Soalan:
Seperti yang ketahui bahawa sembahyang sunat qabliah zohor boleh dilaksanakan sebanyak dua rakaat atau empat rakaat. Soalan saya, jika saya melakukan sembahyang sunat zohor empat rakaat, bolehkah saya melakukan dengan empat rakaat sekali salam?
Jawapan:
Suatu yang afdal (lebih utama) jika melakukan solat sunat qabliah Zohor empat rakaat dengan cara dua rakaat satu salam, dua rakaat satu salam. Boleh juga melakukannya dengan cara empat rakaat dengan satu salam. Inilah pandangan majoriti ulama berdalil hadis Ibn ‘Umar, Nabi SAW bersabda:
صَلَاةُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ مَثْنَى مَثْنَى
Maksudnya: “Solat (sunat) malam dan siang hari adalah secara dua rakaat-dua rakaat.” (Abu Daud, Ibn Khuzaiman dalam Sahihnya, demikian juga Ibn Hibban dalam Sahihnya. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Jika solat sunat dilakukan empat rakaat satu salam, ia boleh dilakukan dengan satu tasyahhud sahaja iaitulah tasyahhud atau tahiyyat akhir. Boleh juga dengan dua tasyahhud, sama seperti solat fardhu yang empat rakaat. Kata al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ 4/50 RH:
وَإِنْ زَادَ عَلَى رَكْعَةٍ فَلَهُ أَنْ يَقْتَصِرَ عَلَى تَشَهُّدٍ وَاحِدٍ فِي آخر صلاته وهذا التشهد ركن لابد مِنْهُ وَلَهُ أَنْ يَتَشَهَّدَ فِي كُلِّ رَكْعَتَيْنِ كَمَا فِي الْفَرَائِضِ الرُّبَاعِيَّةِ فَإِنْ كَانَ الْعَدَدُ وترا فلابد من التشهد في الآخرة أيضا هذا إذَا كَانَتْ صَلَاتُهُ أَرْبَعًا فَإِنْ كَانَتْ سِتًّا أَوْ عَشْرًا أَوْ عِشْرِينَ أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ شَفْعًا كَانَتْ أَوْ وِتْرًا فَفِيهَا أَرْبَعَةُ أَوْجُهٍ، الصحيح الذي قطع به العراقيون وآخرون: أنه يجوز أن يتشهد في كل ركعتين وإن كثرت التشهدات، ويتشهد في الآخرة، وله أن يقتصر على تشهد في الآخرة، وله أن يتشهد في كل أربع أو ثلاث أو ست وغير ذلك. ولا يجوز أن يتشهد في كل ركعة؛ لأنه اختراع صورة في الصلاة لا عهد بها، (وَالثَّانِي) لَا يَجُوزُ الزِّيَادَةُ عَلَى تَشَهُّدَيْنِ بِحَالٍ مِنْ الصَّلَاةِ الْوَاحِدَةِ وَلَا يَجُوزُ أَنْ يَكُونَ بَيْنَ التَّشَهُّدَيْنِ أَكْثَرُ مِنْ رَكْعَتَيْنِ إنْ كَانَ الْعَدَدُ شَفْعًا فَإِنْ كَانَ وِتْرًا لَمْ يَجُزْ بَيْنَهُمَا أَكْثَرُ مِنْ رَكْعَةٍ وَبِهَذَا الْوَجْهِ قَطَعَ الْقَاضِي حُسَيْنٌ وَصَاحِبَا التَّتِمَّةِ وَالتَّهْذِيبِ وَغَيْرُهُمْ وَهُوَ قَوِيٌّ وَظَاهِرُ السُّنَّةِ يَقْتَضِيهِ
Maksudnya: “Dan jika (solat sunat itu) lebih dari satu rakaat, seseorang itu boleh berpada dengan melakukan satu tasyahhud di rakaat terakhir. Tasyahhud ini (tasyahhud akhir) adalah rukun, ia mesti dilakukan. Seseorang itu juga boleh melakukan tasyahhud pada setiap dua rakaat, sepertimana solat fardhu yang empat rakaat. Jika bilangannya (solat sunat yang lebih dari satu rakaat itu) adalah ganjil, maka mesti ada tasyahhud akhir, jika sebelumnya dia melakukan empat rakaat. Jika solat sunat itu enam rakaat atau sepuluh atau dua puluh rakaat atau lebih, secara genap mahupun ganjil, maka terdapat empat wajah; Yang sahih seperti keputusan ‘Iraqiyyun (ulama mazhab Syafi‘e di ‘Iraq) dan lainnya bahawa boleh melakukan tasyahhud pada setiap dua rakaat (solat sunat) sekalipun akan menjadi banyak tasyahhud dan bertasyahhud pada rakaat terakhir. Boleh juga berpada dengan sekali tasyahhud di akhir solat. Boleh juga bertasyahhud pada setiap empat rakaat, atau setiap tiga rakaat atau setiap enam rakaat dan selainnya. Tidak boleh dilakukan tasyahhud pada setiap rakaat kerana ia termasuk rekaan terhadap gambaran atau bentuk solat yang tidak diketahui pernah dilakukan oleh Nabi SAW. (pandangan Kedua), tidak boleh menambah lebih dari dua tasyahhud dalam solat sunat yang sama. Tidak boleh juga ada antara dua tasyahhud lebih dari dua rakaat jika rakaatnya genap. Jika rakaatnya ganjil, tidak boleh antara dua tasyahhud lebih dari satu rakaat. Inilah yang diputuskan oleh al-Qadhi Husain dan penulis kitab al-Tatimmah dan al-Tahzib, demikian juga selain mereka. Pandangan ini kuat dan disokong dengan zahir sunnah.”
Jika seseorang memilih untuk melakukan solat sunat empat rakaat satu tasyahhud. Dia boleh membaca surah dalam setiap rakaat selepas membaca al-Fatihah. Jika dia memilih melakukan empat rakaat dengan dua tasyahhud atau lebih, dia boleh membaca surah selepas al-Fatihah pada setiap rakaat sebelum tasyahhud awal. Perkara ini berdasarkan perkataan al-Khatib al-Syirbini dalam Mughniy al-Muhtaj 1/461:
وَإِذَا صَلَّى بِتَشَهُّدٍ وَاحِدٍ قَرَأَ السُّورَةَ فِي الرَّكَعَاتِ كُلِّهَا، وَإِنْ صَلَّى بِتَشَهُّدَيْنِ فَأَكْثَرَ قَرَأَ فِي الرَّكَعَاتِ الَّتِي قَبْلَ التَّشَهُّدِ الْأَوَّلِ
Maksudnya: “Dan apabila seseorang itu menunaikan solat sunat dengan satu tasyahhud, dia boleh membaca surah dalam setiap rakaat semuanya (selepas membaca al-Fatihah). Jika dia memilih untuk melakukan dua tasyahhud atau lebih, maka dia boleh membaca surah dalam rakaat-rakaat sebelum tasyahhud awal.”