SDI 1069: Bolehkah Saya Berpuasa Enam Syawal Sedangkan Saya Ada Qadha Ramadan?

Soalan:

Bagaimana bagi seorang wanita yang perlu qadha puasa Ramadhan, bolehkah dia menunaikan puasa sunat enam Syawal sebelum qadha puasanya?

Jawapan:

Seorang wanita yang belum menunaikan qadha Ramadan, BOLEH melaksanakan  puasa sunat enam hari Syawal dan melewatkan puasa Qadhanya. Inilah pandangan yang dinyatakan oleh al-Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqithi HFZ. Saya terjemahkan perkataannya di bawah ini:

"Adapun bagi sesiapa yang ada qadha Ramadhan, maka tidak mengapa dia berpuasa (sunat) enam hari dalam bulan Syawal dan melewatkan qadha puasa Ramadhannya, ini berdasarkan hadith 'A'isyah RA yang thabit dalam Sahih al-Bukhari yang berkata: "Aku memiliki qadha puasa Ramadhan, aku tidak mampu menunaikannya selain dalam bulan Sya'ban, disebabkan kesibukan bersama Rasulullah SAW yang menghalang-ku." Telah thabit pula dalam al-Muwatha (Imam Malik), di mana 'Aisyah berpuasa sunat enam (Syawal), berpuasa 'Arafah, puasa 'Asyura, kerana itu kebanyakan para ulama berkata: “Sesungguhnya harus melewatkan qadha (Ramadhan).”

Sebahagian ulama melarang dan mereka berhujah bagaimana boleh dilakukan sunat sedangkan ada (puasa) yang fardhu?

Alasan ini tertolak, disebabkan melakukan perkara sunat dalam keadaan ada kewajipan yang perlu dilaksanakan ada pendetailannya. Jika ada waktu yang luas untuk menunaikan yang fardhu, maka yang sunat itu boleh dilakukan sebelum melakukan yang fardhu dengan alasan, anda dibenarkan solat sunat qabliyah Zohor sebelum menunaikan solat Zohor sedangkan anda dituntut untuk melaksanakan solat Zohor. Setiap orang, apabila masuknya waktu Zohor, dan telah tergelincirnya matahari, menjadi wajib ke atasnya menunaikan solat fardhu Zohor.  Dalam masa yang sama, kita melewatkan kefardhuan itu dan melaksanakan yang sunat dahulu (sunat qabliyah Zohor). Kemudian baru kita solat Zohor selepas itu. Maka (berdasarkan alasan ini), melakukan perkara sunat sebelum melakukan yang fardhu itu adalah dengan keizinan syara'. Maka ini menunjukkan perkara yang sunat itu kadang-kadang berlaku sebelum dilaksanakan sesuatu kefarduan adalah dengan keizinan syara'. Apabila Nabi SAW mengizinkan umm al-Mukminin 'Aisyah untuk melewatkan puasa qadhanya, menunjukkan waktu menunaikannya (qadha) diberi keluasan (hingga Syaban). Adapun tentang sabda Nabi SAW "Siapa yang berpuasa Ramadhan kemudian menurutinya dengan enam hari dalam Syawal....." Hadith ini dari sudut kebiasaan, berdasarkan kaedah: Apabila nas menyebut dari sudut kebiasaannya, tidak diambil kira mafhum (mukhalafah)nya (أن النص إذا خرج مخرج الغالب لم يعتبر مفهومُه), maka seseorang tidak boleh berkata: "sesiapa yang ada qadha, maka dia tidak dinamakan telah berpuasa Ramadhan (penuh)." Kemudian kami katakan: “Kalaulah perkara ini seperti yang dikatakan, siapa yang berbuka satu hari dalam bulan Ramadhan tidak termasuk orang yang telah berpuasa Ramadhan penuh, kerana jika dia qadha puasanya itu dalam bulan Syawal tidak dinamakan juga dia telah berpuasa Ramadan pada hakikatnya, kerana satu hari itu dia puasa qadha bukan puasa tunai.” Kerana itu aku (al-Syanqiti) lebih cenderong dan menganggap kuat seseorang boleh berpuasa enam hari (Syawal) dan tidak mengapa untuk dia mendahulukan puasa itu sebelum qadha Ramadannya. Inilah yang benar. Maka jika seseorang perempuan yang mengalami darah nifas, kadang-kadang mengalaminya sebulan penuh dalam Ramadhan dan dia tidak berpuasa dalam bulan tersebut, lalu dia berpuasa enam (Syawal) kerana hendakkan kelebihannya, boleh bagi dia melewatkan puasa qadha pada waktu lain yang mudah baginya untuk qadha puasanya.” -TAMAT TERJEMAHAN -


Cetak  
Wallahu a'lam