SDI 1044: Apa Baris Yang Betul Untuk Sebutan الصلاة جامعة?

Soalan: 

Assalamu’alaikum Ustaz. Untuk menunaikan solat sunat secara jamaah seperti solat hari raya, solat tarawih, solat witir dan seumpamanya tidak ada Iqamah yang dilaungkan. Biasanya Bilal akan melaungkan al-solatu jami’ah. Persoalan saya bagaimanakah bacaan atau sebutan yang betul, apakah al-Solatu atau al-Solata? Terima kasih.

Jawapan:

Asalnya laungan الصلاة جامعة dilaungkan untuk solat gerhana, kerana itulah yang dinyatakan di dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari. Adapun sebutan I’rabnya yang betul, seperti yang dinyatakan di dalam Awdhah al-Masalik Ila Alfiyah Ibn Malik, ia boleh dibaca dengan empat bentuk:

1) Kedua-dua kata nama tersebut berhukum Nasab iaitulah الصلاةَ جامعةً, maka jadilah kalimah الصلاة berada pada kedudukan Maf’ul bih terhadap Fi’il yang dihazafkan dengan andaian احْضُرُوا الصَّلَاةَ جَامِعَةً. Manakala kalimah جامعة pula berapa pada tempat “Hal’ (keadaan). Jadilah maksud laungan itu dengan andaian: “Hadirlah oleh kamu semua akan solat secara berjemaah.”

2) Kedua-dua kata nama tersebut berhukum Rafa’, iaitulah الصلاةُ جامعةٌ. Kalimah الصلاة berada pada kedudukan Mubtada’ (Subjek), manakala جامعة berada pada kedudukan Khabar (Prediket). Ibn Hajar di dalam al-Fath menyatakan dengan maksud الصلاةُ ذاتُ جماعةٍ.

3) Kalimah الصلاةُ berhukum Rafa’, kerana ia berada pada kedudukan mubtada (subjek) dengan khabarnya (prediket) yang ditiadakan. Manakala جامعةً pula hukumnya Nasab kerana berapa pada kedudukan Hal. Maka jadilah laungan ini dengan andaian: الصلاةُ مطلوبة حال كونها جامعةً yang bermaksud: “Solat yang dituntut dilakukan dalam keadaan berjemaah.”

4) Kalimah الصلاةَ berhukum Nasab, kerana berkedudukan Maf’ul bih, dengan fi’il yang ditiadakan. Manakala جامعةٌ berhukum Rafa’, kerana berkedudukan Khabar (Prediket) kepada Mubtada’ (Subjek) yang ditiadakan. Maka jadilah laungan itu dengan andaian: احضروا الصلاةَ وهي جامعةٌ.


Cetak  
Wallahu a'lam