Balasan Puasa Orang Mukmin dan Muhtasib

Orang yang berpuasa hanya sekadar memenuhi rukun dan syarat sah. Dalam masa yang sama tidak menjauhi perkara-perkara haram ketika berpuasa adalah orang yang hanya layak bebas dari ancaman azab kerana tidak berpuasa.

Sedang orang yang berpuasa dan menjauhi perkara-perkara haram lain adalah mereka yang berhak mendapat pahala dan kelebihan berpuasa.

Tahukah anda apa kelebihan berpuasa...?

Allah SWT akan memberi ganjaran pahala yang tiada had sempadannya. Kerana itu Nabi s.a.w. bersabda:

كل عمل ابن أدم له وقال الله تعالى: إلا الصيام فإنه لي وأنا أجزي به

Maksudnya: "Setiap amalan anak Adam itu untuknya, dan firman Allah SWT: "Melainkan puasa, sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan memberi balasan dengannya."

Apabila Allah SWT menisbahkan sesuatu kepada-Nya, ia menunjukkan keagungan dan kemuliaan. Jika satu-satu amalan baik yang lain akan digandakan pahalanya hingga ke-10 dan akan berlipat ganda ke-700 kali gandaan berdasarkan hadith Nabi SAW:

كل عمل ابن أدم له يضاعف الحسنة بعشر أمثالها, إلى سبعمائة ضعف إلا الصيام فإنه لي وأنا أجزي به, يدع طعامه وشرابه وشهوته من أجلي

Maksudnya: "Setiap amalan anak Adam itu adalah untuknya, digandakan sesuatu kebaikan dengan 10 kali gandaan seumpamanya sehingga menjangkaui 700 kali gandaan, melainkan puasa. (Firman Allah): Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan memberi balasan dengannya, dia meninggalkan makan, minum dan shahwatnya kerana-Ku."

Kata Ibn Rejab sebagai komentarnya terhadap hadith ini:

الأعمال كلها تضاعف بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف , إلا الصيام فإنه لا ينحصر تضعيفه في هذا العدد, بل يضاعفه الله عز وجل أضعافا كثيرة بغير حصر عدد , فإن الصيام من الصبر, وقد قال الله تعالى

Maksudnya: "Semua amalan akan digandakan (ganjarannya) sebanyak 10 kali gandaan yang seumpamanya, sehinggalah meningkat ke 700 kali gandaan, melainkan puasa, kerana puasa itu tiada batas gandaannya seumpama bilangan ini, bahkan Allah melipat-gandakan (pahala puasa) dengan gandaan yang banyak tanpa batasan bilangan, kerana sesungguhnya puasa termasuk dalam kesabaran. Firman ALlah: إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ (Maksudnya: Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar itu akan ditunaikan kepadanya ganjaran yang tidak ada batasan" al-Zumar:15)" (Lata-if al-Ma'arif: 283-284)

Oleh itu tidak hairanlah apabila al-Imam Sufiyah bin 'Uyainah RH berkata:

إذا كان يوم القيامة يحاسب الله عبده ويؤدي ما عليه من المظالم من سائر عمله حتى لا يبقى إلا الصوم فيتحمل الله عز وجل ما بقي عليه من المظالم , ويدخله بالصوم الجنة


Maksudnya: "Apabila pada hari kiamat, Allah akan menghisab kezaliman-kezaliman yang dilakukan oleh hamba-Nya dengan seluruh amalannya (kezaliman yang dilakukan perlu dibayar dengan pahala) sehinggalah habis semua pahala amalannya dan yang tinggal hanyalah puasa. Maka Allah azza wa jalla akan memikulkan kesalahan-kesalahannya yang masih ada ke atas puasa tersebut dan Allah akan memasukkan dia ke dalam Syurga dengan puasanya itu." (Dikeluarkan oleh al-Baihaqi di dalam Syu'ab al-Iman)

 Perhatikan hadith ini pula, dari Tolhah bin Ubaidillah:

أن رجلين من بلي قدما على رسول الله صلى الله عليه وسلم وكان إسلامهما جميعا فكان أحدهما أشد اجتهادا من الآخر فغزا المجتهد منهما فاستشهد ثم مكث الآخر بعده سنة ثم توفي قال طلحة فرأيت في المنام ب...ينا أنا عند باب الجنة إذا أنا بهما فخرج خارج من الجنة فأذن للذي توفي الآخر منهما ثم خرج فأذن للذي استشهد ثم رجع إلي فقال ارجع فإنك لم يأن لك بعد فأصبح طلحة يحدث به الناس فتعجبوا لذلك فبلغ ذلك رسول الله صلى الله عليه وسلم وحدثوه الحديث فقال من أي ذلك تعجبون فقالوا يا رسول الله هذا كان أشد الرجلين اجتهادا ثم استشهد ودخل هذا الآخر الجنة قبله فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم أليس قد مكث هذا بعده سنة قالوا بلى قال وأدرك رمضان فصام وصلى كذا وكذا من سجدة في السنة قالوا بلى قال رسول الله صلى الله عليه وسلم فما بينهما أبعد مما بين السماء والأرض )

Maksudnya: "Suatu hari dua orang lelaki dari Suku Baliyy datang bertemu Rasulullah SAW dan kedua-dua mereka memeluk Islam dengan serentak. Salah seorang dari mereka berdua lebih bersemangat berjihad berbanding yang seorang lagi, lalu dia menyertai peperangan, dan dia memperoleh syahid. Kemudian yang seorang lagi terus hidup selepasnya selama setahun, kemudian dia pun meninggal dunia. Berkata Tolhah: Satu hari aku bermimpi, ketika aku berada di pintu syurga bersama dua orang lelaki ini, tiba-tiba keluar malaikat dari syurga lalu mengizinkan lelaki yang mati kemudian memasuki syurga. Setelah itu malaikat tadi keluar lagi dan mengizinkan lelaki yang gugur syahid itu memasuki surga. Setelah itu dia datang semula kepada ku dan berkata: "Engkau pulanglah, kerana giliran mu memasuki syurga masih belum sampai.” Apabila pagi hari Tolhah menceritakan apa yang dilihatnya di dalam mimpi kepada orang ramai, semua mereka hairan dengan mimpinya. Lalu perkara itu sampai kepada Rasulullah SAW dan mereka menceritakannya kepada baginda. Tanya baginda: “Apa yang menghairankan kamu semua?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah SAW, lelaki ini lebih bersemangat berjihad berbanding seorang lagi, kemudian dia memperoleh syahid, akan tetapi kawannya yang mati selepasnya lebih dahulu memasuki syurga?” Jawab Nabi SAW: “Bukanlah lelaki ini telah hidup selepas kawannya yang mati syahid itu setahun?” Jawab mereka: “Benar.” Sambung baginda lagi: “Bukankah dia telah mendapati bulan Ramadhan dan berpuasa di dalamnya dan telah mendirikan banyak rakaat solat dalam setahun itu?” Jawab mereka: “Benar.” Sabda Nabi SAW: “Maka beza antara mereka lebih jauh dari jarak antara langit dan bumi." (H.R. Ibn Majah dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah. Demikian juga dianggap Mahfuz oleh Ibn 'Abd al-Barr di dalam al-Tamhid) 

Allahu Akbar..... amat besar ganjaran ALlah... Ya Allah jadikan kami dari kalangan orang-orang yang Engkau terima puasa mereka. Amin...


Cetak  
Wallahu a'lam