SDI 1679: Satu Telapak Tangan Tidak Berada Di Lantai Ketika Sujud

Soalan:

Assalamualaikum...Ketika turun dalam salah 1 sujud, kerana angin kipas masjid kuat, tersingkap bahagian baju belakang saya...maka saya terus menarik semula bahagian tersingkap supaya tertutup aurat saya...maka ketika sujud itu, salah satu tapak tangan tidak berada di tempat sujud...bila habis solat, teringat saya bahagian2 anggota tubuh yg perlu berada di lantai ketika sujud...jadi bagaimana solat saya?

(nota: Baju tidak singkat tapi baju kurta yg berkain ringan. Dalam keadaan biasa, tidak tersingkap)

Jawapan:

Thabit dalam hadis baginda SAW memerintahkan sujud di atas tujuh anggota iaitulah muka (dahi), dua telapak tangan, dua lutut, dan jari-jemari kedua-dua belah kaki. Baginda bersabda:

 أمرت أن أسجد على سبعة أعظم: على الجبهة، واليدين، والركبتين، وأطراف القدمين

maksudnya: "Aku diperintahkan agar sujud di atas tujuh anggota, dahi, dua telapak tangan, dua lutut dan jari-jemari kedua belah kaki." (al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama berbeza pandangan berkaitan orang yang meletakkan dahinya ke tempat sujud, namun tidak meletakkan anggota sujud yang lain, apakah sujud tersebut sah atau tidak?

Sebahagian ulama berpandangan, sujud seperti tersebut sah. Kerana telah berlaku perbuatan sujud apabila seseorang meletakkan wajahnya ke bumi. Manakala sebahagian ulama lain mengatakan tidak sah, kerana beranggapan orang tersebut belum mematuhi perintah Nabi SAW agar sujud di atas tujuh anggota. (Lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid)

Ulama kumpulan pertama terdiri dari Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafi'e berdasarkan salah satu pandangan beliau. Manakala pandangan kedua mewakili pandangan Imam Ahmad menurut al-Mazhab dan Imam Syafie menurut al-Asah.

Oleh kerana itu, saudara yang melakukan perbuatan tersebut dalam keadaan tidak tahu, solat tersebut adalah sah dan tidak wajib diulangi. Namun jangan ulangi lagi perbuatan yang sama di waktu akan datang. Namun jika saudara telahpun meletakkan kedua-dua telapak tangan ke lantai di awal sujud sebelum mengangkatnya untuk menahan baju dari tersingkap aurat. Maka solat saudara tiada masalah insyaAllah kerana telah berlaku perbuatan sujud dengan meletakkan tujuh anggota ke lantai.


Cetak  
Wallahu a'lam