Soalan:
Ustaz, jika air yang sedikit seperti satu botol mineral masih boleh digunakan untuk berwudhu, jika bercampur dengan benda suci yang lain?
Jawapan:
Wujud perbezaan pendapat ulama dalam masalah ini. Namun pandangan yang dilihat lebih kuat ialah, air yang berubah sama ada kerana berubah dengan sendirinya atau dengan sebab bercampur dengan benda suci, sama ada benda suci itu sukar untuk dielakkan atau tidak sukar, selagi air tersebut masih dapat dinamakan sebagai air dan benda suci yang bercampur dengannya tidak merubah warna, bau dan rasa asal air, maka air tersebut adalah air tahur yang kekal suci dan dapat mensucikan yang lain. Justeru ia masih boleh digunakan untuk berwudhu.
Inilah pandangan Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad berdasarkan jawapan terbanyak beliau seperti yang dinukilkan oleh Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa 21/25. Dalil bagi pandangan ini berdasarkan firman Allah SWT:
﴿... وَإِن كُنتُم مَّرۡضَىٰٓ أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوۡ جَآءَ أَحَدٞ مِّنكُم مِّنَ ٱلۡغَآئِطِ أَوۡ لَٰمَسۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَلَمۡ تَجِدُواْ مَآءٗ فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدٗا طَيِّبٗا فَٱمۡسَحُواْ بِوُجُوهِكُمۡ وَأَيۡدِيكُم مِّنۡهُۚ .... ٦﴾
Maksudnya: “…dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, dan kamu tidak mendapati air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu…” (Al-Maidah: 6)
Firman Allah SWT dalam ayat ini yang bermaksud: “dan kamu tidak mendapati air”, di mana perkataan “ مَآءٗ ” iaitulah “air” diungkapkan secara nakirah dalam struktur ayat penafian. Ia menatijahkan umum merangkumi semua yang boleh dinamakan sebagai air. Tanpa melihat sama ada percampuran itu dengan perkara luar yang tidak dapat dielakkan atau dapat dielakkan. Oleh itu selagi air tersebut dapat dinamakan sebagai air dan benda suci yang bercampur dengannya tidak dapat menghilangkan penamaan sebagai air semata-mata, maka air itu masih suci dan dapat digunakan untuk berwudhu dan menghilangkan najis.