Soalan:
Benarkah boleh digabungkan beberapa solat sunat dalam satu niat?
Jawapan:
Boleh digabungkan beberapa solat sunat dalam kategori Ghairul maqsudah (solat yang bukan dimaksudkan) dalam satu perbuatan solat, sama ada ia digabungkan dengan solat dari kategori yang sama iaitulah Ghairul al-Maqsudah digabungkan dengan Ghairul Maqsudah atau Ghairul al-Maqsudah dengan kategori Maqsudah (ibadah yang dimaksudkan). Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 12/24 dinyatakan:
إِنْ أَشْرَكَ عِبَادَتَيْنِ فِي النِّيَّةِ، فَإِنْ كَانَ مَبْنَاهُمَا عَلَى التَّدَاخُل كَغُسْلَيِ الْجُمُعَةِ وَالْجَنَابَةِ، أَوِ الْجَنَابَةِ وَالْحَيْضِ، أَوْ غُسْل الْجُمُعَةِ وَالْعِيدِ، أَوْ كَانَتْ إِحْدَاهُمَا غَيْرَ مَقْصُودَةٍ كَتَحِيَّةِ الْمَسْجِدِ مَعَ فَرْضٍ أَوْ سُنَّةٍ أُخْرَى، فَلاَ يَقْدَحُ ذَلِكَ فِي الْعِبَادَةِ؛ لأَِنَّ مَبْنَى الطَّهَارَةِ عَلَى التَّدَاخُل، وَالتَّحِيَّةُ وَأَمْثَالُهَا غَيْرُ مَقْصُودَةٍ بِذَاتِهَا، بَل الْمَقْصُودُ شَغْل الْمَكَانِ بِالصَّلاَةِ، فَيَنْدَرِجُ فِي غَيْرِهِ. أَمَّا التَّشْرِيكُ بَيْنَ عِبَادَتَيْنِ مَقْصُودَتَيْنِ بِذَاتِهَا كَالظُّهْرِ وَرَاتِبَتِهِ، فَلاَ يَصِحُّ تَشْرِيكُهُمَا فِي نِيَّةٍ وَاحِدَةٍ؛ لأَِنَّهُمَا عِبَادَتَانِ مُسْتَقِلَّتَانِ لاَ تَنْدَرِجُ إِحْدَاهُمَا فِي الأُْخْرَى
Maksudnya: “Jika seseorang menggabungkan dua ibadah dalam satu niat, maka jika binaan dua ibadah itu adalah saling merangkumi, seperti mandi Jumaat dengan mandi junub, atau mandi junub dengan mandi haid, atau mandi Jumaat dengan mandi hari raya, atau salah satunya bukan ibadah yang dimaksudkan secara khusus, seperti solat tahiyatul masjid bersama solat fardu atau (solat tahiyyatul masjid) bersama solat sunat yang lain, maka hal itu tidak menjejaskan ibadah tersebut. Ini kerana binaan bagi ibadah bersuci adalah saling merangkumi, demikian juga sunat tahiyatul masjid serta solat yang seumpamanya bukanlah ibadah yang dimaksudkan pada zatnya, bahkan yang dimaksudkan dari solat tahiyyatul masjid itu adalah memakmurkan tempat itu dengan menunaikan solat, maka tahiyyatul masjid boleh masuk ke dalam ibadah solat yang lain. Adapun mencampurkan antara dua ibadah yang dimaksudkan pada zatnya, seperti solat Zuhur dengan solat sunat rawatibnya, maka tidak sah menggabungkan keduanya dalam satu niat; kerana kedua-duanya adalah dua ibadah yang berdiri sendiri, tidak boleh masuk salah satu solat ke dalam solat yang satu lagi.”
Perkara yang sama disebut oleh ulama mazhab Syafi‘e seperti dalam Hasyiah al-Bujairami 2/8 yang menyebut:
يَمْتَنِعُ جَمْعُ صَلَاتَيْنِ بِنِيَّةٍ وَلَوْ نَفْلًا مَقْصُودًا أَمَّا غَيْرُ الْمَقْصُودِ كَتَحِيَّةٍ وَاسْتِخَارَةٍ وَإِحْرَامٍ وَطَوَافٍ وَسُنَّةِ وُضُوءٍ أَوْ غُسْلٍ أَوْ غَفْلَةٍ وَسُنَّةِ الْقُدُومِ مِنْ السَّفَرِ وَالْخُرُوجِ لَهُ وَرَكْعَتَيْ الْحَاجَةِ وَالزِّفَافِ فَهَذِهِ الْعَشَرَةُ نَصَّ عَلَيْهَا الرَّمْلِيُّ فَيَجُوزُ جَمْعُهَا مَعَ فَرْضٍ أَوْ نَفْلِ غَيْرِهَا
Maksudnya: “Dilarang menghimpunkan dua solat dengan satu niat, sekalipun solat sunat yang dimaksudkan. Adapun solat-solat sunat yang bukan dimaksudkan, seperti solat tahiyyatul masjid, solat istikharah, solat ihram, solat tawaf, solat sunat wuduk, solat sunat mandi, solat sunat ghaflah (al-Awwabin), solat sunat pulang dari musafir, solat sunat sebelum bermusafir, solat hajat, dan solat perkahwinan, maka sepuluh solat sunat Ghairul Maqsudah ini telah dinaskan oleh al-Ramli, bahawa boleh menghimpunkannya bersama solat fardhu atau solat sunat lainnya.”
Dalam teks dari Hasyiah al-Bujairami ini menyebut 10 solat sunat Ghairul Maqsudah iaitu;
“(1) solat tahiyyatul masjid, (2) solat istikharah, (2) solat ihram, (3) solat tawaf, (4) solat sunat wuduk, (5) solat sunat mandi, (6) solat sunat ghaflah (al-Awwabin / antara Maghrib dan Isyak), (7) solat sunat pulang dari musafir, (8) solat sunat sebelum bermusafir, (9) solat hajat, dan (10) solat perkahwinan.”
Dalam kitab Busyra al-Karim penulisnya menambah lima lagi solat sunat yang Ghairul Maqsudah dengan katanya:
(فيكفيه في النفل المطلق) وهو ما لا يتقيد بوقت ولا سبب (و) ما ألحق به من المقيد، وهو ما المقصود منه إيجاد مطلق الصلاة، لا صلاة مخصوصة، وذلك نحو (تحية المسجد وسنة الوضوء) والاستخارة والطواف والزوال، والقدوم من سفر، ودخول منزل، والخروج منه أو من الحمام، وصلاة الحاجة، وبأرض لم يعبد الله فيها، ونحوها (نيةُ فعل الصلاة)؛ لتتميز عن غيرها، فلا يكفي إحضارها في الذهن مع عدم قصد فعلها، وهي هنا ماعدا النية؛ لأنها لا تنوى، وإلا .. لزم التسلسل؛ إذ كل نية تحتاج إلى نية، لكن هذا على القول أنه ينوي كل فرد فرد من أجزائها، فإن قلنا: ينوي مجموع الصلاة، وهو المعتمد .. فلا يلزم ذلك، كالعلم يتعلق بغيره ونفسه، وكالشاة من الأربعين تزكي نفسها وغيرها، وتندرج سنة الوضوء وما بعدها في غيرها من فرض أو نفل وإن لم تنو، بمعنى أنه يسقط طلبها ويثاب عليها عند (م ر)، وقال (حج): لا يثاب عليها إلا إذا نواها مع تلك الصلاة.أمَّا ما ليس في المعنى النفل المطلق كسنة الضحى .. فلا يندرج في غيره، بل إذا نوى مع ذلك غيره .. لم تنعقد الصلاة؛ لأن التشريك بين فرضين أو نفلين مقصودين أو بين فرض ونفل مقصود مبطلٌ فيما لم يبنَ على التداخل كالطهارة.
Maksudnya: “(Maka memadai baginya dalam solat sunat mutlak) iaitu solat yang tidak terikat dengan waktu dan tidak dengan sebab, (dan) apa-apa yang tidak dikenakan dengannya dari apa-apa muqayyad, iaitu yang maksudnya hanyalah mewujudkan solat secara mutlak, bukan solat tertentu yang khusus. Contohnya seperti (tahiyyatul masjid dan solat sunat wuduk), solat istikharah, solat tawaf, solat ketika tergelincir matahari (zawal), solat ketika pulang dari safar, solat ketika masuk rumah, solat ketika keluar dari rumah atau keluar dari hammam (bilik mandi), solat hajat, solat di bumi yang belum pernah disembah Allah padanya, dan seumpamanya. (Cukuplah dengan niat semata-mata melakukan solat), bagi membezakan dengan selainnya yang tidak memadai hanya menghadirkannya niat solat dalam fikiran tanpa berniat untuk melakukan solat tertentu yang khusus tersebut… Maka solat sunat wuduk dan selepasnya boleh masuk ke dalam niat solat lain sama ada solat fardu atau sunat, sekalipun tidak diniatkan solat sunat wudhu tersebut, dengan makna bahawa tuntutan melaksanakan sunat wudhu itu gugur dan tetap diberi pahala menurut al-Imam al-Ramli. Manakala al-Haitami berkata: tidak diberi pahala untuk solat wudhu yang tidak diniatkan untuk digabung kecuali jika diniatkan digabung bersama solat yang ditunaikan (sama ada solat fardhu atau sunat lain). Adapun apa yang tidak sama maknanya dengan solat sunat mutlak seperti solat sunat duha… maka ia tidak boleh masuk ke dalam niat solat lain. Bahkan jika diniatkan (sunat yang maqsudah) bersama itu solat lain… maka solat tersebut tidak sah; kerana menggabungkan antara dua solat fardu (yang kedua-duanya adalah maqsudah), atau antara dua solat sunat yang maqsudah, atau antara fardu dan sunat yang maqsudah, adalah membatalkan ibadat yang yang tidak dibina di atas asas saling dapat memasuki seperti halnya dalam bab taharah.”