Soalan:
Ustaz bin Sahak, benarkan para wanita melakukan tawaf haji dan umrah di zaman Nabi dan para sahabat dalam keadaan berlaku percampuran dengan kaum lelaki. Ia menjadi dalil bolehnya berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan? betulkah?
Jawapan:
Jika dimaksudkan dengan percampuran ialah berlaku keadaan saling berselisihan antara lelaki dan perempuan, maka kenyataan tersebut adalah salah dan menyeleweng. Percampuran yang berlaku hanya menunjukkan amalan tawaf bagi golongan lelaki dan wanita boleh berlaku dalam masa yang sama. Namun para wanita salaf sentiasa menjaga maruah dan kemuliaan diri mereka dengan melakukan tawaf jauh dari golongan lelaki seperti di bahagian belakang jemaah lelaki dan tidak saling bersesakan.
Islam tidak membenarkan percampuran antara lelaki dan wanita, sama ada ketika tawaf mahupun dalam urusan lain, kerana ia boleh membawa kepada pelbagai kerosakan, seperti pandangan yang haram dan disusuli dengan perkara mungkar lain.
Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam Sahih beliau daripada Ummu Salamah, isteri Nabi ﷺ, bahawa beliau berkata:
شَكَوْتُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ أَنِّي أَشْتَكِي قَالَ: طُوفِي مِنْ وَرَاءِ النَّاسِ وَأَنْتِ رَاكِبَةٌ، فَطُفْتُ وَرَسُولُ اللَّهِ ﷺ يُصَلِّي إِلَى جَنْبِ البَيْتِ يَقْرَأُ بِالطُّورِ وَكِتَابٍ مَسْطُورٍ
“Aku mengadu kepada Rasulullah ﷺ bahawa aku sedang sakit. Maka Baginda bersabda: “Lakukan tawaf dari belakang orang ramai, sedangkan engkau berada di atas tunggangan.” Maka aku pun bertawaf (di belakang orang ramai), ketika itu Rasulullah ﷺ sedang menunaikan solat di sisi Kaabah, dan Baginda membaca: ‘Wa al-Tūr, wa kitābin masṭūr.” (al-Bukhari dan Muslim)
Ibn Hajar menyatakan dalam Fath al-Bari 3/481:
وَإِنَّمَا أَمَرَهَا أَنْ تَطُوف مِنْ وَرَاء النَّاس لِيَكُونَ أَسْتَرَ لَهَا
“Baginda memerintahkan Ummu Salamah supaya bertawaf dari belakang orang ramai agar beliau berada dalam keadaan lebih terlindung.”.
Al-Bāji berkata dalam al-Muntaqa Syarh al-Muwaṭṭa’ 2/295 menyatakan:
وأما المرأة فمن سنتها أن تطوف وراء الرجال، لأنها عبادة لها تعلق بالبيت، فكان من سنة النساء أن يكنَّ وراء الرجال كالصلاة
“Adapun wanita, maka sunnah baginya adalah bertawaf di belakang kaum lelaki, kerana ia merupakan ibadah yang berkaitan dengan Kaabah; maka menjadi sunnah bagi wanita untuk berada di belakang kaum lelaki sebagaimana dalam solat.”
Dalam Sahih al-Bukhari terdapat riwayat daripada Ibn Juraij tentang gambaran tawaf yang berlaku seperti yang diceritakan oleh ‘Aṭā’ kepadanya, 'Aṭā berkata:
إِذْ مَنَعَ ابنُ هِشَامٍ النِّسَاءَ الطَّوَافَ مع الرِّجَالِ، قالَ: كيفَ يَمْنَعُهُنَّ؟ وقدْ طَافَ نِسَاءُ النبيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ مع الرِّجَالِ؟ قُلتُ: أَبَعْدَ الحِجَابِ أَوْ قَبْلُ؟ قالَ: إي لَعَمْرِي، لقَدْ أَدْرَكْتُهُ بَعْدَ الحِجَابِ، قُلتُ: كيفَ يُخَالِطْنَ الرِّجَالَ؟ قالَ: لَمْ يَكُنَّ يُخَالِطْنَ، كَانَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا تَطُوفُ حَجْرَةً مِنَ الرِّجَالِ، لا تُخَالِطُهُمْ، فَقالتِ امْرَأَةٌ: انْطَلِقِي نَسْتَلِمْ يا أُمَّ المُؤْمِنِينَ، قالَتْ: انْطَلِقِي عَنْكِ، وأَبَتْ، يَخْرُجْنَ مُتَنَكِّرَاتٍ باللَّيْلِ، فَيَطُفْنَ مع الرِّجَالِ، ولَكِنَّهُنَّ كُنَّ إذَا دَخَلْنَ البَيْتَ، قُمْنَ حتَّى يَدْخُلْنَ، وأُخْرِجَ الرِّجَالُ، وكُنْتُ آتي عَائِشَةَ أَنَا وعُبَيْدُ بنُ عُمَيْرٍ، وهي مُجَاوِرَةٌ في جَوْفِ ثَبِيرٍ، قُلتُ: وما حِجَابُهَا؟ قالَ: هي في قُبَّةٍ تُرْكِيَّةٍ، لَهَا غِشَاءٌ، وما بيْنَنَا وبيْنَهَا غَيْرُ ذلكَ، ورَأَيْتُ عَلَيْهَا دِرْعًا مُوَرَّدًا.
“Ketika Ibn Hisham melarang para wanita dari melakukan tawaf bersama para lelaki, ‘Aṭā’ berkata: “Bagaimana dia boleh melarang mereka, sedangkan para isteri Nabi ﷺ pernah bertawaf bersama para lelaki?” Aku (yakni Ibn Juraij) bertanya: “Adakah peristiwa itu selepas turunnya ayat hijab atau sebelumnya?” ‘Aṭā’ menjawab: “Demi hidupku, sesungguhnya menemui mereka melakukannya selepas turunnya ayat hijab.” Aku bertanya lagi: “Bagaimana para wanita bercampur dengan kaum lelaki?” Beliau menjawab: “Mereka tidak bercampur dengan lelaki. ‘Ā’ishah رضي الله عنها bertawaf pada bahagian yang agak jauh dari kaum lelaki, tidak bercampur dengan mereka. Pernah seorang wanita berkata kepada ‘Ā’ishah: “Marilah kita pergi untuk melakukan istilam pada Hajar Aswad, wahai Ummul Mukminin.” Maka ‘Ā’ishah berkata: “Pergilah engkau sendiri,” lalu ‘Ā’ishah enggan untuk pergi. Para wanita keluar pada waktu malam dalam keadaan menutup diri (berpakaian menyamarkan diri mereka), lalu mereka melakukan tawaf bersama para lelaki. Namun apabila mereka hendak masuk ke dalam Ka‘bah, mereka berdiri hingga para lelaki masuk, dan apabila para lelaki keluar, barulah mereka masuk. Dan aku (‘Aṭā’) pernah datang menemui ‘Ā’ishah bersama ‘Ubaid bin ‘Umair ketika beliau beriktikaf di dalam kawasan tengah Bukit Thabīr. Ibn Juraij bertanya: “Bagaimana hijab ‘Ā’ishah?” ‘Aṭā’menjawab: “Beliau berada di dalam sebuah khemah Turki yang mempunyai tirai (غِشَاءٌ), dan antara kami dengannya tidak ada penghalang selain daripada tirai itu.” ‘Aṭā’ berkata: “Aku melihat beliau memakai baju dalaman (dir‘) yang berwarna merah bunga mawar.” (Al-Bukhari, 1618)
Dalam hadis ini, tabi‘ī yang bernama ‘Aṭā’ bin Abī Rabāḥ (عَطاءُ بنُ أبي رَباحٍ) meriwayatkan bahawa ketika beliau melihat Ibn Hisham melarang kaum wanita dari melakukan tawaf bersama kaum lelaki ketika haji dan umrah.
Ibn Hisham yang dimaksudkan ialah Ibrāhīm bin Hishām bin Ismā‘īl, Gabenor Madinah dan bapa saudara kepada Khalifah Hishām bin ‘Abd al-Malik bin Marwān. Tindakan Ibn Hisham itu, menjadikan ‘Aṭā’ merasa hairan bagaimana beliau boleh melarang perkara tersebut.
‘Aṭā’ lalu menjelaskan bahawa para isteri Nabi ﷺ dahulu pernah bertawaf bersama para lelaki pada masa yang sama, tetapi mereka berada di belakang kaum lelaki, bukan bercampur.
Lalu ‘Abd al-Malik bin Juraij bertanya kepada gurunya ‘Aṭā’:
“Apakah tawaf mereka bersama para lelaki itu berlaku selepas turunnya ayat hijab dalam firman Allah Ta‘ala:
وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ
Maksudnya: “Dan apabila kamu meminta sesuatu keperluan kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari balik tabir.” (Surah al-Aḥzāb: 53), atau perkara itu berlaku sebelum turunnya ayat ini?
Turunnya ayat hijab ini berlaku ketika Nabi ﷺ mengahwini Zaynab binti Jahsy (زَينَبَ بِنتَ جَحشٍ), pada tahun kelima atau tahun ketiga hijrah. Maka ‘Aṭā’ menjawab: “Demi hidupku (لَعَمْري، لَحَياتي أي: ), iaitu satu ungkapan yang bermaksud penegasan, bukan sumpah sebenar, bahawa beliau sempat melihat para isteri Nabi bertawaf bersama para lelaki selepas turunnya ayat hijab. Kemudian Ibn Juraij bertanya lagi: “Bagaimana bentuk percampuran mereka dengan lelaki ketika melakukan tawaf?”
‘Aṭā’ menyatakan, para isteri Nabi tidak bercampur dengan lelaki dalam ertikata saling berselisih. ‘Ā’ishah رضي الله عنها sebagai contoh, melakukan tawaf di bahagian yang agak jauh daripada kaum lelaki, tidak bercampur dengan mereka. Dalam riwayat disebutkan:
فقد كانتْ عائِشةُ رَضيَ اللهُ عنها تَطوفُ حَجْرةً
“Dahulunya ‘Aisyah akan melakukan tawaf hajratan.”
Di mana kalimah: حَجْرةً bermaksud: ناحية بَعيدة iaitu sudut yang jauh dari para lelaki.
‘Aisyah tidak bercampuran dengan para lelaki. Suatu ketika seorang wanita berkata kepada ‘Aisyah: “Marilah kita pergi melakukan istilam kepada Hajar Aswad, wahai Ummul Mukminin.” Namun beliau berkata: “Pergilah engkau sendiri,” dan ‘Aisyah enggan untuk berbuat demikian.
‘Aṭā’ juga menjelaskan bahawa para isteri Nabi ﷺ dan para wanita umumnya keluar pada waktu malam agar diri mereka tidak terlalu kelihatan dengan kerana gelap malam. Mereka melakukan tawaf bersama para lelaki, tetapi apabila mereka hendak masuk ke dalam Ka‘bah, mereka berdiri terlebih dahulu sehingga kaum lelaki selesai dan keluar, barulah mereka masuk ke dalamnya.
‘Aṭā’ berkata lagi bahawa beliau pernah datang menemui ‘Ā’ishah رضي الله عنها bersama ‘Ubaid bin ‘Umair al-Hijazi (عُبَيدُ بنُ عُمَيرٍ الحِجازيُّ), seorang qāḍī (hakim) Makkah, ketika ‘Ā’ishah berada di bahagian tengah Bukit Thabīr (جبل ثَبِيرٍ), iaitu sebuah bukit di Muzdalifah, di sebelah kiri bagi mereka yang berjalan dari Muzdalifah menuju ke Mina, dan di sebelah kanan bagi mereka yang datang dari Mina menuju ke Arafah. Ketika ditanya bagaimana bentuk hijab atau pemisahan antara ‘Aisyah dan kaum lelaki? ‘Aṭā’ menjawab: “’Aisyah berada di dalam sebuah khemah kecil buatan Turki yang diperbuat daripada (مِن صُوفٍ) kain bulu tebal (لُبودٍ) yang didirikan di tanah, mempunyai tirai menutup pintunya, dan antara kami dengannya tidak ada penghalang lain selain tirai tersebut.”
‘Aṭā’ memberitahu juga: “Aku melihat ‘Aisyah memakai (قَميصًا أحمَرَ، لَونُه لَونُ الوَرْدِ) baju panjang berwarna merah mawar (دِرعًا مُوَرَّدًا).” Dalam riwayat lain oleh ‘Abd al-Razzāq disebutkan:
دِرعًا مُعَصفَرًا، وأنا صَبيٌّ
Bermaksud: “(‘Aisyah memakai) Baju yang dicelup warna kuning, dan ketika itu aku masih seorang budak kecil.”
Ini menunjukkan ‘Aṭā’ sendiri melihat ‘Aisyah dalam keadan begitu ketika ‘Aṭā’ masih kecil dan belum baligh.
Al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar – rahimahullah – berkata:
وظاهر هذا أن ابن هشام أول من منع ذلك، لكن روى الفاكهي من طريق زائدة عن إبراهيم النخعي قال: نهى عمر أن يطوف الرجال مع النساء، قال فرأى رجلا معهن فضربه بالدِّرة، وهذا إن صح لم يعارض الأول؛ لأن ابن هشام منعهن أن يطفن حين يطوف الرجال مطلقاً، فلهذا أنكر عليه عطاء، واحتج بصنيع عائشة، وصنيعها شبيه بهذا المنقول عن عمر. قال الفاكهي: ويُذكر عن ابن عيينة أن أول من فرَّق بين الرجال والنساء في الطواف: خالد بن عبد الله القسري. اهـ وهذا إن ثبت فلعله منَعَ ذلك وقتاً، ثم تركه؛ فإنه كان أمير مكة في زمن عبد الملك بن مروان، وذلك قبل ابن هشام بمدة طويلة.
Zahir daripada perkara ini menunjukkan bahawa Ibn Hishām adalah orang pertama yang melarang wanita bertawaf bersama lelaki. Tetapi al-Fākihī meriwayatkan melalui jalan Zā’idah daripada Ibrāhīm al-Nakha‘ī, yang berkata: “ʿUmar telah melarang lelaki bertawaf bersama wanita.” Beliau berkata: “Umar pernah melihat seorang lelaki bersama para wanita (melakukan tawaf) lalu ‘Umar memukul lelaki itu dengan cemeti.” Jika riwayat ini sahih, maka ia tidak bercanggah dengan yang pertama; kerana Ibn Hishām melarang para wanita dari melakukan tawaf ketika para lelaki melakukan tawaf secara mutlak. Sebab itulah ʿAṭā’ mengingkarinya dan berhujah dengan perbuatan ʿĀ’ishah. Perbuatan ʿĀ’ishah itu adalah serupa dengan apa yang diriwayatkan daripada ʿUmar ini. Al-Fākihī berkata: “Dan diriwayatkan daripada Ibn ʿUyaynah bahawa orang pertama yang memisahkan antara lelaki dan wanita melakukan tawaf ialah Khālid bin ʿAbdillah al-Qasrī.” Dan jika hal ini thabit, maka barangkali beliau hanya melarangnya pada suatu ketika, kemudian meninggalkannya; kerana beliau adalah Gabenor Makkah pada zaman ʿAbd al-Malik bin Marwān, jauh sebelum zaman Ibn Hishām.” (Fatḥ al-Bārī, 3/480)
Riwayat ini membuktikan salahnya pandangan yang mengatakan Islam ةmerestui berlakunya percampuran antara lelaki dan wanita dengan alasan berlakunya percampuran ketika melakukan ibadah tawaf. Percampuran yang berlaku ketika tawaf adalah dari perbuatan golongan jahil yang ramai. Justeru perbuatan orang ramai yang jahil sama sekali tidak boleh dijadikan hujah agama. Bahkan percampuran yang berlaku ketika melakukan tawaf telah dibantah oleh para pemerintah Kerajaan Islam, apatah lagi dari kalangan ulama, yang pasti tidak akan reda dengan hal tersebut.
Ibn Jamā‘ah – rahimahullah – berkata:
ومن أكبر المنكرات: ما يفعله جهلة العوام في الطواف من مزاحمة الرجال بأزواجهم سافرات عن وجههن، وربما كان ذلك في الليل، وبأيديهم الشموع متقدة ... نسأل الله أن يلهم ولي الأمر إزالة المنكرات
“Antara kemungkaran yang paling besar ialah perbuatan orang awam yang jahil ketika bertawaf. Mereka berasak-asak dengan para lelaki sambil membawa isteri mereka yang menampakkan wajah mereka, bahkan kadang-kadang perkara itu berlaku pada waktu malam, dan di tangan mereka ada lilin yang menyala….Kita memohon kepada Allah agar mengilhamkan kepada pemerintah untuk menghapuskan segala kemungkaran ini.
Ibn Ḥajar al-Haytamī setelah menukilkan kata-kata Ibn Jamā‘ah ini berkata:
فتأمله تجده صريحاً في وجوب المنع حتى من الطواف عند ارتكابهن دواعي الفتنة
“Maka perhatikanlah, engkau akan dapati ia dengan jelas menunjukkan wajibnya pencegahan (berlaku percampuran antara lelaki dan wanita), walaupun dari tawaf, apabila mereka (para wanita) melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan fitnah.” (Al-Fatāwā al-Fiqhiyyah, 1/201–202)
Al-Syaikh Ibn ʿUthaymīn – rahimahullah – memberikan ulasan terhadap riwayat bantahan ‘Atho’ terhadap Ibn Hisham di atas dengan katanya:
طواف النساء مع الرجال لا بأس به، ولا يمكن منعه خصوصاً في أوقاتنا هذه؛ لأن كل امرأة مع محرمها، ولو مُنع النساء من الاختلاط مع الرجال: لضاعت النساء، وحصل من الشر أكثر، ولكن لو جُعلن كما تفعل عائشة حَجرة، يعني: بعيدات عن الرجال: لكان هذا طيباً، وكانوا هنا يفعلونه في الأيام التي ليس فيها زحام شديد، يجعلون النساء على الجانب، وهو عمل طيب، وأما أن تُمنع النساء ويقال لهن: لا تطفن إلا في الليل مثلاً: فهذا صعب، وفي وقتنا هذا الأمر أصعب، لو قلنا: الرجال وحدهم والنساء وحدهن: لحصل فتنة كبيرة، كل إنسان يستطيع أن يصيد المرأة بدون من يعارضه، ولكن على الإنسان أن يتقي الله عز وجل ويتجنب زحام النساء بقدر المستطاع، وعلى المرأة أيضاً أن تنتبه لأولئك الفجار الذين يتصيدون النساء في المطاف - والعياذ بالله - وتجد الرجل يلتصق بها من أول الطواف إلى آخر الطواف - نسأل الله العافية - وكم ضُبط من قضية. انتهى
“Tidak mengapa wanita bertawaf bersama lelaki, dan perkara ini tidak mungkin dapat dicegah, khususnya pada zaman kita sekarang; kerana setiap wanita berada bersama mahramnya. Jika wanita dilarang daripada bercampur dengan lelaki, nescaya mereka akan hilang (terpisah dan tersesat), dan akan timbul kemudaratan yang lebih besar. Namun, sekiranya mereka dijadikan seperti yang dilakukan oleh ʿĀ’ishah – yakni bertawaf di tempat yang terpisah jauh dari para lelaki – maka itu adalah baik. Dahulu mereka melakukannya pada hari-hari yang tidak terlalu sesak; mereka menjadikan tempat khas bagi wanita di bahagian tepi, dan itu adalah satu amalan yang baik. Adapun melarang wanita dan berkata kepada mereka: “Jangan melakukan tawaf kecuali pada waktu malam,” misalnya, maka itu sukar dilakukan. Pada zaman kita ini, hal itu lebih sukar lagi. Jika kita katakan: “Para lelaki melakukan tawaf berasingan dan wanita berasingan,” nescaya akan berlaku fitnah yang besar. Setiap orang boleh memerangkap wanita tanpa ada yang menentangnya. Oleh itu, setiap orang hendaklah bertakwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan menjauhi tempat kesesakan wanita sedaya upaya. Wanita juga hendaklah berhati-hati terhadap para pendosa yang menjerat wanita di kawasan tawaf – semoga Allah melindungi kita – kamu akan dapati ada lelaki yang melekat dengan wanita dari awal tawaf hingga akhir tawaf. Kita memohon kepada Allah keselamatan. Dan telah banyak kes yang tertangkap berkaitan hal ini.” (Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, Kitāb al-Ḥajj, Bāb Ṭawāf al-Nisā’ maʿa al-Rijāl, pita rakaman ketujuh, bahagian kedua
Antara Faedah Hadis:
- Wanita-wanita melakukan tawaf dalam keadaan مُتنَكِّراتٍ berusaha tidak membiarkan diri mereka dilihat oleh para lelaki.
- Bahawa wanita boleh bertawaf bersama lelaki dengan syarat menjaga adab dan berhijab, tanpa percampuran fizikal.
- Diharuskan bagi wanita untuk bertawaf pada waktu malam agar lebih terlindung daripada pandangan lelaki.
- Diharuskan wanita bertawaf di belakang lelaki, sebagaimana dilakukan oleh isteri-isteri Nabi ﷺ.
- Menunjukkan adab dan hati-hatinya ‘Ā’ishah رضي الله عنها dalam menjaga aurat dan maruah, apabila beliau menolak untuk berhimpit bagi menyentuh Hajar Aswad.
- Diharuskan beriktikaf atau menetap di Mekah dan seluruh Tanah Haram untuk tujuan ibadah.
- Menunjukkan kehalusan dan kehormatan para sahabat wanita dalam menunaikan ibadah, serta kejelasan bahawa Islam membenarkan wanita beribadah di Masjidil Haram, dengan adab dan batas yang terpelihara.
