Solat dua rakaat Isyraq berbeza daripada solat Dhuha menurut Muzajjad al-Zabidi (المزجد الزبيدي) dalam al-‘Ubab (العباب) dan Ibn Hajar. Manakala menurut Syihab al-Ramli dan al-Ziyadi (الزيادي), ia adalah solat Dhuha. Perselisihan ini membawa kepada tiga isu:
1. Jika kita mengatakan ia bukan Dhuha, maka solat Isyraq terlaksana dengan dua rakaat selepas matahari meninggi.
2. Jika kita mengatakan ia bukan Dhuha, maka ia hanya dua rakaat dan tidak terkait dengan jumlah rakaat solat Dhuha.
3. Solat Isyraq tamat waktunya apabila berlalunya waktu dari apabila terbit matahari sehingga ia naik meninggi. Waktunya tidak berlanjutan hingga ke waktu Zawal.
Secara keseluruhannya, solat Isyraq adalah solat yang mempunyai waktu tertentu, namun tiada sebab, berdasarkan pernyataan al-Rafi‘e dan lainnya. Terdapat perbezaan pendapat tentang bila waktu ia bermula:
Pendapat pertama: Waktunya bermula apabila matahari naik seukuran sebatang tombak, kira-kira enam belas minit selepas matahari naik. Inilah pendapat yang muktamad seperti dalam al-Tahqiq dan al-Majmu'.
Pendapat kedua: Waktunya bermula dari terbitnya matahari, bukan dari naik dan meninggi matahari. Al-Adzra'i menyatakan bahawa pandangan ini perlu dipertimbangkan, kerana pandangan umum ulama mazhab Syafi‘e adalah pandangan pertama.
Berdasarkan pernyataan ini, sunat melewatkan perlaksanaannya sehingga matahari meninggi. Berdasarkan pandangan kedua yang mengatakan waktunya bermula dengan terbit matahari sekalipun sebelum matahari naik meninggi sekadar sebatang tombak , menunjukkan jika solat Isyraq dilakukan sebaik sahaja terbit matahari dan sebelum ia naik pada kadar sebatang tombak, ia dibenarkan dan waktu makruh tidak memberi kesan kerana ia termasuk dalam solat yang mempunyai waktu tertentu, seperti yang dinyatakan oleh Qalyubi ‘Ala al-Mahalli. Manakala menurut pendapat pertama yang muktamad, solat Isyraq tidak sah jika dilakukan sebelum matahari naik meninggi kadar sebatang tombak, bukan kerana ia dalam waktu makruh, tetapi kerana waktu solat itu belum masuk.
- Al-Syeikh Sa‘id al-Jabiri (الشيخ سعيد الجابري)/Terjemahan bebas: binSahak -