Soalan:
Mohon penjelasan ustaz tentang waktu larangan menunaikan solat ketika matahari menegak atau waktu rembang. Apakah larangan ini termasuk pada hari Jumaat?
Jawapan:
Haram melakukan solat pada waktu matahari tegak di atas kepala (waktu istiwā’) sehingga matahari tergelincir (zawāl) berdasarkan hadis daripada ʿUqbah bin ʿĀmir رضي الله عنه, beliau berkata:
ثَلَاثُ سَاعَاتٍ كانَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ يَنْهَانَا أَنْ نُصَلِّيَ فِيهِنَّ، أَوْ أَنْ نَقْبُرَ فِيهِنَّ مَوْتَانَا: حِينَ تَطْلُعُ الشَّمْسُ بَازِغَةً حتَّى تَرْتَفِعَ، وَحِينَ يَقُومُ قَائِمُ الظَّهِيرَةِ حتَّى تَمِيلَ الشَّمْسُ، وَحِينَ تَضَيَّفُ الشَّمْسُ لِلْغُرُوبِ حتَّى تَغْرُبَ.
“Terdapat tiga waktu yang Rasulullah ﷺ melarang kami dari menunaikan solat atau mengebumikan jenazah padanya: Ketika matahari terbit dan sedang naik hingga ia meninggi, Ketika matahari tepat di tengah langit (tegak) sehingga ia tergelincir, Ketika matahari condong ke arah terbenam sehingga ia terbenam.” (HR Muslim)
Waktu istiwā’, atau disebut juga waktu matahari tegak dan rembang ini amat singkat dan tidak cukup untuk melakukan solat, namun haram bagi seseorang memulakan takbiratul ihram dalam tempoh tersebut.
Pengecualian Hari Jumaat
Namun larangan ini dikecualikan pada hari Jumaat. Dibenarkan solat pada waktu istiwa atau matahari tegak di langit pada hari Jumaat, termasuk bagi mereka yang tidak wajib hadir Jumaat seperti wanita, orang sakit dan musafir.
Dalil pengecualian ini ada tiga:
Pertama: Hadis Abu Saʿid al‑Khudri رضي الله عنه:
ﺃﻥ اﻟﻨﺒﻲ ﺻﻠﻰ اﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻧﻬﻰ ﻋﻦ اﻟﺼﻼﺓ ﻧﺼﻒ اﻟﻨﻬﺎﺭ، ﺣﺘﻰ ﺗﺰﻭﻝ اﻟﺸﻤﺲ ﺇﻻ ﻳﻮﻡ اﻟﺠﻤﻌﺔ.
"Nabi ﷺ melarang solat pada pertengahan siang hingga matahari tergelincir kecuali pada hari Jumaat."
Namun hadis ini mempunyai kelemahan pada sanadnya.
Kedua: Nabi ﷺ menggalakkan datang awal ke masjid pada hari Jumaat dan menganjurkan solat sunat sehingga imam keluar, tanpa membuat pengecualian waktu istiwā’.
Ketiga: Dalam Sahih Muslim melalui hadis ʿAmr bin ʿAbasah yang terdapat kenyataan:
ﺛﻢ ﺃﻗﺼﺮ ﻋﻦ اﻟﺼﻼﺓ فإﻥ ﺣﻴﻨﺌﺬ ﺗﺴﺠﺮ ﺟﻬﻨﻢ
“Kemudian berhentilah dari solat, kerana pada waktu itu neraka Jahannam dinyalakan.”
Dalam Sunan Abi Dawud dan selainnya pula dinyatakan:
ﺇﻥ ﺟﻬﻨﻢ ﻻ ﺗﺴﺠﺮ ﻳﻮﻡ اﻟﺠﻤﻌﺔ
“Sesungguhnya Jahannam tidak dinyalakan pada hari Jumaat.”
Ini menjadi dalil lain untuk pengecualian hari Jumaat. Walaupun riwayat Abu Dawud itu mursal, ia dikuatkan dengan dua dalil sebelumnya, dan hadis mursal boleh dijadikan hujah apabila disokong oleh dalil yang lain.
