SDI 1778: Kelebihan Solat Di Masjid Yang Lebih Ramai Jemaah

Soalan: 

Adakah terdapat ganjaran yang lebih besar bagi seseorang yang menunaikan solat bersama jemaah yang lebih ramai berbanding jemaah yang lebih kecil?

Jawapan: 

Thabit hadis yang menunjukkan pahala bertambah bagi solat sunat dan fardu berdasarkan bilangan jemaah yang ramai. Antara bukti dalam perkara ini ialah hadis daripada Ubay bin Ka'ab r.a, di mana beliau pernah berkata: Rasulullah SAW bersabda:

صَلاةُ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلاتِهِ وَحْدَهُ، وَصَلاةُ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلاتِهِ مَعَ الرَّجُلِ، وَمَا كَانُوا أَكْثَرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

"Solat seorang lelaki bersama seorang lagi lebih suci (lebih afdhal) daripada solatnya bersendirian, dan solatnya bersama dua orang lebih suci daripada solatnya bersama seorang, dan makin ramai mereka (yang solat bersama), maka itu lebih disukai oleh Allah Azza wa Jalla." (Diriwayatkan oleh Abu Daud, no. 554; al-Nasa’i, no. 843; dinilai hasan oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud).

Al-Bazzar dan al-Tabarani meriwayatkan daripada Qabath bin Athyam al-Laithi (قَبَاثُ بْنُ أَشْيَمَ اللَّيْثِيُّ) bahawa Nabi SAW bersabda:

صَلَاة الرجلَيْن يؤم أَحدهمَا صَاحبه أزكى عِنْد الله من صَلَاة أَرْبَعَة تترى وَصَلَاة أَرْبَعَة أزكى عِنْد الله من صَلَاة ثَمَانِيَة تترى وَصَلَاة ثَمَانِيَة يؤمهم أحدهم أزكى عِنْد الله من صَلَاة مائَة تترى

“Solat dua orang lelaki, yang salah seorang menjadi imam kepada rakannya, lebih suci (lebih afdhal) di sisi Allah daripada solat empat orang yang solat secara berasingan. Dan solat empat orang (yang berjemaah) lebih afdhal di sisi Allah daripada solat lapan orang yang solat secara berasingan. Dan solat lapan orang yang diimami oleh salah seorang daripada mereka lebih afdhal di sisi Allah daripada solat seratus orang yang solat secara berasingan.” (Dinilai hasan oleh al-Albani dalam Sahih al-Targhib, no. 412).

Perkataan "tatrā" (تَتْرَى) bermaksud: secara berasingan (tidak berjemaah).

As-Sindi berkata: أزكى أي: أكثر أجراً bermaksud lebih banyak pahala. Manakala وما كانوا أكثر " أي : قدر ما كانوا أكثر فذلك القدر أحب مما دونه iaitu; “semakin ramai mereka', maka jumlah yang ramai itu lebih disukai berbanding yang kurang daripadanya." (Syarh al-Nasa’i, 2/105)

Ibnu Taimiyah berkata dalam Majmu' al-Fatawa (31/221):

اجْتِمَاع النَّاسِ فِي مَسْجِدٍ وَاحِدٍ أَفْضَلُ مِنْ تَفْرِيقِهِمْ فِي مَسْجِدَيْنِ; لأَنَّ الْجَمْعَ كُلَّمَا كَثُرَ كَانَ أَفْضَلَ

"Berkumpulnya manusia di satu masjid adalah lebih afdhal daripada mereka berselerak di dua masjid; kerana sesuatu perhimpunan apabila ramai maka yang lebih ramai itu lebih utama...” kemudian beliau mendatangkan hadis ini sebagai hujah.

Syaikh Ibn ‘Uthaymin pula menyatakan:

لو قُدِّر أن هناك مسجدين، أحدهما أكثرُ جماعة مِن الآخر: فالأفضلُ أن يذهبَ إلى الأكثرِ جماعة؛ لأنَّ النبي صلى الله عليه وسلم قال: "صَلاةُ الرَّجُلِ مع الرَّجُلِ أزكى مِن صلاتِهِ وحدَهُ، وصلاتُهُ مع الرَّجُلَين أزكى مِن صلاتِهِ مع الرَّجُلِ، وما كانوا أكثرَ فهو أحبُّ إلى اللهِ"، وهذا عامٌّ، فإذا وُجِدَ مسجدان: أحدُهما أكثرُ جماعة مِن الآخرِ: فالأفضلُ أن تُصلِّيَ في الذي هو أكثر جماعة .

"Jika terdapat dua masjid, dan salah satunya mempunyai jemaah yang lebih ramai daripada yang lain: maka lebih afdhal pergi ke masjid yang lebih ramai jemaahnya, kerana Nabi SAW bersabda: “Solat seorang lelaki bersama seorang lagi lebih suci daripada solatnya bersendirian, dan solatnya bersama dua orang lebih suci daripada solatnya bersama seorang, dan semakin ramai mereka, maka ia lebih disukai oleh Allah.” Ini adalah umum, maka jika ada dua masjid, salah satunya lebih ramai jemaah: maka lebih afdhal solat di masjid yang lebih ramai itu." (Syarh al-Mumti', 4/150–151)

Namun, sebahagian ulama berpendapat pahala solat berjemaah adalah sama, tidak kira bilangan jemaah, berdasarkan hadis Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صلاة الجماعة أفضل من صلاة الفذ بسبع وعشرين درجة

"Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat bersendirian dengan 27 darjat."
(Muttafaq ‘alaih)

Mereka berhujah bahawa semua jemaah mendapat ganjaran 27 darjat, tanpa membezakan bilangan jemaah.

Namun hujah ini telah dijawab oleh Waliyuddin al-‘Iraqi yang berkata:

وليس في الحديث حجة لمن تعلق به في تساوي الجماعات; لأنا نقول: أقل ما تحصل به الجماعة محصِّل للتضعيف، ولا مانع من تضعيف آخر بسبب آخر من كثرة الجماعة أو شرف المسجد أو بعد طريق المسجد أو غير ذلك

"Hadis itu bukan dalil bahawa semua jemaah adalah sama (dari segi pahala); kerana kita katakan: gandaan pahala yang minimum yang diperolehi oleh sesuatu jemaah. Namun tiada halangan untuk pahala ditambah dengan sebab lain, seperti bilangan jemaah yang lebih ramai, kemuliaan masjid, jauhnya perjalanan ke masjid dan sebagainya." (Tarf al-Tathrib, 2/301–302)

Maksudnya: Apabila jemaah telah terbentuk walaupun hanya dengan dua orang, maka ganjaran 27 darjat sudah diperoleh. Namun tidak ada halangan untuk pahala bertambah kerana faktor lain, termasuklah bilangan jemaah yang lebih ramai.


Cetak  
Wallahu a'lam