Soalan:
Apakah kalau terlepas solat Jumaat kerana tidur? Seseorang tidur sebelum masuk waktu Jumaat kerana kepenatan dan terjaga selepas selesai solat Jumaat. Adakah orang itu berdosa? Dan apakah kewajipannya ketika itu?
Jawapan:
Sesiapa yang terlepas solat Jumaat kerana tidur, bukan kerana sikap sambil lewa dan tanpa cuai, maka dia tidak berdosa dari sudut syarak, dan dia wajib menggantikannya dengan solat Zuhur menurut kesepakatan ulama.
Seorang Muslim hendaklah berhati-hati berkaitan urusan solat Jumaat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghadirinya, serta mengambil sebab-sebab yang dapat membantunya menunaikan solat Jumaat, seperti tidur awal, tidak berjaga malam tanpa manfaat, meminta seseorang mengejutkannya, atau menetapkan jam loceng atau penggera telefon dan lain-lain cara yang dapat membantu mengejutkannya agar dapat menunaikan solat Jumaat pada waktunya, bagi menunaikan kewajipan dan meraih pahala serta kelebihan yang agung.
Hukum Solat Jumaat
Solat Jumaat termasuk dalam syiar Islam. Syarak mewajibkan setiap muslim yang memenuhi syarat menghadirinya bersama umat Islam yang lain, sebagai tanda hubungan dan kesatuan umat Islam. Al-Imam Taqiyuddin as-Subki dalam Fatawa al-SUbki (1/174) menyebut:
وَالْمَقْصُودُ بِالْجُمُعَةِ اجْتِمَاعُ الْمُؤْمِنِينَ كُلِّهِمْ وَمَوْعِظَتُهُمْ. وَأَكْمَلُ وُجُوهِ ذَلِكَ أَنْ يَكُونَ فِي مَكَان وَاحِدٍ لِتَجْتَمِعَ كَلِمَتُهُمْ وَتَحْصُلَ الْأُلْفَةُ بَيْنَهُمْ
“Tujuan Jumaat ialah perhimpunan seluruh orang beriman dan mendengar nasihat. Cara paling sempurna ialah mereka berhimpun di satu tempat agar kesatuan kalimah dan pertautan hati tercapai.”
Kerana itu, Allah mewajibkan solat Jumaat secara berjemaah, tidak sah jika dilakukan bersendirian. Allah berfirman:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu menuju kepada zikir Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Maka apabila selesai solat, bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah, serta ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung.” (al-Jumu‘ah: 9-10)
Dua ayat ini menunjukkan kewajipan menghadiri Jumaat, bagi setiap orang yang memenuhi syarat wajibnya, bukti perkara ini:
- Ia berupa perintah dalam bentuk seruan berjemaah.
- “Seruan untuk solat” yang dimaksudkan dalam ayat ialah seruan menuju ke tempat perhimpunan untuk didirikan Jumaat.
- Perintah menghadiri “Zikirullah” dalam ayat ini bermaksud khutbah dan solat Jumaat berdasarkan ijmak ulama, seperti yang dinukilkan oleh Ibn ‘Abd al-Barr dalam al-Istizkar 2/60.
- Perintah untuk bersegera (السعي) adalah merujuk bersegera menghadiri Jumaat menuntut kewajipan. Perintah dalam ayat ini membawa hukum wajib. Kerana itu telah menjadi ijma’ dalam kalangan ulama menghadiri Jumaat adalah wajib bagi mereka yang memenuhi syarat wajib Jumaat.
Al-Imam Ibn Juzaiy (ابن جُزَيّ) dalam al-Tashil Li Ulum al-Tanzil 2/374 menyebut:
حضور الجمعة واجب؛ لحمل الأمر الذي في الآية على الوجوب باتفاق
Maksudnya: “Hadis Jumaat adalah wajib, berdasarkan kefahaman perintah yang terdapat dalam ayat al-Quran membawa maksud wajib dengan kesepakatan ulama.”
Selain itu, hadis-hadis Nabi SAW juga menunjukkan kewajipan ini, antaranya sabda Nabi SAW:
- Daripada Hafsah RA, Nabi SAW bersabda:
رَوَاحُ الْجُمُعَةِ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُحْتَلِمٍ
“Pergi ke solat Jumaat adalah wajib atas setiap lelaki yang baligh.” (Riwayat an-Nasa’I dalam Sunannya)
- Daripada Tariq bin Syihab (طارق بن شهاب), Nabi SAW bersabda:
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا أَرْبَعَةٌ: عَبْدٌ مَمْلُوكٌ، أَوِ امْرَأَةٌ، أَوْ صَبِيٌّ، أَوْ مَرِيضٌ
“Solat Jumaat itu hak yang wajib atas setiap Muslim secara berjemaah, kecuali empat kumpulan: hamba, wanita, kanak-kanak, dan orang sakit.” (Riwayat Abu Dawud dalam Sunannya, al-Hakim dalam al-Mustadrak dan beliau berkata: “Hadis ini sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim.”)
Amaran Meninggalkan Solat Jumaat Bagi Mereka Yang Wajib Hadir
Bagi yang wajib menunaikan Jumaat, syarak mengancam keras jika meninggalkannya. Antaranya sabda Nabi SAW:
- Daripada Jabir bin Abdillah RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَعَلَيْهِ الْجُمُعَةُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ إِلَّا مَرِيضٌ أَوْ مُسَافِرٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيُّ أَوْ مَمْلُوكٌ، فَمَنِ اسْتَغْنَى بِلَهْوٍ أَوْ تِجَارَةٍ اسْتَغْنَى اللَّهُ عَنْهُ، وَاللَّهُ غَنِيُّ حُمَيْدٌ
“Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka wajib baginya solat Jumaat pada hari Jumaat kecuali orang sakit, musafir, wanita, kanak-kanak dan hamba. Barang siapa meninggalkannya kerana hiburan atau perniagaan, Allah tidak berhajat kepadanya. Sesungguhnya Allah Maha Kaya dan Maha Terpuji.” (Riwayat ad-Daraqutni dan al-Baihaqi dalam Sunan mereka berdua)
- Imam Muslim dalam Sahihnya, hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Umar dan Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ، أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ، ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ
“Hendaklah orang yang meninggalkan Jumaat berhenti daripada perbuatannya, atau Allah akan menutup hati mereka lalu mereka menjadi orang yang lalai.” (Riwayat Muslim)
- Abu Daud meriwayatkan dalam Sunannya daripada Abu al-Ja’d al-Dhamri أبي الجعد الضمري, nabi SAW bersabda:
مَنْ تَرَكَ ثَلَاثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ
“Sesiapa yang meninggalkan tiga Jumaat kerana memandang ringan, Allah akan menutup hatinya.” (Riwayat Abu Dawud)
Syarat Wajib Solat Jumaat
Menurut jumhur fuqaha, solat Jumaat wajib atas setiap Muslim lelaki, merdeka, baligh, berakal, bermukim, dan sihat. Jumaat tidak wajib ke atas kanak-kanak, wanita, musafir, dan orang sakit.
Hukum Meninggalkan Solat Jumaat Kerana Tidur
Antara uzur yang dianggap termasuk dalam kumpulan tidak dikira berdosa ialah tidur yang menguasai seseorang sehingga orang itu tidak mampu menolaknya. Inilah pandangan ulama mazhab Syafi‘e dan Hanbali. Antaranya kata Ibn Hajar al-Haytami:
ومن أعذارِها أيضًا: نحو زلزلةٍ وغلبة نُعَاسٍ
“Antara uzur (yang diiktiraf syara’) ialah gempa bumi dan mengantuk yang tidak dapat ditahan.” (Tuhfatul Muhtaj, 2/276)
Rasulullah SAW bersabda:
أَمَا لَكُمْ فِيَّ أُسْوَةٌ؟! ثُمَّ قَالَ: أَمَا إِنَّهُ لَيْسَ فِي النَّوْمِ تَفْرِيطٌ، إِنَّمَا التَّفْرِيطُ عَلَى مَنْ لَمْ يُصَلِّ الصَّلَاةَ حَتَّى يَجِيءَ وَقْتُ الصَّلَاةِ الْأُخْرَى، فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَلْيُصَلِّهَا حِينَ يَنْتَبِهُ لَهَا، فَإِذَا كَانَ الْغَدُ فَلْيُصَلِّهَا عِنْدَ وَقْتِهَا..
“Bukankah bagi kamu semua memiliki teladan padaku?! Kemudian baginda bersabda: Ketahuilah bahawa bukan kelalaian dalam tidur; sesungguhnya kelalaian itu hanyalah pada orang yang tidak menunaikan solat sehingga masuk waktu solat yang lain. Maka sesiapa yang melakukan demikian, hendaklah dia menunaikannya ketika dia terjaga untuknya, kemudian apabila keesokan hari, hendaklah dia menunaikan solat pada waktunya.” (Riwayat Bukhari & Muslim dari hadis Abi Qatadah)
Dalam hadis ‘Aisyah RA yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda:
إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ يُصَلِّي فَلْيَرْقُدْ حَتَّى يَذْهَبَ عَنْهُ النَّوْمُ، فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا صَلَّى وَهُوَ نَاعِسٌ لاَ يَدْرِي لَعَلَّهُ يَسْتَغْفِرُ فَيَسُبُّ نَفْسَهُ
“Apabila seseorang daripada kamu mengantuk sedang dia di dalam solat, maka hendaklah dia tidur terlebih dahulu sehingga hilang daripadanya rasa mengantuk itu. Sesungguhnya salah seorang daripada kamu apabila dia solat dalam keadaan mengantuk, dia tidak tahu; boleh jadi dia hendak memohon ampun tetapi dia sebenarnya mencaci dirinya sendiri.”
Jika mengantuk menjadi satu keuzuran yang diiktiraf oleh syarak bagi orang yang sedang berada dalam solatnya, maka lebih utama lagi ia diterima syarak sebagai satu keuzuran bagi orang yang ingin dan belum memulakan solat. Rujuk: Fath al-Rahman bi Syarh Zubad Ibn Ruslan oleh Imam al-Ramli (hlm. 352, cet. Dar al-Minhaj).”
Kewajipan Bagi Yang Terlepas Solat Jumaat Dengan Ada Keuzuran
Jika seseorang mukallaf yang terlepas Jumaat kerana uzur seperti tidur, dia wajib menggantikannya dengan solat Zuhur empat rakaat, berdasarkan ijmak ulama. Dalilnya, sabda Nabi SAW:
مَنْ نَسِيَ صَلَاةً أَوْ نَامَ عَنْهَا فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا
“Sesiapa yang terlupa atau tertidur dari menunaikan solat, maka kaffarahnya ialah dia solat apabila teringat.” (Riwayat Muslim daripada Anas bin Malik rA)
Abu Daud dalam Sunannya meriwayatkan, Nabi SAW bersabda;
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ
“Diangkat pena daripada tiga golongan: orang tidur hingga dia bangun, kanak-kanak hingga baligh, dan orang gila hingga berakal.” (Riwayat Abu Dawud)
Al-Tirmizi dalam Jami‘-nya meriwayatkan daripada Abu Qatadah RA, beliau berkata:
ذكروا للنبي صلى الله عليه وآله وسلم نومهم عن الصلاة، فقال لهم صلى الله عليه وآله وسلم: «إِنَّهُ لَيْسَ فِي النَّوْمِ تَفْرِيطٌ، إِنَّمَا التَّفْرِيطُ فِي اليَقَظَةِ، فَإِذَا نَسِيَ أَحَدُكُمْ صَلَاةً أَوْ نَامَ عَنْهَا، فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا
Orang ramai menyebutkan kepada Nabi ﷺ tentang tidur mereka sehingga terluput solat, lalu baginda ﷺ bersabda kepada mereka: “Sesungguhnya bukan kelalaian pada tidur itu, sebaliknya kelalaian itu hanya pada waktu jaga. Maka apabila seseorang di antara kamu lupa akan solat atau tertidur daripadanya, maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia mengingatinya.
Al-Imam Muslim dalam Sahih-nya meriwayatkan hadis yang hampir sama dalam kisah mereka yang tertidur sehingga waktu solat Subuh; lafaznya:
أَمَا إِنَّهُ لَيْسَ فِيَّ النَّوْمِ تَفْرِيطٌ، إِنَّمَا التَّفْرِيطُ عَلَى مَنْ لَمْ يُصَلِّ الصَّلَاةَ حَتَّى يَجِيءَ وَقْتُ الصَّلَاةَ الْأُخْرَى، فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَلْيُصَلِّهَا حِينَ يَنْتَبِهُ لَهَا، فَإِذَا كَانَ الْغَدُ فَلْيُصَلِّهَا عِنْدَ وَقْتِهَا
“Ketahuilah, sesungguhnya bukan kelalaian pada tidur. Sebaliknya kelalaian itu hanya pada orang yang tidak menunaikan solat sehinggalah masuk waktu solat yang berikutnya. Maka sesiapa yang melakukan demikian, hendaklah dia menunaikannya ketika dia terjaga untuknya, kemudian apabila tiba keesokan harinya, hendaklah dia menunaikannya pada waktunya.
Berkata al-‘Allamah al-Syaukani dalam Nayl al-Awtar (2/33, cet. Dar al-Hadith):
والحديث يدل على أنَّ النائم ليس بمكلف حال نومه، وهو إجماع
“Hadis ini menunjukkan bahawa orang yang tidur tidaklah mukallaf ketika tidur, dan ia adalah ijmak.” Tamat.
Berkata al-‘Allamah al-Mulla ‘Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih (2/532, cet. Dar al-Fikr):
ليس في النوم)؛ أي: في حالهِ (تفريطٌ)؛ أي: تقصير ينسب إلى النائم في تأخيره الصلاة (إنما التفريط)؛ أي: يوجد (في اليقظة)؛ أي: في وقتها بأن تسبب في النوم قبل أن يغلبه، أو في النسيان بأن يتعاطى ما يعلم ترتبه عليه غالبا؛ كلعب الشطرنج، وأنه يكون مقصرًا حينئذٍ، ويكون آثمًا، (فإذا نسي أحدكم صلاة أو نام عنها؛ فليصلِّها إذا ذكرها)؛ أي: بعد النسيان أو النوم
“(Bukan pada tidur) yakni pada keadaan tidur itu (satu kelalaian) yakni tiada kekurangan yang dinisbahkan kepada orang tidur kerana melewatkan solat, (Kelalaian itu hanyalah) iaitu kelalaian itu hanya berlaku (dalam keadaan jaga) yakni pada waktu jaga, iaitu dengan sengaja menyebabkan tidur sebelum mengantuk itu menguasai dirinya, atau dalam keadaan lupa dengan melakukan sesuatu yang dia tahu biasanya membawa kepada lupa itu; seperti bermain catur. Maka ketika itu dia dianggap lalai dan berdosa. (Maka apabila seseorang di antara kamu lupa solat atau tertidur dari menunaikannya; maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia mengingatinya) yakni selepas ingat semula atau terjaga dari tidur.” Tamat.
Kaedah Mengqadha Solat Jumaat Bagi Yang Terluput
Mengqadha solat Jumaat ialah dengan menggantikannya dengan solat Zohor empat rakaat berdasarkan ijmak. Berkata Imam Ibn al-Munzir dalam al-Awsat fi al-Sunan wa al-Ijma’ wa al-Ikhtilaf (4/107, cet. Dar Taybah):
أجمع كل من نحفظ عنه من أهل العلم على أنَّ من فاتته الجمعة أن يصلي أربعًا
“Telah ijmak semua ahli ilmu yang kami ketahui, bahawa sesiapa yang terluput solat Jumaat hendaklah menunaikan solat empat rakat (Zohor).” Tamat.
Berkata al-‘Allamah Ibn al-Mulaqqin dalam ‘Ujalah al-Muhtaj ila Tawjih al-Minhaj (1/359, cet. Dar al-Kitab):
فَلاَ تُقْضَى جُمُعَةً، أى بل ظهرًا، بالإجماع
“Solat Jumaat yang terluput tidak boleh diqadha sebagai Jumaat, bahkan ia ditunaikan sebagai Zohor dengan ijmak.” Tamat
Berkata Imam Ibn Qudamah dalam al-Mughni (2/254, cet. Maktabah al-Qahirah):
فأمَّا إذا فاتته الجمعة فإنَّه يصير إلى الظهر؛ لأنَّ الجمعة لا يمكن قضاؤها؛ لأنَّها لا تصح إلا بشروطها، ولا يوجد ذلك في قضائها، فتعيَّن المصير إلى الظهر عند عدمها، وهذا حال البدل
“Adapun jika terluput solat Jumaat, maka ia beralih kepada Zohor; kerana Jumaat tidak mungkin dapat diqadha. Ia hanya sah dengan syarat-syarat tertentu, dan syarat itu tidak ada pada qadha, maka wajiblah beralih kepada Zohor ketika tidak melakukannya. Ini keadaan pengganti.” Tamat.
Kesimpulan
Berdasarkan huraian di atas, sesiapa yang terlepas solat Jumaat kerana tidur, tanpa sikap sambil lewa dan tanpa kelalaian, maka dia tidak berdosa. Namun, dia wajib menggantikan dengan solat Zuhur empat rakaat menurut kesepakatan ulama.
Seorang Muslim hendaklah menjaga solat Jumaat dengan tidur awal, tidak berjaga tanpa manfaat, meminta orang lain mengejutkan, atau menggunakan jam loceng/penggera, supaya dapat menunaikan solat Jumaat tepat pada waktunya – sebagai menunaikan kewajipan dan meraih pahala yang besar.
