SDI 1685: Mandi Ihram

Soalan:

Apakah ada mandi ihram?

Jawapan:

Disunatkan bagi seseorang yang hendak berihram, sama ada ihram haji mahupun umrah, wajib ataupun sunat untuk mandi terlebih dahulu. Ibn Qudamah dalam al-Mughniy 5/75 menyatakan inilah yang pandangan majoriti ulama seperti Tawus, al-Nakha‘ie, Malik, al-Thauri, al-Syafi‘e dan ulama Ashab Ra’y. Dalil mereka ialah hadis Kharijah bin Zaid bin Thabit (خَارِجَةُ بْنُ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ), daripada bapanya:

أَنَّهُ رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَجَرَّدَ لِإِهْلَالِهِ، وَاغْتَسَلَ

Maksudnya: “Bahawa beliau pernah melihat Nabi SAW membuka pakaian baginda untuk berihram dan baginda mandi (terlebih dahulu).” (HR al-Tirmizi dan beliau berkata: “Hadis hasan gharib.”

Demikian juga berdasarkan perintah Nabi SAW kepada Asma’ binti ‘Umais (أَسْمَاء بِنْت عُمَيْسٍ) yang dalam keadaan bernifas untuk mandi sebelum berihram. Demikian juga perintah baginda SAW kepada ‘Aisyah RA yang dalam keadaan berhaid agar mandi ketika hendak berihram haji.

Hukum mandi ihram ini adalah sunat bukan wajib. Kata Ibn al-Munzir: أَجْمَعَ أَهْلُ الْعِلْمِ عَلَى أَنَّ الْإِحْرَامَ جَائِزٌ بِغَيْرِ اغْتِسَالٍ، وَأَنَّهُ غَيْرُ وَاجِبٍ “Telah sepakat para ulama bahawa ihram dibolehkan sekalipun tanpa mandi dan mandi ihram itu bukan satu yang wajib.”

               Ulama mazhab Syafi‘e juga berpandangan sesiapa yang tidak mampu mandi, sunat dia bertayammum dan berwudhu bagi yang mampu  melakukan kedua-duanya atau salah satunya, kerana melihat sunat mandi itu pada sisi ibadah dan membersihkan diri. Manakala bagi wanita yang berhaid dan bernifas disunatkan mandi pada sisi anjuran sunat membersihkan diri.


Cetak  
Wallahu a'lam