SDI 1745: Mula Puasa Di Indonesia Hari Sabtu, Kemudian Hari Yang Sama Bermusafir Ke Malaysia Yang Belum Berpuasa, Apakah Dia Kekal Berpuasa Atau Berbuka?

Soalan:

Pak ustaz, ada pekerja indonesia,yang bekerja disini (Malaysia), dia ikuti awal puasa negaranya, contoh puasa tahun ini, indonesia mula puasa hari sabtu,dia pun puasa, sedangkan kita malaysia mula hari minggu jadi macam mana dengan puasa itu...?

Katakan pula rakyat malaysia berjalan ke indonesia, dia mahu pulang hari sabtu 1/3/2025. Di Indonesia telah istiharkan puasa pada hari tersebut,.. dia pun puasa, tapi balik Malaysia pada hari yang sama, belum puasa lagi, puasa di Malaysia hari ahad 2/3/2025. Adakah beliau teruskan puasa atau batalkan saja... nanti hari minggu baru puasa...kalau diteruskan nanti bilangan puasanya lebih pulak ,amacam pak ustaz?

Jawapan:

[1] Wajib seseorang yang berada di sesuatu tempat mengikut ketetapan puasa dan hari raya di tempat dia berada ketika itu.

[2] Jika ketika terbit fajar Subuh dia masih berada di Indonesia, dia pula berstatus seorang yang bermuqim ketika berada di Indonesia, maka wajib dia berpuasa kerana ketika terbit Fajar Subuh hari Sabtu, telah diarahkan kepadanya perintah berpuasa. Apabila sampai di Malaysia dia kekal berpuasa kerana awal hari tersebut perintah puasa telah kena kepadanya. Inilah pandangan Ibn Hajar al-Haitami seperti yang dinukilkan dalam Hasyiah al-Syarwani terhadap Tuhfah al-Muhtaj 3/384 yang menyebut:

وَنَقَلَ الْجَمَلُ عَنْ بَامَخْرَمَةَ عَنْ حَاشِيَةِ الرَّوْضَةِ لِلسَّمْهُودِيِّ مِثْلَ مَا مَرَّ عَنْ حَوَاشِي الْمُغْنِي وَكَذَا نَقَلَهُ الْحَلَبِيُّ عَنْ م ر عِبَارَتُهُ فَلَوْ انْتَقَلَ فِي الْيَوْمِ الْأَوَّلِ إلَيْهِمْ لَا يُوَافِقُهُمْ عِنْدَ حج وَيُوَافِقُهُمْ عِنْدَ شَيْخِنَا م ر وَلَوْ كَانَ هُوَ الرَّائِي لِلْهِلَالِ

Dan al-Jamal (Penulis Hasyiah al-Jamal) telah menukilkan daripada Bamakhramah, daripada Hasyiah al-Raudhah oleh al-Samhudi, perkara yang sama seperti yang telah disebutkan daripada Hawashi al-Mughni (hukum seorang musafir adalah mengikut hukum destinasi yang ditujunya). Begitu juga nukilan al-Halabi (tentang wujud perbezaan pendapat dalam masalah ini) daripada al-Ramli, katanya: “Sekiranya seseorang berpindah pada hari pertama (puasanya) kepada mereka (penduduk destinasi yang dituju belum berpuasa), dia tidak perlu bersama dengan mereka (untuk berbuka) di sisi Ibn Hajar al-Haitami, tetapi perlu bersama dengan mereka di sisi Syaikh kami al-Ramli, sekalipun orang itu sendiri yang melihat anak bulan tersebut."

Namun dia boleh memilih untuk berbuka apabila memulakan permusafiran, dari Indonesia ke Malaysia kerana seorang yang bermusafir. Namun wajib dia qadha puasa hari Sabtu tersebut.

Selagi puasa yang ditunaikannya sama ada 29 atau 30 hari, maka tiada masalah.

 


Cetak  
Wallahu a'lam