Penjenayah Bawah Umur: Keluarga Mangsa Terbunuh Berhak Mendapat Diat (7)

Penjenayah Bawah Umur: Keluarga Mangsa Terbunuh Berhak Mendapat Diat (7)
 
Siri-siri perbincangan sebelum ini jelas menunjukkan bahawa para fuqahaa di samping berbeza pandangan dalam menentukan siapa alAqilah, mereka semua bersepakat bahawa illah alAqilah adalah alTanasur (sifat saling bantu-membantu), melainkan ulama mazhab alSyafi'ie dan alHambali membataskan alTanasur pada Asabah sahaja. Manakala ulama mazhab Hanafi dan Maliki pula mengitlaqkannya bagi merangkumkan juga setiap mereka yang terhasil daripadanya alNusrah sekalipun bukan dari kalangan ahli keluarga.
 
Terdapat kritikan kepada pandangan ulama mazhab Hanafi seperti yang dinyatakan oleh alSarakhsi bahawa perluasan pandangan mereka yang mengamalkan nas sehingga menjadikan al'Aqilah merangkumi selain keluarga dianggap termasuk dalam pemansukhan hukum dari Rasul SAW.
 
Namun bantahan ini ditolak oleh ulama mazhab Hanafi dari dua sudut:
 
i) Hukuman dari sayyidina Umar bin alKhattab dan tiada seorangpun dari kalangan sahabat yang mengingkarinya. Ketiadaan pengingkaran dari mereka, sekalipun tiada nukilan sebagai ijma' sukuti, namun sekurang-kurangnya ia bukti adanya pengakuan dan persetuan akan bolehnya berijtihad dalam persoalan ini.
 
ii) Perbuatan 'Umar alKhattab bukanlah satu pemansukhan hukum dari Nabi SAW. Ini kerana pemansukhan (النسخ) adalah membatalkan sesuatu hukum, manakala 'Umar sama-sekali tidak membatalkan hukuman Nabi SAW, sebaliknya beliau dan para sahabat mengetahui bahawa Rasulullah SAW memutuskam hukuman di zaman baginda di mana diat pembunuhan tersilap ditanggung oleh Aqilah dari kalangan ahli keluarga kerana mengambil kira alNusrah. Ini kerana dahulunya kekuatan seseorang dan penolongnya adalah keluarganya. Apabila diwujudkan diwan-diwan, menjadikan kekuatan dan pertolongan menurut diwan. Oleh itu hukuman 'Umar adalah menepati hukuman Rasulullah SAW bukan sebagai pembatal dan tidak bertentangan dengan hukuman baginda SAW, bahkan hukuman beliau adalah taqrir makna.
 
Didapati keempat-empat mazhab bersepakat bahawa illah yang menjadikan 'Aqilah memikul bayaran diat pembunuhan tersilap ialah alNusrah. Cumanya ulama mazhab Syafi'ie dan Hambali berpada dengan lafaz nas hadis. Manakala ulama mazhab Hanafi dan Maliki pula menjadikan illah sebagai penentu atas sesiapa yang memenuhinya. Inilah yang rajih. Dalam masa yang sama meletakkan tanggungan membayar diat ke atas alDiwan tidaklah membatalkan peranan qarabah (ahli keluarga), bahkan ahli keluarga tetap dianggap aqilah selagi memiliki alNusrah, cuma ahli Diwan didahulukan berbanding ahli keluarga. Jika diwan tiada maka ahli keluarga, jika ahli keluarga tiada maka baitul mal.

Cetak  
Wallahu a'lam