SDI 0137: Hukum Bagi Zakat Kepada Adik Beradik

Saya ada seorang adik kandung wanita yang telah berkahwin dan hidup dalam serba kesusahan. Bolehkah saya keluarkan zakat kepadanya? dan perlukah juga saya memberitahu bantuan itu adalah wang zakat dari saya?

Jawapan:

Jika saudara kandung puan sememangnya layak menerima zakat, suami dia juga  tidak mampu untuk mengeluarkan nafkah yang cukup kepadanya kerana kesusahan yang ditanggung, maka tidak mengapa puan memberi zakat puan kepadanya. Puan juga tidak semestinya memberitahu kepadanya bantuan tersebut merupakan zakat dari puan. Kerana bukan suatu kewajipan mengistiharkan wang zakat kepada orang yang menerima zakat daripada kita.

Selain itu, saya juga ingin jelaskan, sememangnya wujud perbezaan pendapat yang panjang di kalangan ulama berkaitan hukum mengeluarkan zakat kepada kaum kerabat atau adik beradik. Sebahagian berpandangan harus dan sebahagian lain melarangnya. Namun pandangan yang lebih kuat adalah pandangan majoriti ulama semenjak zaman para sahabat, Tabi’ien dan selepas mereka seperti yang kami nyatakan di atas iaitulah boleh mengeluarkan zakat kepada adik beradik atau ahli kerabat. Bukti dalam perkara ini antaranya:

1.    Hadis dari Nabi SAW yang menggalakkan memberi sedekah kepada adik-beradik. Baginda bersabda:

الصدقة على المسكين صدقة، وهي على ذي الرحم ثنتان: صدقة وصلة

Maksudnya: “Sedekah yang diberikan kepada orang-orang miskin itu memperolehi pahala sedekah, manakala kepada ahli kerabat memperolehi pahala sedekah dan menghubungkan tali silaturrahim.” (HR Ahmad, al-Nasa’ie, Ibn Hibban dan al-Tirmizi, beliau pula menghukumkan hadis ini sebagai Hasan)

2.    Bukti dari keumuman teks syarak yang menjadikan pengagihan zakat kepada orang-orang fakir tanpa dibezakan adik-beradik dan orang luar seperti ayat:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ

Maksudnya: “Hanyasanya sedekah (zakat) itu adalah untuk orang-orang fakir dan miskin.” (al-Taubah: 60) 

Dan juga hadis dari Mu’az bin Jabal:

تؤخذ من أغنيائهم فترد على فقرائهم

Maksudnya: “(Zakat itu) diambil dari orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir.” (HR al-BUkhari) 

Keumuman nas-nas syarak ini menjadikan adik-beradik termasuk di dalam orang yang berhak menerima zakat kerana ketiadaan bukti lain yang mengeluarkan adik-beradik dari berhak menerimanya.

Namun zakat tidak boleh dikeluarkan dari anak kepada ibu ayah atau dari ibu ayah kepada anak yang menjadi wajib nafkah antara mereka. Demikian juga suami tidak boleh memberi zakat kepada isteri dan anak-anaknya sendiri kerana telah berlaku ijma’ dalam pengkhususkan ini seperti yang dinyatakan oleh para ulama antaranya Ibn al-Munzir, Abi ‘Ubaidah dan lain-lain.


Cetak  
Wallahu a'lam