SDI 1865: Hukum Ambil Gambar Ketika Khatib Berkhutbah

Soalan

Apakah hukum merakam atau mengambil gambar khatib ketika khutbah Jumaat dengan telefon bimbit? Adakah ia dianggap sebagai perkara sia-sia yang membatalkan pahala Jumaat?

Jawapan

Merakam atau mengambil gambar khatib atau sekeliling ketika khutbah Jumaat dengan telefon bimbit, jika ia menyebabkan seseorang perlu menggerakkan tangannya ketika khutbah, maka hukumnya tidak dibenarkan, kerana hal itu termasuk perbuatan yang menyibukkan diri daripada mendengar khutbah Jumaat. Nabi bersabda:

وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

“dan sesiapa yang menyentuh batu kerikil, maka sesungguhnya dia telah melakukan lagha (perkara sia-sia).” Muttafaq ‘alaih.

Al-Imam al-Nawawi RH berkata:

فِيهِ النَّهْيُ عَنْ مَسِّ الْحَصَى وَغَيْرِهِ مِنْ أَنْوَاعِ الْعَبَثِ فِي حَالِ الْخُطْبَةِ وَفِيهِ إِشَارَةٌ إِلَى إِقْبَالِ الْقَلْبِ وَالْجَوَارِحِ عَلَى الْخُطْبَةِ والمراد باللغو ها هنا الْبَاطِلُ الْمَذْمُومُ الْمَرْدُودُ

“Dalam hadis initerdapat larangan menyentuh batu kerikil dan selainnya daripada perbuatan main-main ketika khutbah. Ia juga mengisyaratkan supaya hati dan anggota badan memberi tumpuan kepada khutbah. Yang dimaksudkan dengan laghw di sini ialah perbuatan batil yang tercela dan tertolak.” Tamat.

Adapun jika rakaman itu tidak memerlukan pergerakan tangan ketika khutbah – contohnya dia menghidupkan kamera sebelum khutbah bermula kemudian membiarkannya tanpa menyibukkan diri dengannya ketika khutbah – maka hal itu tidak mengapa.

Namun begitu, yang lebih utama adalah meninggalkannya jika tiada maslahat yang kuat, kerana hukum asal rakaman dengan kamera dan seumpamanya masih diperselisihkan ulama tentang keharusannya. Maka yang lebih berhati-hati ialah menjauhinya kecuali kerana keperluan yang diiktiraf.


Cetak  
Wallahu a'lam