﻤﺎﻥ ﺭﺿﻲ اﻟﻠﻪ ﻋﻨﻪ ﻓﻠﻢ ﻳﺰﺩ ﻋﻠﻰ ﺭﻛﻌﺘﻴﻦ ﺣﺘﻰ ﻗﺒﻀﻪ اﻟﻠﻪ ﻭﻗﺪ ﻗﺎﻝ اﻟﻠﻪ ﺗﻌﺎﻟﻰ: "ﻟﻘﺪ ﻛﺎﻥ ﻟﻜﻢ ﻓﻲ ﺭﺳﻮﻝ اﻟﻠﻪ اﺳﻮﺓ ﺣﺴﻨﺔ
Maksudnya: “Daku pernah bersama dengan Rasulullah SAW dalam permusafiran, baginda tidak menambah solat lebih dari dua rakaat sehinggalah wafat. Daku juga pernah bersama dengan Abu Bakar RA, beliau juga tidak pernah menambah solat ketika bermusafir lebih dari dua rakaat (solat fardhu yang diqasarkan) sehinggalah beliau wafat. Daku juga pernah bersama ‘Umar RA, beliau juga tidak pernah menambah solat ketika bermusafir lebih dari dua rakaat (solat fardhu yang diqasarkan) sehinggalah beliau wafat. Daku juga pernah bersama ‘Uthman RA, beliau juga tidak pernah menambah solat ketika bermusafir lebih dari dua rakaat (solat fardhu yang diqasarkan) sehinggalah beliau wafat. Allah SWT pula telah berfirman: “Sesungguhnya untuk kamu semua pada diri Rasulullah SAW itu terdapat contoh yang terbaik.” (al-Bukhari dan Muslim)
Pandangan Ibn ‘Umar ini difahami dalam dua bentuk pemahaman di sisi majoriti ulama:
[1] Pandangan beliau berbentuk penafian, sedangkan pandangan majoriti berbentuk muthbit. Maka muthbit didahulu berbanding nafi, berdasarkan kaedah: المثبت مقدم على النافي. Ini kerana riwayat yang mengithbatkan terdapat pertambahan ilmu atau maklumat yang mungkin tidak diketahui oleh pihak yang menafikan.
[2] Ibn ‘Umar bersama dengan Rasulullah SAW dalam sebahagian permusafiran. Maka beliau menceritakan apa yang beliau lihat sahaja. Hal ini tidak menafikan sahabat lain juga pernah bermusafir dengan Rasulullah SAW dan mereka mendapati baginda ada menunaikan solat sunat ketika bermusafir.