Soalan:
Apa hukum khatib Jumaat orang lain, imam Jumaat orang lain. Orang yang menjadi imam itu pula hadir Jumaat di pertengahan khutbah.
Jawapan:
Isu ini menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Perbezaan itu bukan sekadar antara ulama yang berbeza mazhab, bahkan dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi’e sendiri. Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah dinyatakan:
الاستخلاف في صلاة الجمعة : - ذهب الحنفية ، والمالكية ، والشافعية ـ في الجديد - والحنابلة في رواية هي المذهب إلى : جواز الاستخلاف في صلاة الجمعة لعذر ، هذا إذا أحدث الإمام بعد الخطبة وقبل الشروع في الصلاة فقدم رجلا يصلي بالناس ، فإن كان المقدم ممن شهد الخطبة أو شيئا منها جاز اتفاقا ، وإن لم يكن شهد شيئا من الخطبة ، أو كان الحدث في أثناء الصلاة فهناك تفصيل في المذاهب إليك بيانه...
Maksudnya: “Ulama mazhab Hanafi, Syafi’ie - pada mazhab al-Jadid – dan ulama mazhab Hambali dalam salah satu riwayat dan ianya pandangan al-Mazhab mengatakan HARUS pergantian dalam solat Jumaat kerana ada keuzuran, ia jika imam berhadas selepas khutbah dan sebelum memulakan solat, lalu imam melantik seseorang untuk ke hadapan mengimamkan orang ramai. Jika yang dilantik ke hadapan itu dari kalangan mereka yang menyertai khutbah atau sebahagian dari khutbah, harus dengan kesepakatan. Jika orang itu tidak menyertai khutbah sama-sekali, atau jika imam berhadas ketika menunaikan solat Jumaat, maka ada perincian menurut pandangan mazhab-mazhab seperti huraian di bawah…” (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 3/256)
Saya cuba semak di dalam alMajmu’ dan di bawah ini adalah perkataan al-Imam al-Nawawi RH:
أما إذا استخلف من اقتدى به قبل الحدث فينظر إن لم يحضر الخطبة فوجهان ( أحدهما ) لا يصح استخلافه، كما لو استخلف بعد الخطبة من لم يحضرها ليصلى بهم ( وأصحهما ) الجواز وبه قطع جماعة، وهو ظاهر كلام الصنف والأكثرين...
Maksudnya: “Adapun apabila menggantikan imam itu orang yang telah mengikutinya sebelum dia (imam) berhadas, maka diperhatikan, jika orang itu tidak hadir khutbah maka terdapat dua wajah: salah satunya: Tidak sahih penggantiannya itu sepertimana seorang yang tidak hadir khutbah menggantikan (imam) selepas selesai khutbah untuk menunaikan solat mengimamkan orang ramai. (kedua) Yang Asahnya adalah HARUS dan inilah pandangan yang diputuskan oleh sekumpulan (ulama) dan ialah zahir perkataan penulis (Abu Ishaq al-Syirazi) dan ramai lagi ulama…” (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab: 4/446)
Di dalam Bada-i’ al-Sona-i’ fi Tartib al-Syara-i’ dari mazhab Hanafi dinyatakan:
ولو أحدث الإمام بعد الخطبة قبل الشروع في الصلاة فقدم رجلا يصلي بالناس إن كان ممن شهد الخطبة أو شيئا منها جاز
Maksudnya: “Dan jika imam berhadas selepas khutbah sebelum menunaikan solat, maka dia memilih seseorang untuk di kehadapankan dan solat mengimamkan orang ramai, jika dia dari kalangan mereka yang menyertai khutbah atau sebahagian dari khutbah, maka HARUS.” (1/265)
Inilah juga pandangan Ibn al-Qasim dari mazhab al-Maliki berdasarkan nukilan al-Maziri dengan katanya:
قال ابن القاسم في المدونة في الإمام يحدث يستخلف من يتم بالقوم بقية ما كان عليه من خطبة أو صلاة ، فإن لم يستخلف قدّم القوم لأنفسهم ويقدمون من شهد الخطبة أحب إلي. فإن قدموا من لم يشهدها فصلى بهم أجزت عنهم صلاتهم
Maksudnya: “Kata Ibn al-Qasim di dalam al-Mudawwanah tentang seorang imam yang berhadas, dia minta seorang pengganti untuk menyempurnakan apa yang berbaki dari khutbah atau solat (Jumaat). Jika imam itu tidak melantik pengganti, maka orang ramai melantik seorang dari kalangan mereka untuk ke hadapan dari kalangan mereka yang menyertai khutbah lebih aku suka. Jika mereka ke hadapankan seorang (untuk menggantikan imam) yang tidak menyertai khutbah, lalu orang itu solat (Jumaat) mengimamkan mereka, sah solat (Jumaat) mereka.” (Syarh al-Talqin oleh al-Imam Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ali bin ‘Umar al-Tamimi al-Maziri (W453H) 1/986)
Namun suka saya nasihatkan di sini. Semua yang saya sertakan adalah perbahasan dan pandangan ulama di dalam kitab-kitab mereka. Ia bukan semestinya untuk diamalkan pada umum. Terutamanya jika pihak berkuasa agama setempat berpegang dgn pandangan yg berbeza. Jika masalah yang dinyatakan benar-benar berlaku, sewajarnya ia dibincang secara harmoni dengan pihak pentadbiran agama negeri. Apa-apa keputusan dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri sekalipun pandangan yang mereka pilih berbeza dengan pandangan anda yang bertanya, WAJIB anda akur dan tidak cuba mempengaruhi masyarakat dengan pandangan lain dalam suasana yang tidak sihat. Jika ia dibincang dalam suasana yang sihat dalam kalangan penuntut2 ilmu maka tak mengapa.