Soalan:
Di sebahagian masjid saya melihat imam memegang tongkat ketika khutbah. Adakah perkara itu termasuk sunnah ketika berkhutbah?
Jawapan:
Para fuqaha’ berbeza pendapat tentang hukum khatib bersandar pada tongkat dan seumpamanya seperti busur panah atau pedang ketika khutbah Jumaat kepada dua pendapat:
Pendapat pertama: Sunat dan digalakkan. Inilah mazhab jumhur ulama dari kalangan Malikiyyah, Syafi‘iyyah, dan Hanabilah.
Al-Imam Malik rahimahullah berkata:
وذلك مما يستحب للأئمة أصحاب المنابر، أن يخطبوا يوم الجمعة ومعهم العصي يتوكؤون عليها في قيامهم، وهو الذي رَأَيْنا وسَمِعْنا
“Dan demikian itu (bersandar pada tongkat) termasuk yang disunatkan bagi para imam yang berkhutbah di mimbar, agar mereka berkhutbah pada hari Jumaat dengan bersama tongkat untuk mereka bersandar padanya ketika berdiri. Demikianlah yang kami lihat dan kami dengar.” (al-Mudawwanah al-Kubra 1/151). Inilah yang dipegang dalam kitab-kitab ulama muta’akhkhirin Malikiyyah seperti dalam Jawahir al-Iklil (1/97), Hasyiyah ad-Dusuqi (1/382).
Al-Imam al-Syafi‘e rahimahullah berkata:
أحب لكل من خطب - أيَّ خطبة كانت - أن يعتمد على شيء
“Aku suka bagi setiap orang yang berkhutbah – apa jua khutbah – agar bersandar pada sesuatu.” (al-Umm 1/272). Inilah pandangan Mu’tamad mazhab Syafi‘i, sebagaimana dalam Nihayah al-Muhtaj 2/326), Hasyiyah Qalyubi wa ‘Umairah (1/272).
Al-Buhuti al-Hanbali rahimahullah berkata:
ويسن أن يعتمد على سيف أو قوس أو عصا بإحدى يديه
“Disunatkan dia bersandar pada pedang atau busur atau tongkat dengan salah satu tangannya.” (Kassyaf al-Qina’ 2/36), lihat juga al-Insaf 2/397).
Dalil bagi pandangan ini berdasarkan beberapa riwayat yang sabit menunjukkan baginda ﷺ ada menggunakan tongkat ketika berkhutbah, antaranya hadis al-Hakam bin Huzn (الحَكَمِ بْنِ حَزْنٍ) yang berkata:
وَفَدْتُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ سَابِعَ سَبْعَةٍ - أَوْ تَاسِعَ تِسْعَةٍ - فَدَخَلْنَا عَلَيْهِ، فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، زُرْنَاكَ فَادْعُ اللَّهَ لَنَا بِخَيْرٍ، فَأَمَرَ بِنَا، أَوْ أَمَرَ لَنَا بِشَيْءٍ مِنَ التَّمْرِ، وَالشَّأْنُ إِذْ ذَاكَ دُونٌ، فَأَقَمْنَا بِهَا أَيَّامًا شَهِدْنَا فِيهَا الْجُمُعَةَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ، فَقَامَ مُتَوَكِّئًا عَلَى عَصًا، أَوْ قَوْسٍ، فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ، كَلِمَاتٍ خَفِيفَاتٍ طَيِّبَاتٍ مُبَارَكَاتٍ، ثُمَّ قَالَ: «أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ لَنْ تُطِيقُوا - أَوْ لَنْ تَفْعَلُوا - كُلَّ مَا أُمِرْتُمْ بِهِ، وَلَكِنْ سَدِّدُوا، وَأَبْشِرُوا
“Aku datang menemui Rasulullah ﷺ sebagai orang ketujuh daripada tujuh – atau yang kesembilan daripada sembilan – lalu kami masuk menemui baginda, dan kami berkata: “Wahai Rasulullah, kami datang menziarahimu, maka berdoalah kepada Allah agar memberi kebaikan kepada kami.” Maka baginda memerintahkan kami, atau memerintahkan agar diberikan kepada kami sesuatu daripada buah tamar, sedangkan keadaan ketika itu serba kekurangan. Lalu kami tinggal beberapa hari di sana, dan kami menyertai solat Jumaat bersama Rasulullah ﷺ. Baginda pun berdiri sambil bersandar pada tongkat atau busur, lalu memuji Allah dan menyanjung-Nya dengan beberapa kalimat yang ringan, baik, dan penuh keberkatan. Kemudian baginda bersabda: “Wahai manusia, sesungguhnya kamu tidak akan mampu – atau tidak akan dapat melakukan – semua yang telah diperintahkan kepadamu. Akan tetapi, bersikap luruslah, dan bergembiralah (dengan janji Allah).” (Diriwayatkan oleh Abu Dawud (1096). Al-Nawawi dalam al-Majmu’ (4/526) menilainya sebagai hadis hasan. Al-Albani juga menghasankannya dalam Sahih Abi Dawud. Namun sebahagian ulama melemahkannya, seperti Ibn Kathir dalam Irsyad al-Faqih 1/196): ليس إسناده بالقوي maksudnya: “Sanadnya tidak kuat.”)
Pendapat kedua: Makruh, dan inilah yang dipegang dalam mazhab Hanafiyyah, meskipun ada sebahagian fuqaha mereka berpandangan sebaliknya.
Disebut dalam al-Fatawa al-Tatar Khaniyyah (التَتَارْخَانِيَّة) dan dinisbahkan kepada penulis al-Muhit al-Burhani:
وإذا خطب متكئاً على القوس أو على العصا جاز، إلا أنه يكره؛ لأنه خلاف السنة
“Apabila seseorang berkhutbah dalam keadaan bersandar pada busur atau tongkat, maka boleh, tetapi makruh; kerana ia menyelisihi sunnah.” (al-Fatawa al-Tatar Khaniyyah 2/61).
Dalam al-Fatawa al-Hindiyyah (1/148) menurut mazhab Hanafi:
ويكره أن يخطب متكئا على قوس أو عصا، كذا في الخلاصة، وهكذا في المحيط، ويتقلد الخطيب السيف في كل بلدة فتحت بالسيف، كذا في شرح الطحاوي
“Dimakruhkan berkhutbah sambil bersandar pada busur atau tongkat, demikian yang tedapat dalam al-Khulashah dan juga dalam al-Muhit. Dan khatib menyandang pedang di setiap negeri yang dibuka dengan pedang, demikian yang dinyatakan dalam Syarh al-Tahawi.”
Perkataan al-‘Allamah Ibn al-Qayyim menunjukkan bahawa bersandar pada tongkat bukan daripada hidayah Nabi ﷺ ketika berkhutbah di atas mimbar. Beliau rahimahullah berkata:
ولم يكن يأخذ بيده سيفاً ولا غيرَه، وإنما كان يعتَمِد على قوس أو عصا قبل أن يتَّخذ المنبر، وكان في الحرب يَعتمد على قوس، وفي الجمعة يعتمِد على عصا، ولم يُحفظ عنه أنه اعتمد على سيف، وما يظنه بعض الجهال أنه كان يعتمد على السيف دائماً، وأن ذلك إشارة إلى أن الدين قام بالسيف: فَمِن فَرطِ جهله، فإنه لا يُحفظ عنه بعد اتخاذ المنبر أنه كان يرقاه بسيف، ولا قوس، ولا غيره، ولا قبل اتخاذه أنه أخذ بيده سيفاً البتة، وإنما كان يعتمِد على عصا أو قوس
“Baginda tidak memegang di tangan apa-apa pedang dan tidak juga selainnya. Akan tetapi baginda bersandar (ketika berkhutbah) pada busur atau tongkat sebelum dibuat mimbar. Ketika perang pula baginda bersandar pada busur, dan ketika Jumaat baginda bersandar pada tongkat. Tidak ada riwayat yang sahih bahawa baginda bersandar pada pedang. Apa yang disangka oleh sebahagian orang jahil bahawa baginda sentiasa bersandar pada pedang, sebagai isyarat bahawa agama ini tertegak dengan pedang: maka itu dari kejahilan mereka. Tidak ada riwayat selepas mimbar dibuat bahawa baginda menaikinya dengan pedang, busur atau selainnya, demikian juga sebelum dibuat mimbar tidak pula diriwayatkan baginda memegang pedang sama sekali, riwayat yang ada hanya menyebut baginda bersandar pada tongkat atau busur.” (Zad al-Ma‘ad 1/429).
Al-Syaikh Ibn ‘Uthaimin rahimahullah berkata:
(ويعتمد على سيف أو قوس أو عصا) أي: يسن أن يعتمد حال الخطبة على سيف، أو قوس، أو عصا، واستدلوا بحديث يروى عن النبي صلّى الله عليه وسلّم في صحته نظر، وعلى تقدير صحته، قال ابن القيم: إنه لم يحفظ عن النبي صلّى الله عليه وسلّم بعد اتخاذه المنبر أنه اعتمد على شيء. ووجه ذلك: أن الاعتماد إنما يكون عند الحاجة، فإن احتاج الخطيب إلى اعتماد، مثل أن يكون ضعيفاً يحتاج إلى أن يعتمد على عصا فهذا سنة؛ لأن ذلك يعينه على القيام الذي هو سنة، وما أعان على سنة فهو سنة، أما إذا لم يكن هناك حاجة، فلا حاجة إلى حمل العصا
“(dDan baginda bersandar pada pedang atau busur atau tongkat) – yakni disunatkan bersandar ketika khutbah pada pedang, busur, atau tongkat. Mereka berdalil dengan hadis yang diriwayatkan daripada Nabi ﷺ, namun kesahihannya dipertikaikan. Andaikata sahih sekalipun, Ibn al-Qayyim berkata: tidak ada yang diriwayatkan daripada Nabi ﷺ selepas baginda berkhutbah di atas mimbar bahawa baginda bersandar pada sesuatu. Maksudnya: bersandar itu hanya ketika perlu. Jika khatib memerlukan sandaran, seperti dia lemah lalu perlu bersandar pada tongkat, maka itu sunnah, kerana ia membantu berdiri yang disunatkan. Dan apa yang membantu sunnah adalah sunnah. Tetapi jika tidak ada keperluan, maka tidak perlu membawa tongkat.” (al-Syarh al-Mumti‘ 5/62-63).