SDI 1657: Wudhu Tidak Sah Jika Ada Kotoran Bawah Kuku?

Soalan:

Ustaz kotoran bawah kuku menyebabkan wudhu tidak sah?

Jawapan:

Kotoran bawah kuku apakah menyebabkan wudhu tidak sah menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Perbezaan ini timbul disebabkan para ulama berbeza dalam membuat penilaian berkaitan kemaafan untuk apa-apa yang sedikit dari anggota wudhu yang wajib dibasuh.

Para ulama telah menyebut satu dhabith fiqhi yang berbunyi: الأصل في اليسير أنه معفو عنه ما لم يكن هناك نص بعدم العفو، وهذا في كل شيء maksudnya: “Asal pada sesuatu yang sedikit adalah diberi kemaafan, selagi tiada nas yang menyatakan tiada kemaafan (dalam sesuatu perkara). Perkara ini masuk dalam setiap sesuatu.”  

Sebagai contoh; berjalan ketika solat termasuk dalam perkara yang membatalkan solat, akan tetapi berjalan yang sedikit diberi kemaafan. Demikian juga keberadaan najis di badan membatalkan solat, namun jika sedikit, ia diberi kemaafan. Kemaafan yang diberikan kepada sesuatu yang sedikit ini ternafi apabila terdapat nas yang menafikan sesuatu yang sedikit itu diberi kemaafan, seperti tiada kemaafan dalam bab riba sekalipun sedikit berdasarkan hadis Nabi SAW: من زاد أو استزاد فقد أربى maksudnya: “Siapa yang menambah (sekalipun sedikit timbangan yang tidak sama dalam jual-beli barang ribawi) atau minta ditamba, maka dia telah melakukan riba.” Nabi SAW juga telah bersabda kepada mereka yang tidak meratakan air ke kaki ketika berwudhu’: ويل للأعقاب من النار maksudnya: “Kecelakaan bagi tumit-tumit kaki (yang tidak diratakan air) yang akan dikenakan api neraka.” Demikian juga sedikit titisan air kencing membatalkan wudhu bagi orang yang sihat.  

Bagaimana dengan kotoran di bawah kuku yang menghalang sampainya air ke kulit? Apakah ia termasuk perkara sedikit yang diberi kemaafan ataupun tidak? Seperti yang dinyatakan di awal jawapan ini, ia menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Secara ringkasnya:

Pandangan pertama: Wajib menghilangkan kotoran tersebut secara mutlaq. Jika tidak wudhu dihukum tidak sah. Pandangan ini menjadi pilihan al-Mutawalli dari kalangan ulama mazhab Syafi‘e (Lihat al-Majmu’ 1/340) dan Ibn ‘Uqail dari kalangan ulama mazhab Hambali (Lihat al-Mughni oleh Ibn Qudamah 1/187).

Kedua: Tidak wajib menghilangkannya secara mutlaq, sebaliknya ia termasuk dalam perkara yang diberi kemaafan. Pandangan ini dipilih oleh al-Ghazali dari kalangan ulama mazhab Syafi‘e dan Ibn Qudamah dari mazhab Hambali cenderong kepada pandangan ini. Bahkan al-Syeikh Sa‘ied al-Jabiri HFZ ketika mensyarahkan Matn al-Muqaddimah al-Hadramiyyah dan Qurrah al-‘Ain menyebut al-‘Allamah Ba Kathir menyusun dua bait nazm dengan katanya:

قَدْ سَامَحَ الْأَزْرَقُ وَالْغَزَّالِيْ
فِيْ وَسْخِ الْأَظْفَارِ كَالْقَفَّالِ
عَالِمُ سَمْهُوْدٍ وَزَرْكَشِ كَمَا
لِلْعَفْوِ عَبَّادِيُّهُمْ تَيَمَّما

Maksudnya: “Telah masukkan dalam kemaafan oleh al-Azraq dan al-Ghazzali, tentang kotoran (bawah) kuku sama seperti al-Qaffal. Demikian juga seorang ‘Alim Samhud dan Zarkashi, demikian juga ‘Abbadi juga memaksudkan ia termasuk dalam perkara yang diberi kemaafan.”

Ketiga: Diberi kemaafan jika sedikit, jika ia banyak dan ketara, maka wajib dihilangkan untuk berwudhu. Inilah pandangan ulama mazhab Maliki (Lihat al-Fawakih al-Dawani 1/140).

Ibn Taimiyyah mentarjihkan pandangan ini, beliau berkata dalam al-Fatawa al-Kubra 5/303: وإن منع يسير وسخ ظفر ونحوه وصول الماء صحت الطهارة، وهو وجه لأصحابنا، ومثله كل يسير منع وصول الماء حيث كان كدم وعجين... maksudnya: “Jika kotoran bawah kuku atau seumpamanya yang sedikit menghalang sampainya air (ke kulit), maka sah taharah tersebut. Ia satu wajah dalam kalangan sahabat kami (Mazhab Hambali). Sama dengan perkara ini setiap yang sedikit yang menghalang sampainya air di mana sahaja (bahagian anggota taharah) seperti darah atau tepung...”

 


Cetak  
Wallahu a'lam