Soalan:
Assalamualaikum Ustaz, saya ada degar soal jawap dari Dr. Bilal Philip di media sosial,
https://vt.tiktok.com/ZSYsvQbtA/
"soalanya adakah perlu membersihkan jika Anjing jilat pakaian atau badan kita"
jawapan ustaz itu adalah "tidak perlu serta tidak membatalkan wuduk sekalipun, dan perlu dicuci bekas makanan kita sahaja yang di jilat oleh anjing."
hukum ini boleh guna pakai ke ustaz . mohon pencerahan.
Jawapan:
Saya telah dengar potongan video yang dimaksudkan iaitulah ceramah daripada Dr. Bilal Philips. Pandangan yang disebut oleh beliau ialah pandangan mazhab Maliki, demikianlah lebih-kurang pandangan mazhab Maliki. Di sisi mazhab Maliki, anjing tidak najis. Al-Zamakhsari, ada kritik sikit mazhab Maliki dalam masalah ini dengan katanya: إذا سألوا عن مذهبي لم أبح به وأكتمه كتمانه لي أسلم... “Mereka bertanya tentang mazhabku, aku tidak menceritakannya dan aku menyembunyikannya, kerana menyembunyikan mazhab aku itu menjadikan aku selamat....” Sehinggalah dia berkata: وإن قلت مالكيا، قالوا بأنني أبيح لحم الكلاب وهم هم “Kalau aku mengaku bermazhab Maliki, sudah tentu orang ramai akan mengatakan aku ini menghalalkan daging anjing sedangkan demikianlah mereka mazhab Maliki.” وهم هم itu maksudnya “itulah mereka mazhab Maliki” atau وهم هؤلاء perkataan al-Zamakhsyari ini dia mengkritik atau tolak atau dia permain dengan pandangan mazhab Maliki dalam masalah anjing. Secara ringkasnya pandangan yang disebut oleh Dr. Bilil Philips itu dari sudut perbahsan fekah Islam, tiada penyelewengan, akan tetapi pandangan itu tidak sama dengan pandangan ulama mazhab Syafie yang berpandangan anjing itu najis dan inilah pandangan majoriti ulama. Pandangan majoriti ini berdasarkan hadis Nabi SAW: إذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِي إنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعًا “apabila ada anjing yang menjilat bebas air kamu, maka hendaklah membasuh bekas air itu dengan tujuh kali basuhan.” Kata majoriti ulama termasuk ulama mazhab Syafie, bila Nabi SAW suruh basuh, dalam riwayat hadis lain Nabi ada suruh buang saki-baki air yang jilat anjing itu, kata para ulama Syafie dan lainnya, ini menunjukkan anjing itu najis. Kalau anjing tidak najis, kenapa Nabi suruh buang saki-baki air yang ada dalam bekas?, sedangkan air amat-amat diperlukan di zaman dahulu. Demikian juga ada bukti yang menunjukkan para sahabat tidak membuang saki-baki air yang diminum oleh kucing bahkan mereka gunakan untuk berwudhu. Kabsyah menceritakan:
أنَّ أبا قتادةَ دخلَ فسَكبت لَهُ وضوءًا فجاءت هرَّةٌ فشرِبَت منْهُ فأصغى لَها الإناءَ حتَّى شرِبَت، قالَت كبشةُ: فَرآني أنظرُ إليْهِ، فقالَ: أتَعجبينَ يا ابنةَ أخي؟ فقُلتُ: نعَم، فقالَ: إنَّ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللهُ علَيهِ وسلَّمَ قالَ: إنَّها ليسَت بنجَسٍ؛ إنَّها منَ الطَّوَّافينَ عليْكم والطَّوَّافاتِ
Maksudnya: “Bahawa Abu Qatadah (bapa mertuanya) pernah berada di rumahnya. Kabsyah menghulurkan air wudhu kepadanya. Tiba-tiba datang seekor kucing dan minum air tersebut. Abu Qatadah menghulurkan air itu kepada kucing tersebut sehinggalah kucing itu minum. Kata Kabsyah: “Abu Qatadah nampak aku melihat perbuatannya itu, lalu dia bertanya: “Kamu hairan wahai anak saudaraku?” Jawab Kabsyah: “Ya.” Kata Abu Qatadah: “Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kucing itu dari kalangan haiwan yang sentiasa belegar sekitarmu.”
Ini menunjukkan air liur kucing tidak najis, kerana para sahabat menggunakan semula air bekas jilatan kucing. Tetapi berkaitan dengan jilatan anjing Nabi SAW memerintahkan supaya dibuang air yang telah diminum oleh anjing. Kalau tidak saki-baki air yang diminum anjing itu tidak najis, mengapa Nabi SAW suruh buang air? Bukankan agama melarang mensia-siakan harta dan air termasuk dalam harta dan benda yang berharga terutamanya masyarakat yang hidup di zaman dahulu. Oleh kerana itu, pandangan majoriti ulama kuat dan disokong dengan dalil. Namun pandangan yang disebut oleh Dr. Bilal Philip tadi, seperti yang telah saya nyatakan di awal, dia tidak salah dari sudut perbahasan fekah Islam yang luas. Namun sepatutnya dia perlu perincikan lagi, terutamanya jika dia faham, dia sedang berbicara di hadapan orang awal yang rata-ratanya memegang pandangan mazhab Syafie. Pandangan mazhab Maliki itu juga amat sesuai di ketengahkan kepada mereka yang menghadapi masalah berada di tempat yang banyak anjing, mungkin di sebahagian tempat seperti di Sabah dan Sarawak yang tak boleh elak dari anjing yang banyak. Insyaallah dalam situasi seperti itu, mereka boleh bertaklid kepada mazhab Maliki bagi mengelakkan mereka terjebak dalam kesusahan dalam bab taharah. Saya juga menasihati supaya tuan-tuan kekal dengan mazhab Syafie dalam masalah kenajisan anjing ini, terutamanya tiada apa-apa keperluan untuk berbeza dengan mazhab Syafie.