Maksud Mal Mustafad Dan Jenis²nya

Mal Mustafad

Al-Mustafad pada bahasa berasal dari kalimah فاد dan استفاد dengan wazan استفعل iaitu اكتسب atau حصل على yang boleh diterjemahkan sebagai perolehan atau sesuatu yang diperolehi. Maka Mal Mustafad ialah harta yang diperolehi dan setiap yang dikurniakan oleh Allah kepada seseorang hamba terdiri dari sesuatu kebaikan.

Atas dasar ini sebahagian daripada Mal Mustafad dimaksudkan kepada apa-apa perolehan yang dimiliki dari sumber yang keluar dari bumi kerana melihat kepada maknanya dari sudut lughawi, iaitulah merangkumi apa sahaja yang diperolehi dan yang dapat diambil manfaat darinya (المنتفع به). Zakat bagi perolehan yang keluar dari bumi ini adalah pada hari tuaiannya tanpa ada khilaf dalam kalangan ulama.

 

Mal Mustafad Pada Istilah

Dalam Dirasat ‘Ulum al-Syari‘ah wa al-Qanun jld.46, bil. 3, 2019 bertajuk اختلاف العلماء في اشتراط الحول في المال المستفاد oleh Fadi Sa‘ud al-Jabur menyatakan:

كل مال يدخل في ملكية الشخص بعد أن لم يكن من النقود وعروض التجارة والماشية، على أن لا يكون حاصلا بسبب التفرع والاسترباح، بل استفيد بسبب مستقل كأجر على عمل، أو هبة، أو ميراث، أو نحو ذلك، سواء أكان من جنس مال عنده، أم من غير جنسه، ويشمل الدخل المنتظم للإنسان، من راتب أو أجر، كما يشمل المكافآت والأرباح العارضة والهبات ونحوها

Maksudnya: “Setiap harta yang masuk dalam pemilikan seseorang yang sebelumnya tiada (tidak dimiliki olehnya), terdiri dari wang tunai, barang perniagaan dan haiwan ternak yang diperolehinya bukan dari sebab al-Tafarru’ (sesuatu yang diperolehi dari sebab asal harta yang dimiliki) dan al-Istirbah (keuntungan dari asal harta yang diperolehi). Bahkan perolehan itu dengan sebab tersendiri seperti upah kerja, pemberian, perwarisan atau seumpamanya, sama ada perolehan itu dari jenis yang sama dengan harta yang ada dimiliknya atau dari jenis lain. Ia merangkumi pendapatan tetap seseorang terdiri dari gaji atau upah tetap, termasuk juga ganjaran-ganjaran, keuntungan-keuntungan sekali-sekala, hadiah-hadiah dan seumpamanya.”

               Makalah oleh Dr. Muhammad bin ‘Abdillah al-Syubbani bertajuk Araa’ wa Ta’ammulat Fi Fiqh al-Zakah (2) dalam Majallah Bayan 111, Zul Kaedah 1417H menyebut, Mal Mustafad terbahagi kepada dua bahagian.

[1] Harta yang wajib zakat sebaik sahaja diperolehi seperti hasil pertanian, buah dan ma‘adin jika mencapai nisab.

[2] Harta yang masuk dalam kumpulan harta-harta memiliki haul seperti wang tunai, barang perniagaan dan haiwan ternakan. Ibn Qudamah ada mengisyaratkan kepada keadaan-keadaan harta yang memiliki haul ini dan beliau membahagikannya kepada dua bahagian;

[2.1) Mal Mustafad (sesuatu harta yang diperolehi) dari kumpulan harta yang memiliki haul, namun tiada harta lain melainkan harta yang diperolehinya itu. Mal Mustafad itu pula mencapai nisab. Atau seseorang itu memiliki harta yang sama jenis, namun tidak mencapai nisab. Dengan Mal Mustafad yang diperolehinya itu menjadikan harta tersebut mencapai nisab. Maka kewajipan zakat berlaku apabila sempurna haul.   

[2.2] Seseorang yang memiliki haul harta dari jenis yang sama dengan Mal Mustafad yang diperolehinya. Ia terbahagi kepada tiga jenis;

[2.2.1] Mal Mustafad yang diperolehi dari al-Nama’ (النماء) seperti dari keuntungan perniagaan dan pembiakan dari haiwan ternak (نتاج السائمة), maka digabungkan dengan harta asal yang ada bersamanya. Haul bagi Mal Mustafadnya adalah sama dengan haul harta asal yang dimilikinya. Perkara ini telah menjadi ittifaq dalam kalangan ulama.

[2.2.2] Mal Mustafad yang diperolehi bukan dari jenis harta yang sedia ada padanya. Maka Mal Mustafad ini tidak boleh digabungkan nisab dan haulnya dengan harta yang sedia ada di sisinya. Sekalipun nisab zakat dicapai dan selepas berlalu haul atas perolehannya itu. Jika tidak mencapai nisab, maka tiada sebarang zakat yang diwajibkan berdasarkan pandangan majoriti ulama. Akan tetapi diriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud, Ibn ‘Abbas dan Mu‘awiah R’anhum yang berpandangan wajib zakat terhadap harta tersebut ketika memperolehinya.

[2.2.3] Mal Mustafad yang diperolehi sama nisab dengan harta yang sedia ada di sisinya. Harta yang sedia ada bersamanya pula telah melalui haul. Seperti seseorang yang memiliki 40 ekor kambing yang telah melalui sebahagian haul. Kemudian dia dihadiahkan sebanyak 100 ekor kambing lain. Keadaan ini menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Apakah kambing tersebut wajib dikeluarkan zakat atau tidak? Ulama mazhab Syafi‘e berpandangan tidak wajib zakat sehinggalah sempurna haul ke atas 100 kambing tersebut. Manakala Abu Hanifah berpandangan 100 ekor kambing itu digabungkan dengan 40 ekor kambing yang sedia dimilikinya. Zakat semua kambing itu dikeluarkan apabila sempurna haul 40 kambing asal yang dimilikinya, melainkan ia adalah pertukaran dari harta yang telah dizakatkan.


Cetak  
Wallahu a'lam