Soalan:
Nak bagi zakat dekat anak sndiri bukan bawah tanggungan. Anak saya dah bercerai dengan suami, bekas suaminya tak bagi lagi nafkah kepada bekas isteri. Jadi beleh kah saya bagi zakat kepada anak saya yang telah bercerai tersebut? Pendapatan anak saya tidak tetap. Bolehkah saya bagi zakat kepada anak saya tersebut?
Jawapan:
Soalan yang diajukan berkait dengan dua perkara yang perlu dijelaskan terlebih dahulu, iaitulah bab zakat dan nafkah.
Dalam permasalahan zakat, golongan yang berhak menerimanya adalah berdasarkan ketetapan oleh Allah dalam al-Quran, iaitulah golongan fakir, miskin, golongan amil, muallaf, riqab, gharimin, fi sabilillah dan ibnu sabil.
Manakala permasalahan nafkah, seseorang wajib mengeluarkan nafkah kepada sesiapa yang fakir dari kalangan usul seseorang (bapa atau ibu ke atas) atau furu’nya (anak, cucu dan ke bawah), dengan syarat mereka masih kecil atau tidak mampu berusaha mencari pendapatan disebabkan sakit. Jika usul atau furu’ seseorang berkemampuan mencari pendapatan, tidak wajib memberi nafkah kepada mereka.
Para fuqaha’ menyatakan bahawa apabila seseorang memberikan zakatnya kepada orang tuanya yang merupakan usulnya atau anak-anaknya yang merupakan furu’nya yang miskin, ini bermakna mereka seperti melarikan diri dari kewajipan nafkah yang terpikul atas tanggungjawab mereka. Pembayaran zakat darinya dalam keadaan ini seperti lari dari kewajipan nafkah yang diwajibkan ke atasnya. Hal ini bercanggah dengan tujuan zakat yang tidak boleh dimanfaatkan untuk kepentingan peribadi.
Berdasarkan prinsip ini, beberapa hukum berikut telah ditetapkan:
- Tidak sah mengeluarkan zakat kepada usul yang fakir atau miskin kerana yang wajib ialah mengeluarkan nafkah kepada mereka yang termasuk di bawah tanggungan anak-anak mereka.
- Tidak sah mengeluarkan zakat kepada furu’ yang tidak mampu bekerja masih kecil atau kerana sakit. Ini kerana nafkah untuk mereka menjadi tanggungjawab wajib ke atas ibu-bapa. Namun, jika anak-anak yang sudah dewasa dan sihat wal ‘afiat, boleh diberikan zakat kepada mereka jika mereka dalam kategori miskin, kerana nafkah mereka tidak lagi wajib ditanggung oleh ibu bapa.
- Ibu bapa dan anak-anak yang disebut dalam poin (1) dan (2) tidak boleh diberikan zakat atas dasar fakir atau miskin. Namun, mereka boleh menerima zakat dari orang tua mereka atas sebab lain, seperti sebagai seorang gharim, fi sabilillah, atau lainnya.
- Adik-beradik lelaki dan perempuan, sama ada dewasa atau kecil, boleh menerima zakat kerana nafkah mereka tidak wajib ditanggung menurut mazhab Syafi‘i.
- Perlu diberi perhatian bahawa seseorang fakir yang wajib diberi nafkah oleh orang lain, tidak dianggap sebagai fakir lagi jika orang yang menanggung nafkah melaksanakan kewajipannya. Sebagai contoh, seorang anak perempuan atau saudara perempuan yang sudah berkahwin, nafkahnya wajib ditanggung oleh suami. Oleh itu, mereka tidak berhak menerima zakat, kecuali jika nafkah yang diberikan oleh suami mereka tidak mencukupi untuk keperluan asas seperti makanan atau rawatan. Jika mereka diberi nafkah yang cukup, maka mereka tidak boleh menerima zakat.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, puan boleh mengeluarkan zakat kepada anak puan yang pendapatannya tidak tetap dan tidak mencukupi. Namun, penting juga untuk diingatkan bahawa, seorang anak memiliki hak hubungan kekeluargaan dan hak dicurahkan kebaikan kepada mereka. Tidak boleh seorang ibu atau bapa membiarkan anaknya dalam kesusahan tanpa bantuan hanya menunggu bahagian zakat semata-mata. Jika anak perempuan tersebut dewasa dan miskin, dia boleh menerima zakat dan patut diberi bantuan yang dapat memenuhi keperluan hidupnya.