Soalan:
Klu saya tak baca apa2 dlm solat jenazah, sahkah solat saya tersebut?
Jawapan:
Dalam Muwattha Imam Malik ada riwayat dengan sanad zahabiah, daripada Nafi', bahawa Ibn 'Umar RA:
كان لا يقرأ في الصلاة على الجنازة
"Beliau tidak membaca (alFatihah) di dalam solat jenazah ke atas jenazah."
Athar ini menyebabkan para ulama berbeza pandangan. Ibn Taimiyyah menyatakan terdapat tiga pandangan ulama berkaitan hukum baca alFatihah dalam solat jenazah:
1. Tidak disunatkan seperti dalam mazhab Hanafi dan Maliki.
2. Bacaan alFatihah adalah wajib dalam solat jenazah di sisi para sahabat imam Syafie dan Ahmad.
3. Sunat baca alFatihah. Jika dipenuhkan di dalam solat tersebut doa kepada jenazah juga tidak mengapa. (alFatawa alKubra 2/121)
Beberapa ulama semasa seperti Ibn'Uthaimin dan Bin Baz berpandangan alFatihah adalah rukun atau wajib bagi solat jenazah. Ia berdasarkan keumuman hadis: "tiada solat bagi sesiapa yg tidak membaca alFatihah."
Ini kerana di dalam alQuran Allah telah menamakan solat jenazah sebagai solat di dalam firmanNya:
وَلا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَداً
"Dan jangan kamu (Muhammad) solat (solat jenazah) ke atas seorangpun dari kalangan mereka (orang-orang munafiq) yang mati selama-lamanya."
Oleh itu kata mereka solat jenazah mengambil hukum sama dengan solat yang lain. Maka wajib padanya bacaan alFatihah.
Selain itu Imam Bukhari telah meriwayatkan tindakan Ibn 'Abbas yang kadang kala menjelaskan bacaan alFatihah dalam solat jenazah, sedangkan sunnahnya ia dibaca perlahan. Apabila ditanya, beliau menjawab:
ليعلموا أنها سنة
"Agar mereka tahu yang ia adalah Sunnah (amalan nabi SAW)."