SDI 1683: Hukum Membasuh Anak Batu Melontar Jamrah

Soalan:

Apakah sunat membasuh anak-anak batu yang hendak digunakan untuk melontar jamrah ketika melaksanakan haji?

Jawapan:

Tidak mengapa membasuh anak-anak batu yang hendak digunakan melontar jamrah. Bahkan ulama mazhab Syafi‘e berpandangan perbuatan tersebut adalah sunat.

Tidak dinafikan wujud perbezaan pendapat ulama dalam masalah ini. Di mana majoriti ulama berpandangan digalakkan (mustahab) melontar dengan anak batu yang bersih atau suci. Ada juga dalam kalangan ulama yang menganjurkan membersih atau membasuh anak batu yang kelihatan jelas bernajis. Jika tiada najis yang jelas tiada anjuran untuk dibasuh.

Namun, anjuran membasuh anak-anak batu yang hendak digunakan untuk melontar jamrah dinyatakan oleh ulama Mazhab Syafi‘e. Al-Syirazi dalam al-Muhazzab 8/153 berkata:

قَدْ ذَكَرْنَا أَنَّ مَذْهَبَنَا أَنَّهُ يُسْتَحَبُّ غَسْلُ حَصَى الْجِمَارِ وَيُسْتَحَبُّ الْتِقَاطُهَا وَيُسْتَحَبُّ أَنْ لَا يَكْسِرَهَا قَالَ الْمَاوَرْدِيُّ وَاخْتَارَ قَوْمٌ كَسْرَهَا وَاخْتَارَ قَوْمٌ أَنْ لَا تُغْسَلَ بَلْ كَرِهُوا غَسْلَهَا، قَالَ ابْنُ الْمُنْذِرِ لَا يُعْلَمُ فِي شئ مِنْ الْأَحَادِيثِ إنَّ النَّبِيَّ ﷺ غَسَلَهَا وَأَمَرَ بِغَسْلِهَا قَالَ وَلَا مَعْنَى لِغَسْلِهَا قَالَ وَكَانَ عَطَاءٌ وَالثَّوْرِيُّ وَمَالِكٌ وَكَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْعِلْمِ لَا يَرَوْنَ غَسْلَهَا قَالَ وروينا عن طاوس انه كان يغسلها

Maksudnya: “Telah kami nyatakan bahawa mazhab kami disunatkan membasuh anak batu untuk melontar jamrah. Disunatkan juga mengutipnya dan tidak dipecahkannya. Kata al-Mawardi: “Sekumpulan ulama memilih boleh dipecahkan anak batu melontar, ada pula yang memilih tidak perlu dibasuh terlebih dahulu bahkan mereka berpandangan makruh membasuhnya. Kata Ibn al-Munzir: “Dan tidak diketahui adanya sesuatu hadis, bahawa Nabi SAW membasuh anak batu yang hendak dibuat melontar jamrah atau mengarahkan membasuhnya.” Beliau juga berkata: “Tiada juga sebarang makna untuk membasuh anak-anak batu tersebut” Kata beliau (Ibn al-Munzir) “‘Atha’, al-Thauri, Malik dan ramai ulama berpandangan tidak perlu membauhnya.” Beliau juga berkata: “Diriwayatkan kepada kami daripada Tawus yang ada membasuh anak batu untuk dibuat melontar jamrah.”

al-Imam al-Nawawi dalam al-Idhah Fi Manasih al-Hajj wa al-‘Umrah, 303 menyatakan:

قَالَ الشَّافِعِي رَحِمَهُ الله تَعَالَى: وَلاَ أكْرَهُ غَسْلَ حَصَى الجمارِ بَلْ لَمْ أزَلْ أعْمَلُهُ وَأُحِبه

Maksudnya: “Kata al-Syafi‘e RH: “Aku tidak makruhkan membasuh anak batu untuk digunakan melontar jamrah, bahkan aku sentiasa dan suka membasuhnya untuk melontar.”

Demikian juga Ibn Qudamah dalam al-Mughni 3/380 menyebut ada diriwayatkan Ibn ‘Umar juga membasuh terlebih dahulu anak batu yang hendak digunakan untuk melontar jamrah.


Cetak  
Wallahu a'lam