Soalan:
Ustaz, selepas iktidal imam dalam proses nak turun sujud, dan makmum sempat habiskan al fatihah dan sempat rukuk sebelum imam turun sujud dengan sempurna, persoalan saya adakah makmum tersebut dapat rakaat bersama dengan imam sekalipun imam dah nak turun sujud (lagi sikit dah nak sujud)..
Jawapan:
Pandangan Asah mazhab Syafi‘e, makmum seperti itu tidak mendapat rakaat tersebut. Jika dia sememangnya tidak mendapat waktu yang cukup untuk menghabiskan bacaan al-Fatihah.
Makmum masbuk yang tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah ketika imam berdiri menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Apakah makmum masbuk tersebut perlu menyempurnakan bacaan al-Fatihahnya, sekalipun imam bangun untuk melakukan iktidal. Atau makmum masbuk tersebut perlu rukuk dan tidak perlu menyempurnakan bacaan al-Fatihahnya, bagi mengikut perbuatan imam. Al-Khatib al-Syirbini dalam Mughniy al-Muhtaj 1/507-508 menyatakan:
(فَأَمَّا مَسْبُوقٌ رَكَعَ الْإِمَامُ فِي) أَثْنَاءِ قِرَاءَتِهِ (فَاتِحَتِهِ فَالْأَصَحُّ أَنَّهُ إنْ لَمْ يَشْتَغِلْ بِالِافْتِتَاحِ وَالتَّعَوُّذِ) أَوْ بِأَحَدِهِمَا (تَرَكَ قِرَاءَتَهُ) لِبَقِيَّةِ فَاتِحَتِهِ (وَرَكَعَ) مَعَهُ لِأَنَّهُ لَمْ يُدْرِكْ غَيْرَ مَا قَرَأَهُ (وَهُوَ) بِالرُّكُوعِ مَعَ الْإِمَامِ (مُدْرِكٌ لِلرَّكْعَةِ) كَمَا لَوْ أَدْرَكَهُ فِي الرُّكُوعِ فَإِنَّ الْفَاتِحَةَ تَسْقُطُ عَنْهُ وَيَرْكَعُ مَعَهُ وَيُجْزِئُهُ، فَإِنْ تَخَلَّفَ بَعْدَ قِرَاءَةِ مَا أَدْرَكَهُ مِنْ الْفَاتِحَةِ لِإِتْمَامِهَا وَفَاتَهُ الرُّكُوعُ مَعَهُ وَأَدْرَكَهُ فِي الِاعْتِدَالِ بَطَلَتْ رَكْعَتُهُ لِأَنَّهُ لَمْ يُتَابِعْهُ فِي مُعْظَمِهَا وَكَانَ تَخَلُّفُهُ بِلَا عُذْرٍ فَيَكُونُ مَكْرُوهًا
Maksudnya: “Adapun masbuq, apabila imam rukuk ketika dia membaca al-Fatihah, pandangan al-Asah, jika masbuq itu tidak memulakan solatnya dengan membaca doa iftitah dan ta‘awwudz, atau salah satunya (sebaliknya terus membaca al-Fatihah sebaik sahaja memasuki solat), dia boleh meninggalkan bacaan al-Fatihahnya (tidak perlu menyempurnakan al-Fatihah) dan rukuk bersama imam, kerana makmum seperti ini tidak memperolehi (waktu untuk menyempurnakan bacaan al-Fatihah) melainkan kadar yang sempat dibacanya sahaja. Makmum masbuq seperti ini, dengan rukuknya bersama imam menjadikan dia mendapat rakaat tersebut sama sepertimana jika dia sempat mendapatkan solat ketika imamnya rukuk, di mana kewajipan membaca al-Fatihah padanya gugur, dia terus rukuk bersama imam dan rakaat tersebut diperolehinya. Jika makmum masbuk seperti ini, menyalahi perbuatan imam selepas kadar fatihah yang diperolehinya kerana hendak menyempurnakan al-Fatihah, sehingga dia terlepas rukuk bersama dengan imam, sebaliknya dapat bersama dengan imam ketika iktidal imam, maka rakaat tersebut batal (makmum tidak memperolehinya), kerana dia tidak mengikuti imam pada kebanyakan perbuatan solat. Kelewatannya dari mengikuti imam itu pula tidak termasuk dalam satu keuzuran (yang dibenarkan), maka makruh perbuatannya itu.”