Soalan:
Assalamualaikum
Ustaz sorry kacau..ada kemusykilan ni. Bagaimana kalau seorang wanita dia kering haid di pejabat?
Adakah di wajib mandi walau apapun situasi dia,
Atau tayammum,
Atau 'dibolehkan' mandi selepas balik pejabat?
Terima kasih
Jawapan Bin Sahak: Wajib mandi bila wajib solat.
Penyoal: Kalau pejabat tu tak ada bilik air sendiri...mereka guna bilik air awam..bagaimana situasi macam tu...
Kalau di erea KL banyak juga pejabat yang macam ni. Adakah kena p mandi juga...dan selalunya waktu rehat (lunch) toilet tu penuh
Jawapan Bin Sahak:
Hukum asal seseorg wanita WAJIB mandi junub apabila kering dr haid bagi membolehkan solat. TIDAK SAH solat tanpa mandi sedangkan dia boleh mandi. Bimbang atau sayangkan "make up" tidak boleh sama sekali dijadikan alasan dlm persoalan ini.
Namun, jika ada situasi yg tidak mengizinkan seseorg wanita mandi, seperti terpaksa menggunakan tandas awam yg tak selamat bagi dia sbg seorg wanita muslimah. Sedangkan waktu solat tersebut tidak boleh ditangguhkan lagi. Telah tiada juga cara lain yg dapat diusahakannya utk membolehkannya mandi spt ketiadaan masjid berdekatan yg menyediakan ruang mandi yg selamat dan seumpamanya. Maka pada ketika itu dia BOLEH mengambil keringanan bertayammum. Firman Allah SWT:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: "Dia tidak menjadikan bebanan untukmu di dalam agama."
FirmanNya lagi:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: "dan bertaqwalah kpd Allah (patuhilah perintah) menurut kemampuanmu." (alTaghabun: 16)
FirmanNya lagi:
لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا
Maksudnya: "Allah tidak memberikan taklif kpd seseorg melainkan menurut kemampuannya."
Selain itu terdapat banyak juga hadis yg menyatakan perkara yg sama, sehinggakan para ulama meletakkan satu kaedah yg berbunyi:
المشقة تجلب التيسير
Bermaksud: "bebanan yg sukar itu membolehkan diambil kemudahan"
Selain itu, Para fuqaha' juga telah membolehkan seseorg musafir bertayammum kerana bimbang akan tertinggal rombongan sekalipun tiada mudharat jika ditinggalkan. Kata alKhatib alSyarbini di dlm Mughniy alMuhtaj 1/234:
وكذا إن لم يتضرر على الأصح لما يلحقه من الوحشة أو خروج الوقت.... و لا يجب عليه الطلب لما فيه من المشقة والضرر
Maksudnya: "...dan demikian juga jika tiada mudharat (jika ditinggalkan rombongan) berdasarkan pandangan Asah, krn akan berlaku keretakan hubungan dan keluar waktu... maka tidak wajib ke atasnya mendapatkan air krn pdnya terdapat beban kesukaran dan kemudharatan..."
alSyeikh Mansur bin Yunus bin Idris alBahuti di dlm Kassyaf alQina' dr mazhab Hambali juga menyatakan perkara yg sama:
ومن خاف فوت رفقته باستعمال الماء ساغ له التيمم. قال في الفروع: ولو لم يخف ضررا بفوت الرفقة لفوت الإلف والأنس
Maksudnya: "sesiapa yg bimbang tertinggal rombongannya jika menggunakan air (utk mandi junub), boleh dia bertayammum. Dinyatakan di dlm alFuru': "dan sekalipun dia tidak bimbangkan kemudharatan dgn tertinggal rombongannya krn (bimbangkan) hilang kemesraan dan keakraban"
Maka atas dasar ini, boleh seorg wanita yg berhadapan dgn bebanan kesukaran, menunaikan solat dgn bertayammum bagi membolehkan dia menunaikan solat, sehingga hilang drnya bebanan sukar tersebut.
Saya juga mencadangkan agar wanita tersebut membasuh muka tangan dan anggota2 mudah lain dgn air. Setelah itu dia bertayammum (menyapu tangan ke muka dan dua tangan yg telah ditepukkan pada permukaan bumi) bagi menggantikan toharah anggota yg tidak dapat dikenakan air.