SDI 1862: Bagaimana Jika Gerhana Yang Berlaku Tidak Kelihatan?

Soalan:

Ustaz. Nak tanya berkenaan gerhana.

Bagaimana jika sesuatu gerhana yang berlaku tidak kelihatan di langit negara kita? Adakah boleh kalau mula solat waktu tu sedangkan Nabi ta'liq solat tersebut dengan ru'yah.

Jawapan:

Solat ketika gerhana matahari adalah sunnah yang thabit lagi muakkad (dituntut) menurut kesepakatan fuqaha. Ia disyariatkan sama ada bagi orang yang bermukim atau musafir, bagi lelaki dan juga wanita. Sebahagian ahli ilmu pula berpendapat hukumnya fardu kifayah.

Solat gerhana tidak disyariatkan melainkan di tempat yang kelihatan gerhana dengan mata kasar.

Berkata al-Imam al-Nawawi RH dalam Rawdhah al-Talibin 2/86:

وَلَوْ كَانَتِ الشَّمْسُ تَحْتَ غَمَامٍ، فَظَنَّ الْكُسُوفَ، لَمْ يُصَلِّ حَتَّى يَسْتَيْقِنَ. قُلْتُ: قَالَ الدَّارِمِيُّ وَغَيْرُهُ: وَلَا يَعْمَلُ فِي كُسُوفِهَا بِقَوْلِ الْمُنَجِّمِينَ. - وَاللَّهُ أَعْلَمُ

Maksudnya: “Dan sekiranya matahari berada di bawah awan lalu disangka berlaku gerhana, maka tidaklah dia solat sehingga benar-benar yakin. Daku katakan:” Telah berkata ad-Darimi dan selainnya: “Dan tidak diamalkan dalam hal gerhana dengan perkataan para ahli nujum.” – wallahu a’lam.”

Kata Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah RH:

وَالْعِلْمُ بِوَقْتِ الْكُسُوفِ وَالْخُسُوفِ مُمْكِنٌ ... وإذَا تَوَاطَأَ خَبَرُ أَهْلِ الْحِسَابِ عَلَى ذَلِكَ فَلَا يَكَادُونَ يُخْطِئُونَ، وَمَعَ هَذَا فَلَا يَتَرَتَّبُ عَلَى خَبَرِهِمْ عِلْمٌ شَرْعِيٌّ, فَإِنَّ صَلَاةَ الْكُسُوفِ وَالْخُسُوفِ لَا تُصَلَّى إلَّا إذَا شَاهَدْنَا ذَلِكَ

“Mengetahui waktu gerhana matahari dan bulan adalah sesuatu yang mungkin … dan apabila berita ahli hisab itu sepakat mengenai hal tersebut, jarang sekali mereka tersilap. Namun begitu, tidak terhasil daripada berita mereka itu suatu ilmu syar‘i, kerana solat gerhana matahari dan bulan tidak didirikan melainkan apabila kita menyaksikannya.” (Majmu‘ al-Fatawa (24/254) dengan sedikit pengolahan)

Berkata Syaikh Ibn Baz:

لا يشرع لأهل بلد لم يقع عندهم الكسوف أن يصلوا؛ لأن الرسول صلى الله عليه وسلم علق الأمر بالصلاة برؤية الكسوف لا بالخبر من أهل الحساب بأنه سيقع، ولا بوقوعه في بلد آخر فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلَاةِ... ولو كانت صلاة الكسوف تشرع بأخبار الحسابين ، أو بوقوع الكسوف في مناطق أو أقاليم لا يشاهدها إلا أهلها ، لبين ذلك النبي صلى الله عليه وسلم وأرشد الأمة إليه . فلما لم يبين ذلك ، بل بين خلافه ، وأرشد الأمة إلى أن يعتمدوا على الرؤية للكسوف، عُلم بذلك أن الصلاة لا تشرع إلا لمن شاهد الكسوف أو وقع في بلده

“Tidak disyariatkan bagi penduduk sesuatu negeri yang tidak berlaku gerhana di tempat mereka untuk menunaikan solat, kerana Rasulullah mengaitkan perintah solat itu dengan melihat gerhana, bukan dengan berita ahli hisab bahawa ia akan berlaku, dan bukan juga dengan berlakunya gerhana di negeri lain. (dalam hadis dinyatakan) “Maka apabila kamu melihat hal itu, hendaklah kamu segera mengerjakan solat…” Sekiranya solat gerhana itu disyariatkan hanya dengan berita ahli hisab, atau kerana berlakunya gerhana di kawasan atau wilayah lain yang hanya dilihat oleh penduduknya sahaja, nescaya Nabi sudah menjelaskan hal tersebut dan memberi tunjuk ajar kepada umat tentangnya. Oleh kerana Baginda tidak menjelaskan demikian, malah menjelaskan sebaliknya, serta mengajar umat supaya bergantung kepada penglihatan gerhana, maka difahami bahawa solat itu tidak disyariatkan kecuali bagi orang yang menyaksikan gerhana atau ia berlaku di negerinya.” (Fatawa Syaikh Ibn Baz (13/30) dengan sedikit pengolahan)

Berkata Syaikh Ibn ‘Uthaymin RH:

إذا قال الفلكيون: إنه سيقع كسوف أو خسوف ، فلا نصلي حتى نراه رؤية عادية؛ لأن الرسول صلّى الله عليه وسلّم قال: (إذا رأيتم ذلك فصلوا،أما إذا منّ الله علينا بأن صار لا يرى في بلدنا إلا بمكبر أو نظارات فلا نصلي

“Apabila ahli falak mengatakan akan berlaku gerhana matahari atau bulan, kita tidak solat sehingga kita melihatnya dengan penglihatan biasa, kerana Rasulullah bersabda: “Apabila kamu melihat gerhana maka solatlah.” Adapun jika Allah mengurniakan kepada kita bahawa ia tidak kelihatan di negeri kita melainkan dengan teleskop atau kaca mata khas, maka kita tidak solat.” (Syarh al-Mumti’ ‘ala Zad al-Mustaqni’ (5/180)

Beliau juga berkata:

العبرة برؤية العين ، لا بالمناظير ، ولا بالحساب

“Yang menjadi ukuran adalah penglihatan mata, bukan dengan teleskop dan bukan dengan hisab.” (Liqa’ al-Bab al-Maftuh (166)

Beliau berkata lagi:

وإذا أعلن عنه ، ولكنه لم يبن ، فإنها لا تجوز الصلاة؛ لأن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (إذا رأيتموه فصلوا)

“Jika ia diumumkan, tetapi tidak kelihatan, maka tidak perlu menunaikan solat, kerana Nabi bersabda: ‘Apabila kamu melihat gerhana maka solatlah.’” (Liqa’ al-Bab al-Maftuh (160)

Dalam Sahih Muslim 904, baginda SAW bersabda:

فَإِذَا رَأَيْتُمْ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَصَلُّوا حَتَّى تَنْجَلِيَ

“Maka apabila kamu melihat sesuatu daripada gerhana itu, solatlah sehingga ia hilang.”

 


Cetak  
Wallahu a'lam