Soalan:
Apakah kita disyariatkan mengaminkan doa yang dibaca di dalam radio dan tv yang dibaca oleh penceramah?
Jawapan:
Mengaminkan doa adalah suatu yang disyariatkan di dalam agama, sama ada orang yang berdoa itu dekat mahupun jauh dari kita yang mendengar, sama ada di dalam rancangan radio ataupun tv. Oleh yang demikian sesiapa yang mahu dirinya termasuk di dalam doa yang dibaca maka hendakalah dia mengucapkan آمين yang bermaksud: “Ya Allah perkenankanlah”.
Akan tetapi sekiranya rancangan radio dan tv yang didengarinya itu adalah rancangan rakaman, kelihatan terdapat sedikit khilaf (perbezaan pandangan) di kalangan ulama semasa. Fatwa Jama'ie dari jawatankuasa Fatwa Saudi menyatakan tidak dituntut untuk mengaminkannya lagi, ketika mereka ditanya:
“Sekiranya seseorang mendengar kaset rakaman yang diterbitkan setahun atau dua tahun lalu, ustaz yang mengajar di dalamnya berdoa, apakah saya perlu mengaminkan doa tersebut?”
Jawapan: “Doa dan mengaminkannya adalah ibadah, yang disyariatkan ialah mengaminkan doa orang yang berdoa secara langsung, adapun doa rakaman melalui alat rakaman, maka tidak disyariatkan untuk mengaminkannya, kerana pada hakikatnya doa itu tidak dibaca lagi oleh orang yang berdoa ketika itu.” –tamat fatwa- (Fatwa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiah wa al-Ifta’ 24/256)