SDI 1658: Kenyataan: "Ini kambing korban saya" menjadikan korban itu wajib?

Soalan:

Ustaz, benarkah apabila kita tentukan haiwan tertentu nak buat korban maka korban itu jadi wajib?

 

Jawapan:

InsyaAllah jika kita membeli seekor kambing, kemudian ketika ditanya: "Nak buat apa dengan kambing ini?" kita menjawab: "Nak buat korban", masih belum menjadikan korban itu wajib, jika jawapan tersebut hanya bertujuan pemberitahuan atau perkhabaran yang kita akan buat korban sunat apabila tiba waktunya nanti. Namun jika jawapan itu bertujuan mula penetapan itulah haiwan korban kerana hendak beribadah kepada ALlah, maka haiwan itu menjadi korban wajib kita. Inilah pandangan yang dapat mengelakkan umat Islam terjerumus dalam kepayahan dan kesempitan. Di bawah ini huraian yang dapat saya buatkan.

HURAIAN

Antara ungkapan yang menjadikan sesuatu korban itu wajib di sisi ulama mazhab Syafi‘e ialah:

لله علي أن أضحي بهذا maksudnya: “kerana Allah, aku mesti lakukan korban dengan haiwan ini.” Atau dengan seseorang menyebut: نذرت أن أضحي بهذه maksudnya: “Aku bernazar melakukan korban dengan haiwan ini.” Maka dua lafaz ini jelas menjadikan haiwan yang telah ditentukan itu wajib dikorbankan dan haiwan tersebut juga telah terkeluar dari pemilikannya kerana dia telah tetapkan haiwan tersebut adalah untuk dikorbankan kerana Allah.

Akan tetapi jika seseorang berkata: هذه أضحيتي “Haiwan ini adalah korbanku,” atau: جعلتها أضحية “Aku jadikan haiwan ini korban,” atau: علي أن أضحي بها “Aku mesti lakukan korban dengan haiwan ini,” tanpa dikaitkan dengan لله تعالى “kerana Allah,” apakah menjadikan haiwan tersebut terkeluar dari pemilikannya sehingga wajib orang tersebut menyembelih korban yang dimaksudkan?

Berdasarkan pandangan al-Sahih di sisi mazhab Syafi‘e lafaz seperti itu menjadikan korban tersebut wajib dilakukan dengan haiwan yang dimaksudkan. Ia sama seperti seorang tuan berkata kepada seorang hambanya: “Hamba ini seorang yang merdeka.”

Dalam Fatawa al-Ramli ada soalan yang dikemukakan tentang seorang lelaki yang memiliki seekor kambing dan berkata: هذه أضحية “Kambing ini adalah kambing korban,” atau: جعلتها أضحية “Aku jadikan kambing ini sebagai korban,” sekalipun ia menyebutnya ketika hendak menyembelih kambing tersebut, apakah kambing itu menjadi korban wajib atau tidak? Sekalipun dia melafazkan niatnya kambing tersebut adalah korban sunat?

Jawab al-Ramli RH:

أن الشاة المذكورة تصير بلفظه المذكور أضحية، وقد زال ملكه عنها فيحرم عليه أكله من الأضحية الواجبة

Maksudnya: “Kambing yang dinyatakan dengan lafaz yang dituturkannya menjadi kambing tersebut sebagai kambing korban, gugurlah pemilikannya terhadap kambing tersebut dan haram dia memakan dari korban wajib tersebut.”   

Dalam Mukhtasar al-Muzani 2/558 dinyatakan pula: “Kata al-Syafi‘e:

وَإِذَا أَوْجَبَهَا أُضْحِيَّةً وَهُوَ أَنْ يَقُولَ: هَذِهِ أُضْحِيَّةٌ، وَلَيْسَ شِرَاؤُهَا وَالنِّيَّةُ أَنْ يُضَحِّيَ بِهَا إيجَابًا لَهَا

Maksudnya: “Jika seseorang telah mejadikan korban itu wajib iaitulah dengan berkata: “Haiwan ini adalah haiwan korban. Bukan semata-mata membelinya dan bukan semata-mata berniat (menjadikan korban itu wajib), untuk disembelihnya sebagai korban wajib.”

Berdasarkan kenyataan ini, maka sesiapa yang menentukan sesuatu haiwan akan dijadikan haiwan korban dan dia menuturkan perkara itu, haiwan tersebut menjadi haiwan korban wajib. Dalam Tuhfah al-Muhtaj 9/355 dinyatakan:

وَحِينَئِذٍ فَمَا يَقَعُ فِيهِ كَثِيرٌ مِنْ الْعَامَّةِ أَنَّهُمْ يَشْتَرُونَ أُضْحِيَّتَهُمْ مِنْ أَوَائِلِ السَّنَةِ وَكُلُّ مَنْ سَأَلَهُمْ عَنْهَا يَقُولُونَ هَذِهِ أُضْحِيَّةٌ جَاهِلِينَ بِمَا يَتَرَتَّبُ عَلَى ذَلِكَ بَلْ وَقَاصِدِينَ الإخبار عما أضمروه وظاهر كلامهم أنهم مع ذلك تترتب عليهم تلك الأحكام مشكل  

Maksudnya: “Apa-apa yang berlaku dalam kalangan orang ramai yang membeli haiwan korban di awal tahun, jika ditanya, mereka akan menjawab: “Ini haiwan korban,” dalam keadaan jahil akan kesannya, bahkan mereka memaksudkan memberitahu apa yang ada dalam hati mereka (hendak melakukan korban sunat). Maka zahir perkataan mereka yang disertai dengan kejahilan itu akan memberi kesan hukum-hakam tersebut adalah satu masalah.” 

Namun pandangan semata-mata dengan penuturan: “Ini adalah haiwan korbanku”, sekalipun tanpa niat, atas alasan lafaz ini termasuk dalam lafaz yang jelas sehingga menjadikan korban itu wajib akan menimbulkan masalah dan kesempitan kepada masyarakat. Hal ini menafikan kemudahan dan keringanan yang dibawa oleh syariat Islam. Kerana itu kecenderungan Ibn Qasim al-‘Abbadi demikian juga fatwa al-Sayyid ‘Umar al-Basri menyalahi padangan ini. Ditambah dengan perkataan al-Azra‘ie dalam al-Tawassuth yang dapat difahami penuturan: “Haiwan ini adalah haiwan korban (هذه أضحية),” dapat diterima sebagai hanya pernyataan atau pemberitahuan darinya yang dia hendak melakukan korban sunat dengan haiwan tersebut.

al-Sayyid ‘Umar al-Basri dalam Hasyiahnya kepada kitab Tufah al-Muhtaj 9/346 menyebut:

يَنْبَغِي أَنْ يَكُونَ مَحَلُّهُ مَا لَمْ يَقْصِدْ الْإِخْبَار فَإِن قَصَدَهُ أَيْ هَذِهِ الشَّاةَ الَّتِي أُرِيدُ التَّضْحِيَةُ بِهَا فَلَا تَعْيِينَ

Maksudnya: “Mestilah ia berlaku (terjadi takyin) pada tempatnya (memaksudkan takyin dengan penuturannya: “Haiwan ini adalah haiwan korban”), selama dia tidak memaksudkan perkhabaran (الإخبار iaitulah memberitahu sesuatu yang hendak dilaksanakannya nanti). Jika dia memaksudkan perkhabaran iaitulah dia memaksudkan perkhabaran bahawa kambing tersebut adalah kambing yang akan dia lakukan korban nanti, maka tiada berlaku takyin.”

Al-Sayyid ‘Umar al-Basri RH juga menjawab isu yang ditanyakan kepadanya, iaitulah seorang lelaki yang membeli seekor kambing untuk dilaksanakan ibadah korban, lalu orang tersebut bertemu dengan seseorang yang bertanya kepadanya: “Kambing ini untuk apa?” Lalu lelaki itu menjawab: أضحيتي atau “(kambing) korbanku.” Jika dia memaksudkan dengan jawapannya: “kambing ini adalah korbanku,” iaitulah dia akan korbankan kambing ini bila tiba waktunya nanti, maka kambing itu masih milikinya dan belum keluar dari pemilikannya. Belum berlaku takyin dan dia masih tidak wajib menyembelih kambing tersebut sebagai korban. Kerana dia bertujuan memberi tahu apa yang akan dilakukannya nanti. Dia belum membuat penetapan kambing itu adalah ibadah korbannya kepada Allah. Namun jika dia memaksudkan insya’ (إنشاء), iaitulah dia maksudkan kambing itu adalah kambing ibadah korbannya, ungkapannya: “korbanku” bermaksud sama seperti dia menyebut: “kambing ini adalah korbanku kerana Allah,” maka ketika itu barulah berlaku takyin, dia telah menggugurkan pemilikannya terhadap kambing tersebut kerana menjadikannya sebagai ibadah untuk mendekatkan dirinya kepada Allah. Maka kambing itu wajib disembelih dan korban tersebut menjadi korban wajib dia.


Cetak  
Wallahu a'lam