Soalan:
Assalam ybh Ustaz
Saya ada 1 masalah berkaitan dgn daimul hadas @ salisi al baul.
Saya ada membaca artikel dlm irsyad hukum jab mufti KL tp ada 1 perkara yg masih tidak menyelesaikan masalah saya.
Apa yg saya faham ringkasnya 1 wuduk = 1 solat fardhu dan bbrapa solat sunat serta diambil wuduknya setelah masuk waktu.
PERSOLAN SAYA :
Jika pada hari Jumaat, saya perlu ke masjid dan biasanya sebelum azan pertama@azan zohor utk membolehkan saya mendapatkan parkir yg paling hampir kerana saya berstatus oku kecederaan tulang belakang.
Jadi jika dilihat pada hukum wuduk perlu diambil setelah bersih/balut/selepas azan pertama , jika lihat situasi saya wuduk ketika saya keluar rumah masih belum azan dan jika nak ambil wuduk di masjid agak sukar bagi saya kerana perlu mengulangi bersih/balut/wuduk. Jadi bagaimana utk saya selesaikan masalah saya ini ?
Terima kasih. Wassalam
Jawapan:
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Saya memohon kepada Allah SWT agar mengurniakan kesembuhan segera kepada anda yang bertanya. Mudah-mudahan anda sentiasa berada dalam perlindungan Allah dan dikurniakan pahala yang berlipat-kali ganda. Merujuk kepada soalan yang diajukan, maka ringkasan jawapannya adalah seperti berikut:
Anda boleh mengambil wudhu di rumah sebelum masuk waktu Jumaat ketika bersiap untuk keluar menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Inilah pandangan ulama mazhab Maliki yang tidak mensyaratkan penghidap masalah sentiasa berhadas (صاحب الحدث الدائم) seperti anda berwudhu setelah masuk waktu solat. Namun jika tiada lagi kesukaran seperti yang anda sebutkan dalam soalan, anda dinasihatkan berwudhu setelah masuk waktu solat seperti pandangan majoriti ulama.
Huraian jawapan ini adalah seperti berikut:
- Mereka yang mengidap masalah sentiasa berada dalam keadaan berhadas (صاحب الحدث الدائم) seperti seorang Salis al-Baul atau penghidap Salas al-Baul, berdasarkan pandangan majoriti ulama terdiri ulama mazhab Hanafi, Syafi‘e dan Hambali (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 3/33), wajib menunggu masuknya waktu solat untuk berwudhu. Hal ini berdasarkan hadis ‘Aisyah RA yang berkata:
جَاءَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ أَبِي حُبَيْشٍ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلَا أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلَاةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ( لَا إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِحَيْضٍ فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَتُكِ فَدَعِي الصَّلَاةَ وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ ثُمَّ صَلِّي ) وفي لفظ : ( ثُمَّ تَوَضَّئِي لِكُلِّ صَلَاةٍ حَتَّى يَجِيءَ ذَلِكَ الْوَقْتُ )
Maksudnya: “Fatimah bin Abi Hubais datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, daku seorang wanita yang sering keluar darah (istihadhah). Apakah aku perlu meninggalkan solat?” Jawab Rasulullah SAW: “Jangan kamu tinggalkan solat, darah tersebut hanyalah darah penyakit dan bukan darah haid. Kamu tinggalkan solat ketika didatangi darah haid. Apabila darah haidmu tiada lagi, maka mandilah (kerana kering dari haid) dan tunaikan solat.” Dalam sebahagian lafaz hadis lain dinyatakan: “Kemudian kamu berwudhulah bagi setiap solat sehinggalah datang semua waktu haid kamu.” (HR al-Bukhari)
Al-‘Aini dalam Syarh Sunan Abi Daud 2/86 menyatakan:
"وتوضئي لكل صلاة" أي: لوقت كل صلاة، واللام للتوقيت، كما في قوله تعالى: "أقم الصلاة لدلوك الشمس"...
Maksudnya: “(Hadis Nabi SAW) kamu berwudhulah bagi setiap solat” iaitulah kamu berwudhu pada waktu setiap solat (setelah waktu masuk). Huruf “Lam” (pada لكل) bertujuan menetapkan waktu (mula waktu berwudhu apabila masuk waktu solat) seperti dalam firman Allah: “Dirikanlah solat bermula apabila tergelincirnya matahari (solat Zohor)…”
- Bagi penghidap masalah sentiasa berada dalam keadaan berhadas yang akan menghadapi keadaan yang lebih sukar dan tertekan untuk berwudhu setelah masuk waktu seperti keadaan yang digambarkan oleh saudara, insya Allah saudara boleh berwudhu sebelum masuk waktu ketika bersiap untuk keluar menuju ke masjid. Kerana perbuatan ini termasuk dalam ertikata berwudhu untuk menunaikan setiap solat. Inilah pandangan sebahagian ulama antara mereka adalah ulama mazhab Maliki yang berpandangan penghidap masalah sentiasa berhadas boleh berwudhu pada bila-bila masa yang mereka kehendaki dan wudhu tersebut tidak terbatal melainkan jika mereka melakukan perkara yang membatalkan wudhu. Inilah pandangan yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH dengan katanya:
والأحداث اللازمة ـ كدم الاستحاضة وسلس البولـ لا تنقض الوضوء ما لم يوجد المعتاد، وهو مذهب مالك
Maksudnya: “Dan hadas-hadas yang sentiasa ada pada seseorang seperti istihadhah dan salasul baul, wudhu tidak terbatal selagi tidak berlaku perkara biasa yang membatalkan wudhu. Inilah mazhab Malik.”
Perkara biasa yang membatalkan wudhu di sisi ulama mazhab Maliki berdasarkan pernyataan dalam kitab al-Fawakih al-Dawani 1/111:
يَجِبُ لِمَا يَخْرُجُ عَلَى وَفْقِ الْعَادَةِ مِنْ أَحَدِ الْمَخْرَجَيْنِ الْمُعْتَادَيْنِ، وَهُمَا الْقُبُلُ وَالدُّبُرُ، عَلَى وَجْهِ الصِّحَّةِ
Maksudnya: “wajib (berwudhu) disebabkan apa-apa yang keluar menurut kebiasaan dari salah satu jalan keluar yang biasa iaitulah qubul dan dubur dalam keadaan sifat.”
Huraian kepada point ini dinyatakan:
وَقَيَّدْنَا بِقَوْلِنَا عَلَى وَجْهِ الصِّحَّةِ لِلِاحْتِرَازِ عَنْ الْخَارِجِ مِنْ الْقُبُلِ، أَوْ الدُّبُرِ عَلَى وَجْهِ السَّلَسِ الْمُلَازِمِ لِصَاحِبِهِ، وَلَوْ نِصْفَ الزَّمَنِ، فَإِنَّهُ لَا يَنْقُضُ، لَكِنْ يُسْتَحَبُّ مِنْهُ الْوُضُوءُ
Maksudnya: “Kami letakkan syarat (wajib berwudhu apabila keluar sesuatu dari qubul atau dubur) “dalam keadaan sifat” bagi tidak memasukkan sesuatu yang keluar dari qubul atau dubur dalam keadaan salasul baul (bukan dalam keadan sihat) yang sentiasa ada pada penghidapnya sekalipun separuh waktu, kerana ia (sesuatu yang keluar bukan dalam keadan sihat) tidak membatalkan wudhu. Namun disunatkan penghidapnya berwudhu.”
- Berdasarkan huraian ini, anda yang bertanya boleh mengambil pandangan ulama mazhab Maliki ketika berhadapan dengan keadaan yang lebih sukar dan tertekan untuk berwudhu setelah masuk waktu. Anda boleh berwudhu sebelum masuk waktu ketika bersiap untuk keluar menuju ke masjid. Namun jika tiada lagi kesukaran tersebut, anda hendaklah berwudhu setelah masuk waktu solat seperti pandangan majoriti ulama.