SDI 1195: Waktu Mustajab Ialah Bahagian Kelima Dari Enam Bahagian Malam

Soalan:

Ustaz sempena nak masuk bulan Ramadan ni, dalam suasana PKP pulak tu…. Nak tanya waktu mustajab doa yang dikatakan tengah malam tu bila sebenarnya?

Jawapan:

Waktu mustajab yang dimaksudkan ialah pada bahagian kelima dari enam bahagian malam. Apa maksudnya?

Masudnya begini… di bawah ini saya susunkan contoh mengikut jam, namun hakikat sebenar yang dilakukan oleh Nabi SAW bukan tepat seperti yang saya bahagikan, kerana di zaman baginda masih belum ada jam seperti hari ini.

Bahagikan malam, bermula dari tenggelam matahari (masuk Maghrib) hingga terbit fajar (masuk Subuh) kepada enam bahagian. Contohnya, sekarang ini waktu Maghrib di Perlis ialah 7.28 malam, manakala waktu Subuh ialah 5.58 pagi. Jumlah keseluruhan waktu malam sekarang ini di Perlis ialah selama 10 jam 30 minit, dibahagikan kepada enam bahagian, maka 1/6 dari bahagian malam = 1 jam 45 minit, kalau dikira mengikut jam:

1/3 awal:

7.28 – 9.13 malam               -           bahagian pertama

9.13 – 10.58 malam             -           bahagian kedua

 

1/3 pertengahan:

10.58 – 12.43 malam           -           bahagian ketiga

12.43 – 2.28 pagi                 -           bahagian keempat

 

1/3 akhir:

2.28 – 4.12 pagi                   -           bahagian kelima

4.12 – 5.58 pagi                   -           bahagian keenam

Bahagian kelima dan keenam iniadalah bahagian mustajab., iaitulah bahagian 1/3 akhir malam. Dari pukul 2.28 pagi itulah bermulanya waktu Nuzul Ilahi yang disebut di dalam hadis Nabi SAW riwayat al-Bukhari 1145 dan Muslim 758 dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Tuhan kita Tabaraka wa Taala akan turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tinggal 1/3 akhiir malam dan Dia berfirman: “Siapa yang berdoa kepada-Ku, akan Ku perkenankan untuknya, siapa yang meminta kepada-Ku akan Ku berikan untuknya, siapa yang memohon keampunan dari-Ku akan Ku ampunkan dosanya.”

Bahagian 1/3 akhir malam iaitulah bahagian kelima dan keenam dari enam bahagian malam. Bahagian keenam termasuk waktu mustajab kerana ada hadis yang menyatakan waktu mustajab berterus sehingga ke waktu fajar iaitulah berdasarkan hadis riwayat Muslim 758:

فَلَا يَزَالُ كَذَلِكَ حَتَّى يُضِيءَ الْفَجْرُ

Maksudnya: “Sentiasalah hal sedemikian itu sehingga masuk fajar.”

Inilah waktu mustajab yang dimaksudkan oleh Nabi SAW dalam hadis Abu Umamah RA, di mana baginda pernah ditanya: “Bilakah waktu doa yang paling didengari (paling mustajab)?” baginda menjawab:

جَوْفَ اللَّيْلِ الْآخِرِ، وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ

Maksudnya: : Di tengah malam akhir dan penghujung solat fardhu.” (HR al-Tirmizi 3499 dan dinilai Hasan oleh al-Albani)

 Kata Ibn al-Athir RH:

وفيه :قِيل له: أيُّ اللَّيل أسْمَعُ؟ قال: جَوْف الليل الآخِرُ، أي: ثُلثُه الآخِرُ، وهو الجُزء الخامِس من أسداس الليل

Maksudnya: “Di dalam hadis dikatakan: “bilakah (waktu) malam yang lebih mustajab?” baginda menjawab: “Di tengah malam yang akhir.” Iaitulah 1/3 akhir malam. Ia adalah bahagian kelima dari enam bahagian malam.” (al-Nihayah 1/841)

Kata al-Murtadha al-Zabidi RH:

وجَوْفُ اللَّيْلِ: الآخِرُ في الحَدِيثِ وهو قَوْلُهُ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم لَمَّا سُئِل: أَي اللَّيْلِ أَسْمَعُ؟ قال: جَوْفُ اللَّيْلِ الآخِرِ: أَي: ثُلُثُةُ الآخِر، وهو الجُزْءُ الْخَامِسُ مِن أَسْدَاسِ اللَّيْلِ؛ أَي لا نِصْفُه كما زَعَمَهُ بَعْضُهم

Maksudnya: “apabila baginda ditanya: “Bilakah (waktu) malam yang lebih mustajab?” baginda menjawab: Di tengah malam yang akhir.” Iaitulah 1/3 akhir malam, ia adalah bahagian kelima dari enam bahagian malam, bukan pertengahan malam seperti yang disangka oleh sebahagian orang.” (Taj al-‘Arus 23/108)

Mungkin ada yang bertanya kenapa perlu dibahagikan malam kepada enam bahagian. Kenapa tak sebut 1/3 akhir malam sahaja?

Jawabnya ialah kerana:

1) Hadis yang menyebutnya, al-Bukhari (1131) dan Muslim (1159) meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash RA, baginda SAW bersabda kepadanya:

أَحَبُّ الصَّلاَةِ إِلَى اللَّهِ صَلاَةُ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ، وَأَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ دَاوُدَ، وَكَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ، وَيَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا

maksudnya: “Solat yang lebih disukai oleh Allah adalah solat (Nabi) Daud AS. Puasa yang lebih disukai oleh Allah ialah puasa (nabi) Daud. Baginda dahulunya tidur sebahagian malam (bermula selepas ‘Isyak), bangun pada 1/3nya dan tidur semula pada 1/6nya. Baginda (nabi Daud) berpuasa sehari dan berbuka sehari (berselang-seli).”  

Tidur sebahagian atau separuh malam yang dimaksudkan ialah tidur selepas menunaikan solat ‘Isyak dan bangun pada pertengahannya iaitulah waktu pertengahan malam di antara selepas ‘Isyak dengan waktu subuh untuk memulakan solat malam. Ia berada lebih kurang pada kedudukan bahagian kelima dari enam bahagian malam yang dijelaskan di awal tadi.

2) Pada kebiasaannya Nabi SAW menghidupkan malam sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Daud AS ini, iaitulah baginda solat pada bahagian kelima dari enam bahagian malam. Selepas itu baginda akan tidur semula. Apabila masuk waktu sahur baginda dalam keadaan tidur. Kerana itu ‘Aisyah RA berkata:

مَا أَلْفَاهُ السَّحَرُ عِنْدِي إِلاَّ نَائِمًا

Maksudnya:  “tidak datang waktu makan sahur ketika bersama dengan ku melainkan baginda sedang tidur.” (al-Bukhari 1133 dan Muslim 742)

Kata Ibn al-Athir RH: “Iaitulah baginda tidur selepas solat malam.” (al-Nihayah 4/530)

Tidur selepas solat ini bagi tujuan rehat selepas letih solat malam. Ibn al-Jauzi menyebut ada dikatakan sebab kekuningan pada wajah adalah kerana berjaga di penghujung malam melakukan tahajjud. Namun jika tidur terlebih dahulu sebelum masuk waktu Subuh ia akan menghilangkan warna kekuningan pada wajah. (lihat Kasyf al-Musykil min hadis al-Sahihain)  

Satu perkara yang perlu juga diambil perhatian iaitulah, setiap orang lakukanlah ibadat menurut kemampuannya yang sesuai dengan rutin hariannya. Yang pasti cara yang dilakukannya itu mampu berterusan  sekalipun sedikit.


Cetak  
Wallahu a'lam