SDI 1750: Waktu Mula Boleh Laksanakan Dam Haji Tamattu'

Soalan:

Bila seorang yang buat haji tamattu’ boleh menyembelih dam tamattu’nya?

Jawapan:

Bermula waktu boleh menyembelih dam tamattu’ bagi mereka yang melaksanakan haji tamattu’ ialah apabila selesai bertahallul dari umrah yang dilaksanakan dalam musim haji tersebut. Namun sunat atau afdhal dilakukan pada hari Nahr iaitu pada 10 Zulhijjah bagi mengikut Nabi SAW dan keluar dari perbezaan pendapat yang wujud dalam kalangan sebahagian ulama yang mewajibkan.

Al-Khatib al-Syirbini dalam Mughniy al-Muhtaj 2/290 menyebut:

[(ووقت وجوب الدم) عليه (إحرامه بالحج)؛ لأنه حينئذٍ يصير متمتعًا بالعمرة إلى الحج، وقد يُفهم أنه لا يجوز تقديمه عليه، وليس مرادًا، بل الأصح جواز ذبحه إذا فرغ من العمرة، وقيل: يجوز إذا أحرم بها، ولا يتأقت ذبحه بوقت؛ كسائر دماء الجبرانات، (و) لكن (الأفضل ذبحه يوم النحر)؛ للاتباع، وخروجًا من خلاف الأئمة الثلاثة، فإنهم قالوا: لا يجوز في غيره] اهـ.

“Waktu wajibnya dam ke atasnya (yang melakukan haji tamattu’) ialah (ketika dia berihram haji) kerana pada waktu itu dia menjadi seorang yang bertamattu' dengan umrah ke haji. Ini mungkin difahami seolah-olah tidak dibenarkan mendahulukan sembelihan sebelum ihram haji, tetapi itu bukan maksud sebenar yang dikehendaki. Malah, pendapat al-Asah ialah dibolehkan menyembelih dam setelah selesai menunaikan umrah. Ada juga pendapat (qila) yang mengatakan ia boleh dilakukan sebaik sahaja dia berihram umrah. Tidak ada waktu tertentu untuk menyembelihnya, sama seperti dam-dam denda yang lain. Tetapi yang lebih afdal ialah menyembelihnya pada Hari Nahar (10 Zulhijjah), mengikut sunnah dan bagi keluar daripada khilaf tiga imam mazhab yang lain, kerana mereka berpendapat ia tidak boleh dilakukan pada hari selainnya.”

Dalam kitab yang sama 2/313 beliau menyatakan:

المتمتع إذا فرغ مِن عمرته؛ فإنه يجوز له أن يذبح قبل الإحرام بالحج، وهذا هو المعتمد

"Seorang yang bertamattu’ apabila telah selesai daripada umrahnya, maka dia dibenarkan untuk menyembelih dam sebelum berihram haji, dan ini adalah pendapat yang dipegang (muktamad)."

 Boleh menyembelih dam tamattu’ setelah selesai tahallul dari umrah disebabkan ia termasuk dalam ibadah yang berkaitan dengan harta (ibadah maliyyah) yang boleh dilaksanakan apabila berlaku salah satu dari dua sebab, seperti zakat yang boleh dikeluarkan apabila mencapai nisab sekalipun belum sempurna haul.

Bagi seorang yang melakukan haji tamattu’, sebab yang mewajibkan dia wajib menyembelih dam ialah umrah dalam musim haji, setelah itu berihram haji tanpa ke miqat. Oleh itu apabila dia selesai melakukan salah satu dari dua sebab ini, dia boleh melaksanakan dam tamattu’nya. Dalil bagi mazhab Syafie dalam masalah ini ialah hadis Nabi SAW berdasarkan salah satu lafaznya:

وَإِذَا حَلَفْتَ عَلَى يَمِينٍ فَرَأَيْتَ غَيْرَهَا خَيْرًا مِنْهَا فَكَفِّر عَنْ يَمِينِكَ، وَائتِ الَّذِي هُوَ خَيرٌ

"Jika engkau bersumpah atas sesuatu, lalu engkau melihat sesuatu yang lain lebih baik daripadanya, maka bayarlah kaffarah sumpahmu dan lakukanlah perkara yang lebih baik itu." (al-Bukhari)

Dalam hadis ini menunjukkan masuk waktu boleh melaksanakan kaffarah yang merupakan ibadah berkaitan harta apabila melakukan salah satu dari dua sebab yang mewajibkan kaffarah, iaitu bersumpah, sekalipun sebab yang satu lagi iaitulah sesuatu yang dilihat lebih baik masih belum dilaksanakan.


Cetak  
Wallahu a'lam