SDI 1697: Hukum Mengangkat Tangan Ketika Takbir Solat Jenazah

Soalan: 

Apakah disunatkan mengangkat tangan ketika bertakbir dalam solat Jenazah?  

Jawapan: 

  1. Takbir Pertama (Takbiratul Ihram): Para ulama sepakat (ijma’ ulama) bahawa mengangkat tangan ketika takbir pertama atau Takbiratul Ihram dalam solat jenazah adalah disunatkan.
  2. Takbir-takbir selepasnya: Para ulama berbeza pendapat mengenai mengangkat tangan pada takbir-takbir berikutnya:

Pendapat Yang Mengatakan Sunat

Inilah pendapat mazhab Syafi'i dan Ahmad. Dalam untuk pandangan ini ialah:

Terdapat riwayat yang menunjukkan Umar, Abdullah bin Umar, dan Hasan bin Ali radhiallahu 'anhum melakukan hal tersebut. Terdapat juga riwayat daripada Zaid bin Thabit yang pernaj melihat seorang lelaki mengangkat tangan pada setiap takbir solat jenazah dan beliau berkata: ﺃﺻﺎﺏ اﻟﺴﻨﺔ "Lelaki itu telah menepati sunnah (dalam perbuatannya)."

Al-Imam al-Bukhari dalam Raf‘u al-Yadain meriwayatkan dengan sanad yang dinilai sahih oleh al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani dari Ibn Umar yang mengangkat tangan pada setiap kali takbir dalam solat jenazah.

Al-Imam al-Baihaqi dalam Ma’rifah al-Sunan wa al-Athar berkata:

قَالَ الشَّافِعِيُّ فِي الْقَدِيمِ: وَأَخْبَرَنَا مَنْ، سَمِعَ سَلَمَةَ بْنَ وَرْدَانَ، يَذْكُرُ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، أَنَّهُ كَانَ «يَرْفَعُ يَدَيْهِ كُلَّمَا كَبَّرَ عَلَى الْجِنَازَةِ»

Maksudnya: “Kata al-Syafie dalam pandangan qadimnya: menceritakan kepada kami mereka yang mendengar dari Salamah bin Wardan yang menyebut daripada Anas bin Malik seringkali mengangkat dua tangannya ketika bertakbir dalam solat jenazah.”

               Demikian juga al-Imam al-Syafie meriwayatkan perkara yang sama daripada ‘Urwah dan Ibn Musayyib. Al: Imam al-Syafie juga berkata: ﻭﻋﻠﻰ ﺫﻟﻚ ﺃﺩﺭﻛﻨﺎ ﺃﻫﻞ اﻟﻌﻠﻢ ﺑﺒﻠﺪﻧﺎ “Demikian itulah yang kami dapati para ulama di negeri kami melakukannya.”

Pendapat Yang Mengatakan Tidak Sunat

Berdasarkan riwayat hadis al-Daraqutni daripada Ibn Abbas yang menunjukkan Rasulullah apabila menunaikan solat jenazah hanya mengangkat tangan pada takbir pertama. Kemudian Ibn ‘Abbas RA berkata: ﺛﻢ ﻻ ﻳﻌﻮﺩ “Setelah itu (selain dari takbiratul ihram) baginda tidak mengangkat lagi kedua tangan baginda.” Riwayat ini dinilai sebagai berillah oleh al-'Uqaili dalam kitabnya disebabkan al-Fadhal bin al-Sakan (ﺎﻟﻔﻀﻞ ﺑﻦ اﻟﺴﻜﻦ) dengan katanya: “Dia seorang majhul.” Demikian juga riwayat ini dinilai lemah oleh al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’.

Al-Imam al-Dzahabi dalam kitabnya Mizan al-I'tidal menyebut:

اﻟﻔﻀﻞ ﺑﻦ اﻟﺴﻜﻦ اﻟﻜﻮﻓﻲ ﻋﻦ ﻫﺸﺎﻡ ﺑﻦ ﻳﻮﺳﻒ ﻻ ﻳﻌﺮﻑ ﻭﺿﻌﻔﻪ اﻟﺪاﺭﻗﻄﻨﻲ

 al-Fadhl bin al-Sakan al-Kufi yang meriwayatkan daripada Hisyam bin Yusuf. Beliau tidak dikenali (la yu‘raf), dan hadisnya dianggap lemah (dha'if) oleh al-Imam al-Daraquthni.

Manakala hadis Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi:

ﻛﺎﻥ ﺭﺳﻮﻝ اﻟﻠﻪ ﺻﻠﻰ اﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﺇﺫا ﺻﻠﻰ ﻋﻠﻰ ﺟﻨﺎﺯﺓ ﺭﻓﻊ ﻳﺪﻳﻪ ﻓﻲ ﺃﻭﻝ ﺗﻜﺒﻴﺮﺓ ﺛﻢ ﻭﺿﻊ ﻳﺪﻩ اﻟﻴﻤﻨﻰ ﻋﻠﻰ اﻟﻴﺴﺮﻯ

 “Dahulunya Rasulullah apabila menunaikan solat jenazah akan mengangkat tangan pada takbir pertama, kemudian meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri.” Hadis ini diriwayatkan juga oleh al-Baihaqi dan beliau berkata: “Hadis ini menyendiri meriwayatkannya oleh Yazid bin Sinan. Ibn al-Qattan juga menilai riwayat yang didatangkan oleh al-Tirmizi daripada Abu Farwah, Yazid bin Sinan ini sebagai memiliki illah. Beliau juga menukilkan hukuman lemah oleh beberapa ahli hadis seperti Ahmad, al-Nasa’i, dan Ibn Ma’in.

Kesimpulan:

  • Disunatkan mengangkat tangan pada takbir pertama dalam solat jenazah.
  • Mengangkat tangan pada setiap takbir selepasnya juga disunatkan menurut pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi'i dan Hanbali, berdasarkan amalan sahabat dan riwayat yang sahih.
  • Namun, jika seseorang hanya mengangkat tangan pada takbir pertama, ia juga memadai kerana adanya khilaf dalam perkara ini.

 


Cetak  
Wallahu a'lam