SDI 1675: Yakin Imam Solat Asar Lima Rakaat

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz

Saya baru lepas solat Asar berjemaah. Saya pasti Imam telah solat 5 rakaat. Pada rakaat ketiga Imam buat tahiyat awal buat kali kedua. Saya dan beberapa makmum sebelah saya sudah bangun. Saya di saf pertama, sebelah kiri agak hujung. Saya cuma mengharapkan makmum dibelakang imam menegur. (Mungkin sudah menegur dan suara agak perlahan (cuma agakkan saya)). Tetapi, imam meneruskan solat spt biasa. Saya dan beberapa makmum lain terus beri salam di rakaat keempat. Yg belakang imam masih meneruskan solat. Apa yg patut saya lakukan sebenarnya? Selepas habis mereka solat, saya patut menegur atau tidak?

(Saya yakin dan pasti imam telah solat 5 rakaat)

Jawapan:

 

Pertama sekali kalau berlaku sekali lagi perkara seperti itu kalau kita yakin imam menambah rakaat, sebagai contoh solat Zohor dia tambah rakaat jadi lima rakaat, bagi kita yang yakin imam menambah rakaat, kita tidak boleh ikut tambahan tersebut. Jika kita ikut juga maka solat kita batal.

Jika berlaku seperti yang ditanya, maka ada dua pilihan. Pertama kita boleh kekal duduk pada rakaat keempat untuk melakukan tahiyyat akhir apabila imam bangun pada rakaat kelima setelah ditegur, namun imam kekal berada pada rakaat kelima. Maka kita boleh duduk bertasyahhud, setelah habis bertasyahhud kita boleh kekal tunggu imam, dengan berdoa sehinggalah imam selesai rakaat, sehingga duduk untuk bertasyahhud dan apabila imam memberi salam, kita turut memberi salam bersama imam. Sebab apa kita boleh tunggu? Kerana ada kemungkinan imam ada melakukan kesalahan dalam solat sebagai contoh, imam lupa membaca al-Fatihah pada rakaat pertama. Jadi rakaat pertama yang terlupa baca al-Fatihah itu tidak dikira pada imam. Jadi imam kena tambah lagi satu rakaat. Manakala makmum yang tidak melakukan kesalahan itu, wajib membuat empat rakaat sahaja dan tidak boleh manambah rakaat kerana mengikut imam. Kita kekal duduk tanpa perlu mufaraqah dari solat. Inilah tindakan yang afdhal atau lebih utama.

Pilihan kedua, apabila imam bangun pada rakaat kelima bagi solat Zohor. Kita pula yakin imam menambah rakaat, maka menjadi kewajipan kepada makmum yang yakin imam tertambah rakaat untuk menegur imam. Setelah kita tegur dengan menyebut subhanallah pada kadar suaranya sampai kepada imam. Jika imam kekal berdiri dalam rakaat kelima. Maka pilihan kedua bagi saudara ialah berniat keluar atau mufaraqah dari berjemaah berpindah kepada solat bersendiri. Kita terus bertahiyyat sehingga habis dan memberi salam.

Seperti yang dinyatakan, makmum yang yakin imam melakukan kesalahan wajib menegur imam. Kalau seorang sahaja yang menegur, imam pula tak yakin dengan teguran tersebut, kerana sepertimana imam boleh tersilap, maka demikian juga makmum boleh tersilap. Oleh itu kalau tiga atau empat makmum yang pasti imam melakukan kesilapan, apabila mereka mendapati imam tidak bertindak selepas ditegur oleh seorang makmum, maka mereka juga wajib menegur imam. Jika yang membuat teguran itu ramai, maka imam wajib mengikut teguran makmum yang ramai. Melainkan jika imam ada sebab untuk kekal berdiri seperti yang saya jelaskan di awal tadi, mungkin imam tertinggal rukun pada rakaan yang awal.  


Cetak  
Wallahu a'lam