Soalan:
Masjid terletak di tengah perkuburan dan di antara kubur terdapat lorong-lorong sempit untuk laluan orang ramai masuk dan keluar dari masjid. Saya terpaksa menunaikan solat Maghrib di situ kerana kesempitan waktu, dan ketiadaan masjid lain yang berdekatan. Apakah hukum solat di masjid tersebut?
Jawapan:
Menunaikan solat di sisi kubur, menjadikan kubur sebagai masjid, dan membina masjid di atasnya, semua perkara ini tidak dibenarkan kerana terdapat larangan keras daripada Nabi ﷺ.
Sesiapa yang sengaja memilih untuk solat di tanah perkuburan, wajib ke atasnya bertaubat dan beristighfar, namun tidak wajib mengulangi solatnya menurut pendapat kebanyakan ulama termasuk ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘e, dan satu riwayat daripada Ahmad.
Al-Imam al-Nawawi berkata dalam al-Majmu’ (3/166):
أَمَّا حُكْمُ الْمَسْأَلَةِ فَإِنْ تَحَقَّقَ أَنَّ الْمَقْبَرَةَ مَنْبُوشَةٌ لَمْ تَصِحَّ صَلَاتُهُ فِيهَا بِلَا خِلَافٍ إذَا لَمْ يبسط تحته شئ وَإِنْ تَحَقَّقَ عَدَمُ نَبْشِهَا صَحَّتْ بِلَا خِلَافٍ وَهِيَ مَكْرُوهَةٌ كَرَاهَةَ تَنْزِيهٍ وَإِنْ شَكَّ فِي نَبْشِهَا فَقَوْلَانِ أَصَحُّهُمَا تَصِحُّ الصَّلَاةُ مَعَ الْكَرَاهَةِ وَالثَّانِي لَا تَصِحُّ
“Adapun hukum masalah ini, jika pasti perkuburan itu telah digali (untuk dikebumikan jenazah lain yang menyebabkan tanahnya bercampur najis), maka tidak sah solat di situ tanpa khilaf (dalam kalangan ulama mazhab) sekiranya tidak diletakkan sesuatu alas di bawah orang yang menunaikan solat tersebur. Jika pasti tanah itu tidak digali lagi, maka sah solat yang ditunaikan di situ tanpa khilaf tetapi hukumnya makruh tanzih. Jika ragu sama ada tanah perkuburan itu telah digali untuk dikebumikan jenazah baharu atau tidak, maka ada dua pendapat: Pendapat Asah, solat sah tetapi makruh. Pendapat yang kedua: tidak sah.”
Kemudian al-Imam al-Nawawi menambah:
فِي مَذَاهِبِ الْعُلَمَاءِ فِي الصَّلَاةِ فِي الْمَقْبَرَةِ: قَدْ ذَكَرْنَا مَذْهَبَنَا فِيهَا وَأَنَّهَا ثَلَاثَةُ اقسام قال ابن المندر رَوَيْنَا عَنْ عَلِيٍّ وَابْنِ عَبَّاسٍ وَابْنِ عُمَرَ وَعَطَاءٍ وَالنَّخَعِيِّ أَنَّهُمْ كَرِهُوا الصَّلَاةَ فِي الْمَقْبَرَةِ ولم يكرها أبو هريرة وواتلة بْنُ الْأَسْقَعِ وَالْحَسَنُ الْبَصْرِيُّ وَعَنْ مَالِكٍ رِوَايَتَانِ أَشْهُرُهُمَا لَا يُكْرَهُ مَا لَمْ يَعْلَمْ نَجَاسَتَهَا وَقَالَ أَحْمَدُ الصَّلَاةُ فِيهَا حَرَامٌ وَفِي صِحَّتِهَا رِوَايَتَانِ وَإِنْ تَحَقَّقَ طَهَارَتُهَا وَنَقَلَ صَاحِبُ الْحَاوِي عَنْ دَاوُد أَنَّهُ قَالَ تَصِحُّ الصَّلَاةُ وَإِنْ تَحَقَّقَ نَبْشُهَا
“Cabang berkenaan pandangan-pandangan ulama tentang solat di perkuburan. Kami telah sebutkan mazhab kami (Syafi‘e) bahawa ia terbahagi kepada tiga keadaan. Ibn al-Mundzir berkata: Kami meriwayatkan daripada ‘Ali, Ibn ‘Abbas, Ibn ‘Umar, ‘Ata’ dan al-Nakha‘i bahawa mereka memakruhkan solat di perkuburan. Manakala Abu Hurairah, Wathilah bin al-Asqa’, dan al-Hasan al-Basri tidak memakruhkannya. Daripada Malik ada dua riwayat; yang lebih masyhur tidak makruh selama tidak diketahui adanya najis. Ahmad berkata: Solat di perkuburan adalah haram, dan apakah sah solat tersebut ada dua riwayat, sekalipun jika dipastikan kesuciannya. Penulis kitab al-Hawi menukilkan daripada Daud yang berkata bahawa solat tersebut sah sekalipun pasti perkuburan itu telah digali (untuk dikebumikan jenazah lain).”
Ibn Qudamah rahimahullah dalam al-Mughniy 2/51 menyatakan:
وَعَنْ أَحْمَدَ رِوَايَةٌ أُخْرَى، أَنَّ الصَّلَاةَ فِي هَذِهِ صَحِيحَةٌ مَا لَمْ تَكُنْ نَجِسَةً، وَهُوَ مَذْهَبُ مَالِكٍ وَأَبِي حَنِيفَةَ وَالشَّافِعِيِّ
“Ada juga riwayat lain daripada Ahmad bahawa solat di tanah perkuburan sah selama tidak ada najis, dan ini juga pandangan adalah mazhab Malik, Abu Hanifah dan al-Syafi‘e.” Tamat.
Al-Imam al-Syafi‘e – rahimahullah dalam al-Umm (1/113) menyatakan:
وَالْمَقْبَرَةُ الْمَوْضِعُ الَّذِي يُقْبَرُ فِيهَا الْعَامَّةُ وَذَلِكَ كَمَا وَصَفْت مُخْتَلِطَةُ التُّرَابِ بِالْمَوْتَى وَأَمَّا صَحْرَاءُ لَمْ يُقْبَرْ فِيهَا قَطُّ قَبَرَ فِيهَا قَوْمٌ مَاتَ لَهُمْ مَيِّتٌ، ثُمَّ لَمْ يُحَرَّكْ الْقَبْرُ فَلَوْ صَلَّى رَجُلٌ إلَى جَنْبِ ذَلِكَ الْقَبْرِ، أَوْ فَوْقَهُ كَرِهْتُهُ لَهُ وَلَمْ آمُرْهُ يُعِيدُ؛ لِأَنَّ الْعِلْمَ يُحِيطُ بِأَنَّ التُّرَابَ طَاهِرٌ لَمْ يَخْتَلِطْ فِيهِ شَيْءٌ
“Perkuburan ialah tempat orang ramai dikebumikan, ia bercampur antara tanah dengan mayat. Adapun tanah lapang yang tidak pernah dikebumikan apa-apa mayat, kemudian ada orang mati dikebumikan di situ dan kuburnya tidak digali selepas itu (untuk dikebumikan mayat lain), maka jika ada orang solat di sebelah kubur tersebut atau di atasnya, aku memakruhkannya, tetapi aku tidak memerintahkannya mengulang solat kerana dengan pasti bahawa tanah itu suci dan tidak bercampur dengan sesuatu (najis).”
Pandangan muktamad di sisi ulama mazhab Hanbali ialah solat di perkuburan tidak sah. Al-Mardawi dalam al-Insaf 1/489 menyatakan:
وَلَا تَصِحُّ الصَّلَاةُ فِي الْمَقْبَرَةِ وَالْحَمَّامِ وَالْحُشِّ وَأَعْطَانِ الْإِبِلِ هَذَا الْمَذْهَبُ. وَعَلَيْهِ الْأَصْحَابُ. قَالَ فِي الْفُرُوعِ: هُوَ أَشْهَرُ وَأَصَحُّ فِي الْمَذْهَبِ، قَالَ الْمُصَنِّفُ وَغَيْرُهُ: هَذَا ظَاهِرُ الْمَذْهَبِ، وَهُوَ مِنْ الْمُفْرَدَاتِ
“Tidak sah solat di perkuburan, bilik mandi, tandas, dan kandang unta. Inilah pandangan mazhab, dan para ulama Hanabilah berpegang dengannya. Dalam al-Furu’ disebut: Ia paling masyhur dan paling sah dalam mazhab. Kata penulis kitab dan yang lain: Inilah zahir mazhab, dan ia termasuk daripada perkara yang menyendiri mazhab Hanbali (berbanding mazhab lain).” Tamat.
Dalil bagi mazhab Hanbali ialah riwayat Ahmad, al-Tirmizi, dan Ibn Majah daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a., bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
الْأَرْضَ كُلَّهَا مَسْجِدٌ إِلَّا الْمَقْبَرَةَ وَالْحَمَّامَ
“Seluruh bumi adalah masjid kecuali perkuburan dan bilik mandi.” (Hadis ini dinilai dhoif disebabkan al-Idhtirab seperti yang dinukilkan oleh al-Nawawi dalam Khulasah al-Ahkam 1/321. Dinilai sahih oleh al-Albani dalam al-Irwa’, hadis bilangan 287)
