Soalan:
Ustaz betulkah seseorang wanita yang sujud di atas telekung ketika solat tidak sah solatnya?
Jawapan:
Ya, itulah pandangan mazhab alSyafie seperti yang dinyatakan oleh Imam alNawawi dalam alMajmu'.
Pun begitu, ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama dalam persoalan ini. Di mana sebahagian ulama berpandangan sah kerana terdapat hadis yang menunjukkan para sahabat pernah sujud berlapikkan serban, lengan baju dan seumpamanya. al-Imam alBukhari ada meriwayatkan secara ta'liq hadis:
كَانَ الْقَوْمُ يَسْجُدُونَ عَلَى الْعِمَامَةِ وَالْقَلَنْسُوَةِ وَيَدَاهُ فِي كُمِّهِ
Maksudnya: "Dahulunya mereka (para sahabat) pernah sujud di atas serban dan kopiah dan kedua tangan di dalam (berlapikkan) lengan baju."
Ibn 'Uthaimin ada memberi pandangan yang menarik dalam masalh ini, di mana beliau berpandangan MAKRUH sujud di atas sesuatu yang bersambung dengan seseorang yang sedang solat. Ia berdasarkan perkataan Anas bin Malik:
كنا نصلي مع النبي صلى الله عليه وسلم في شدة الحر، فإذا لم يستطع أحدنا أن يمكن جبهته من الأرض بسط ثوبه فسجد عليه
Maksudnya: "kami dahulu solat bersama Nabi SAW ketika hari yang bersangatan panas. Apabila seseorang dari kalangan kami tidak mampu menempatkan dahinya pada lantai (kerana panas), dia akan sujud berlapikkan pakaian yang dipakainya."
Hadis ini menunjukkan para sahabat tidak akan sujud berlapikkan pakaian yang dipakai atau apa-apa yang brsambung dengan mereka melainkn jika ada keperluan. Adapun jika ia berlaku tanpa ada keperluan, maka ia makruh.