SDI 1112: Benarkah Ada Solat Sunat Selepas Isyak Empat Rakaat?

Soalan:

Klik untuk dengar
👆sahih ke kelebihan solat 4 rakaat slps isyak spt dlm klip video di bawah?

Jawapan: 

Jawapan ini khas untuk isu solat sunat empat (4) rakaat selepas isyak yang ada disebut oleh penceramah. Tidak merujuk kepada semua dakwaan penceramah di dalam keratan video tersebut.

Solat 4 rakaat selepas 'Isyaa' SABIT. Nabi SAW ada melakukannya. Ia ada dinyatakan dalam hadis hatta ada dalam Sahih alBukhari daripada Ibn 'Abbas RA. Dalam hadis yang ada sedikit kelemahan menunjukkan Nabi SAW membiasakan solat sunat empat rakaat selepas Isya' yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ahmad.

Sabitnya 4 rakaat sunat selepas isya', menyebabkan ada dakwaan yang mengatakan kesemua fuqahaa sepakat ia suatu yang disyariatkan.

Cumanya mereka berbeza pandangan apakah ia termasuk sunat Rawatib atau tidak?

Ulama mazhab Hanafi berpandangan ia termasuk rawatib. Sebahagian lain berpandangan ia adalah sunat mutlaq yang tergolong dalam solat malam atau Qiyamullail seperti yang disebut oleh Ibn Qudamah di dalam alMughniy sebagai Solat Tatawwu'.

Tentang kelebihannya pula, ada beberapa riwayat marfu', namun semuanya lemah bahkan ada yang bersangatan lemah. Akan tetapi ada pula riwayat mauquf sampai sahabat dari perkataan dan perbuatan mereka, demikian juga dari tabi'ien.

Kerana itu beberapa ulama ada membuat tajuk khas dalam kitab mereka berkaitan 4 rakaat selepas isyak ini. Antaranya Ibn Abi Syaibah di dalam alMusannaf: باب في أربع ركعات بعد صلاة العشاء, alMarwazi dlm Qiyam alLail: باب الأربع ركعات بعد العشاء الآخرة dan alBaihaqi di dalam alSunan alKubra: باب من جعل بعد العشاء أربع ركعات، أو أكثر.

Athar-athar yang menyebut tentang kelebihan 4 rakaat selepas Isyaa' ini menyamai 4 rakaat pada malam alQadar, ada yang dinilai baik sanadnya oleh Ibn Abi Syaibah.

Ada juga athar dari Ka'ab bin Mati' atau Ka'ab alAhbar yang berkata:

من صلى أربعا بعد العشاء يحسن فيهن الركوع والسجود عدلن مثلهن من ليلة القدر

Maksudnya: "Sesiapa yang solat 4 rakaat selepas Isyaa' dengan perelokkan rukuk dan sujudnya, ia menyamai solat seumpamanya yang dibuat pada malam alQadr."

Salah satu sanad athar ini dinilai sebagai "tidak mengapa" oleh alAlbani, dan beliau menyambung dengan katanya: "akan tetapi ia maqtu' mauquf setakat Ka'ab. Sekiranya beliau merafa' hadis ini, ia tidak boleh menjadi hujjah, kerana keadaan riwayat ini yang mursal. Maka bagaimana pula apabila beliau telah meriwayatkan hadis ini secara mauquf?" (alSilsilah alDhaiefah, hadis bil: 5053)

Kesimpulannya:

1. Sabit adanya solat sunat 4 rakaat selepas isyak. Bahkan boleh buat lebih juga.

2. Hadis-hadis yang menyebut tentang kelebihannya kesemuanya dhaief.

3. Banyak athar atau riwayat dari sahabat yang melakukannya. Sebutan kelebihannya yang menyamai solat pada malam Lailatul Qadr dibimbangi diambil oleh sebahagian sahabat dari Ka'ab alAhbar yang kebiasaan beliau menyampaikan apa-apa dengan dikiaskan dari apa-apa yang beliau perolehi dari tulisan-tulisan ahli kitab. Justeru dibimbangi sebahagian sahabt mengambilnya atas alasan fadha'il alA'mal, kerana mengharapkan dikurniakan kelibihan seperti itu dan tidak mengapa beramal dengannya.

Bahkan alAlbani menyokong athar-athar tentang kelebihan ini sebagai marfu' dengan katanya:

الحديث قد صح موقوفاً عن جمع من الصحابة ... ثم أخرج ابن أبي شيبة مثله عن عائشة ، وابن مسعود ، وكعب بن ماتع ، ومجاهد ، وعبد الرحمن بن الأسود موقوفاً عليهم ، والأسانيد إليهم كلهم صحيحة - باستثناء كعب -، وهي وإن كانت موقوفة ؛ فلها حكم الرفع ؛ لأنها لا تقال بالرأي كما هو ظاهر

"alHadis (tentang kelebihan 4 rakaat selepas Isyaa') yang mauquf adalah sahih dari sekumpulan para sahabat... kemudian Ibn Abi Syaibah meriwayatkan seumpama dengannya daripada 'aAisyah, Ibn Mas'ud, Ka'ab bin Mati' كعب بن ماتع, Mujahid dan Abdul Rahman bin alAswad secara mauquf setakat mereka sahaja. Kesemua sanad-sanad ini sehingga kepada mereka semuanya adalah sahih - Melainkan sanad Ka'ab - riwayat-riwayat ini sekalipun mauquf, ia boleh difahami membawa hukum rafa' kerana ia termasuk perkara yang tidak boleh disebut berdasarkan akal sematamata seperti yang jelas." (alSilsilah alAhadith al'Dhaiefah, bilangan: 5060)


Cetak  
Wallahu a'lam