Soalan:
Seorang yang menunaikan solat fardhu lima waktu, akan tetapi masih melakukan dosa dan maksiat. Apakah benar solat tersebut hanya akan menjadikan orang itu semakin jauh dari Allah? Ada orang orang mendakwa terdapat hadis yang berbunyi: “Sesiapa yang solatnya tidak dapat menghalang dirinya dari perbuatan keji dan mungkar, maka solatnya itu akan menambahkan dirinya jauh dari Allah.” Betulkah dakwaan ini?
Jawapan:
Hadis yang ditanya sebahagiannya diriwayatkan dengan lafaz:
كُلُّ صَلَاةٍ لَمْ تَنْهَ عَنْ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ لَمْ يَزْدَدْ صَاحِبُهَا مِنْ اللَّهِ إلَّا بُعْدًا
Maksudnya: “Setiap solat yang tidak dapat menghalang dari perbuatan keji dan mungkin, tidak akan menambahkan apa-apa kepada pelakunya melainkan semakin jauh dari Allah.”
[1] Disertakan di bawah ini penilaian beberapa ulama terhadap hadis ini:
[i] Ibn al-Junaid RH dalam al-‘Ilal 1/381 berkata tentang hadis ini yang diriwayatkan daripaa Ibn ‘Abbas RA: حديث كذب وزور “Satu hadis yang dusta lagi palsu.”
[ii] Ibn Hibban RH dalam al-Majruhin 2/314 berkata tentang hadis ini yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar RA: لا أصل لهذا عن النبي صلى الله عليه وسلم “Tidak bersumberkan dari Nabi SAW.”
[iii] Ibn Taimyyah RH dalam Majmu’ al-Fatawa 5/22 berkata: ليس بثابت عن النبي صلى الله عليه وسلم “Tidak sabit dari Nabi SAW.”i
[2] Sebab orang yang menunaikan solat masih melakukan maksiat dan dosa.
Bagi menjawab persoalan ini, disertakan di bawah ini terjemahan jawapan daripada Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH dalam Majmu’ al-Fatawa 5/22:
الصَّلَاة تَنْهَى عَنْ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ كَمَا ذَكَرَ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ. وَبِكُلِّ حَالٍ فَالصَّلَاةُ لَا تَزِيدُ صَاحِبَهَا بُعْدًا. بَلْ الَّذِي يُصَلِّي خَيْرٌ مِنْ الَّذِي لَا يُصَلِّي، وَأَقْرَبُ إلَى اللَّهِ مِنْهُ، وَإِنْ كَانَ فَاسِقًا. لَكِنْ قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: لَيْسَ لَك مِنْ صَلَاتِك إلَّا مَا عَقَلْت مِنْهَا. وَقَدْ قَالَ النَّبِيُّ ﷺ ﴿إنَّ الْعَبْدَ لَيَنْصَرِفُ مِنْ صَلَاتِهِ. وَلَمْ يُكْتَبْ لَهُ مِنْهَا إلَّا نِصْفُهَا، إلَّا ثُلُثُهَا، إلَّا رُبْعُهَا، حَتَّى قَالَ: إلَّا عُشْرُهَا﴾ فَإِنَّ الصَّلَاةَ إذَا أَتَى بِهَا كَمَا أُمِرَ نَهَتْهُ عَنْ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ، وَإِذَا لَمْ تَنْهَهُ دَلَّ عَلَى تَضْيِيعِهِ لِحُقُوقِهَا، وَإِنْ كَانَ مُطِيعًا. وَقَدْ قَالَ تَعَالَى: ﴿فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ﴾ الْآيَةَ. وَإِضَاعَتُهَا التَّفْرِيطُ فِي وَاجِبَاتِهَا، وَإِنْ كَانَ يُصَلِّيهَا، وَاَللَّهُ أَعْلَمُ
Maksudnya: "Solat akan mencegah dari perbuatan keji dan mungkar seperti yang difirmankan oleh Allah dalam al-Quran. Setiap keadaan solat tidak akan menjadikan pelakunya semakin jauh dari Allah. Bahkan orang yang solat (jauh) lebih baik berbanding yang tidak solat dan orang solat lebih dekat kepada Allah berbanding yang tidak solat, sekalipun orang yang solat tersebut seorang fasik. Namun ia seperti yang dikatakan oleh Ibn Abbas RA: “Kamu hanya memperoleh daripada solatmu menurut apa yang kamu sedar (khusus) ketika menunaikannya.” Nabi ﷺ juga telah bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba mungkin apabila selesai dari solatnya, tidak dicatit pahala untuknya melainkan hanya separuh, atau 1/3, atau ¼ sahaja.” Sehingga bersabda: “(Ada yang tidak memperoleh dari solatnya sesuatu) melainkan 1/10 sahaja.” Ini kerana, apabila seseorang menunaikan solat sebagaimana yang diperintahkan, maka solat itu akan mencegahnya dari perkara keji dan mungkar. Jika solat tidak mencegahnya, itu menunjukkan bahawa dia telah mengabaikan hak-hak (adab-adab) solat, meskipun dia adalah seorang yang telah mematuhi perintah menunaikan solat. Allah Ta'ala berfirman: “Maka datanglah selepas mereka generasi yang melalaikan solat.’ (Surah Maryam: 59) Melalaikannya bermaksud mengabaikan kewajipan-kewajipannya, walaupun dia menunaikannya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui."