Kaifiat Solat Kusuf (Gerhana Matahari) Dan Khusuf (Gerhana Bulan)

 

Hukumnya: Sunat muakkad bagi setiap orang, lelaki dan perempuan, musafir atau mukim.

  • Dilakukan secara berjemaah atau bersendirian; makruh meninggalkannya.
  • Disunatkan berjemaah di masjid walaupun masjid itu sempit.

Kaifiatnya: Dua rakaat dengan niat solat gerhana. Masuk waktu boleh melakukan solat apabila mula berlaku perubahan (mula berlaku gerhana).

Terdapat tiga kaifiat (cara):

1️ Paling ringkas: Dilakukan seperti solat sunat Subuh atau Zuhur (2 rakaat biasa).

2️ Sederhana (أدنى الكمال): Seperti solat sunat Subuh, tetapi ditambah dua kali rukuk dan dua kali qiyam tanpa memanjangkan bacaan dan tasbih.

3️ Paling sempurna (أعلى الكمال): Seperti solat sunat Subuh, ditambah dua rukuk dan dua qiyam dengan bacaan panjang.

  • Qiyam pertama membaca Surah al-Baqarah.
  • Qiyam kedua membaca seumpama membaca 200 ayat surah al-Baqarah.
  • Qiyam ketiga kira-kira seumpama membaca 150 ayat surah al-Baqarah.
  • Qiyam keempat kira-kira seumpama membaca 80 ayat surah al-Baqarah.
  • Dalam rukuk pertama, bertasbih seumpama kadar membaca 100 ayat surah al-Baqarah. Rukuk kedua bertasbib seumpama kadar membaca 80 ayat surah al-Baqarah, ketiga seumpama kadar 70 ayat, dan keempat seumpama kadar 50 ayat.
  • Sujud dipanjangkan sebanding dengan rukuk sebelumnya: sujud pertama seumpama kadar membaca 100 ayat, kedua 80, dan seterusnya.
  • Tidak dipanjangkan berdiri selepas rukuk (i‘tidal) dan duduk antara dua sujud.

Kaifiat Lengkap:

  • Berniat solat kusuf dan bertakbir, membaca doa iftitah, isti‘azah, membaca al-Fatihah dan surah, kemudian rukuk.
  • Kemudian bangun, isti‘azah lagi, baca al-Fatihah dan surah, rukuk lagi, bangun iktidal, lalu sujud dua kali. Semua ini dikira sebagai satu rakaat.
  • Rakaat kedua dilakukan sama seperti rakaat pertama, kecuali tidak perlu doa iftitah.
  • Bacaan dilakukan secara sirr (perlahan) pada solat gerhana matahari, kecuali jika matahari terbenam ketika sedang solat, maka diteruskan dengan bacaan jahar (kuat).
  • Solat kusuf luput apabila gerhana berakhir sepenuhnya atau matahari terbenam dalam keadaan gerhana. Jika gerhana selesai ketika sedang solat, maka solat tetap diteruskan hingga selesai.
  • Disunatkan mandi untuk solat ini, tetapi tidak berhias.
  • Disunatkan khutbah selepasnya dua kali seperti khutbah Aidilfitri pada rukun, syarat, dan sunatnya, kecuali tidak dimulakan dengan takbir. Dalam khutbah dianjurkan menyeru manusia kepada taubat dan kebajikan.

Cetak  
Wallahu a'lam