Dalil Keberadaan al'Aqilah
i. Daripada Abu Hurairah RA katanya: "Pernah dua orang perempuan dari Huzail berkelahi, salah seorang dari mereka membaling batu kepada seorang lagi sehingga menyebabkan mati seterusnya itu dan anak dalam kandungannya. Lalu org ramai mengajukan kes tersebut kepada Nabi SAW, baginda memutuskan diat janin yang keguguran itu adalah seorang hamba kanak-kanak lelaki atau perempuan, dan diat perempuan yang terbunuh itu ditanggung oleh al'Aqilah."
ii. Drpd Abi Juhaifah katanya: "Aku pernah bertanya 'Ali RA: "Apakah ada bersama kamu sesuatu (ilmu) yang tiada di dalam alQuran? Beliau menjawab: "Demi tuhan yang telah membelah biji benih dan menciptakan insan, tiada lagi bersamaku selain apa-apa yang ada di dalam alQuran, melainkan kefahaman yang Allah kurniakan kepada seorang lelaki tentang kitabNya (alQuran) dan apa yang ada dalam sahifah ini." Aku bertanya: "apakah yang ada di dalam sahifah itu." Jawab beliau: "diat ditanggung atas 'aqilah, galakan membebaskan hamba dan tidak dihukum bunuh seorang muslim kerana membunuh seorang kafir."
iii. Berdasarkan Ijma' seperti yang dinyatakan oleh Ibn alMunzir dengan katanya: "Telah sepakat (ijma') para ulama bahawasanya diat pembunuhan tersilap ditanggung oleh 'Aqilah."
Siapakah al'Aqilah?
Para ulama berbeza pandangan kepada 3 mazhab:
1) Mazhab Hanafi, alLaith bin Saad, Sufyan alThauri, alZuhri dan alHasan bin Hayy. Aqilah yang menanggung bayaran diat pembunuhan tersilap adalah Ahl alDiwan, iaitulah mereka yang bersama dengan seseorang dalam senarai jihad jika dia dari kalangan mujahid atau ahli alHirfah beliau, (kumpulan mencari rezeki bersama) jika dia dari kalangan orang yang bersama di dalam sesuatu kumpulan mencari rezeki, atau dalam kalangan ahli qaryah jika dia dari kalangan orang yang bermukim di dalam sesuatu qaryah. Jika dia tidak memiliki diwan, maka akilahnya ialah ahli keluarganya dan setiap orang yang dia akan meminta tolong dengan mereka. Jika dia tidak memiliki akilah dari kalangan ahli keluarga, seperti anak jalanan, seorang kafir harbi yang dalam perjanjian damai, atau seorang zimmi yang memeluk Islam maka akilahnya ialah baitul mal umat islam.
al-Imam alQurtubi di dalam tafsirnya menukilkan ijmak fuqahaa' atas riwayat bahawa sayyidina omar bin alKhattab telah menjadikan akilah seorang pembunuh (tersilap membunuh) adalah ahli diwannya, di mana dahulunya akilah seseorang adalah ahli keluarganya di zaman jahiliyyah, kemudian diperakui oleh rasul SAW, demikian juga di zaman Abu Bakar (Akilah adalah ahli keluarga).
2) Mazhab Maliki yang berpendapat bahawa 'Aqilah merangkumi ahli keluarga, Diwan dan Baitulmal. Akan tetapi Diwan didahulukan jika pemberian itu terlaksana, jika tidak kaumnya (ahli keluarga), jika mereka tidak mampu, dipikul oleh baitulmal.
Mazhab Maliki mendahulukam Diwan berbanding ahli keluarga (qarabah). Ia menunjukkan mazhab Maliki sama dengan mazhab Hanafi dari sudut ini, terutama apabila mazhab Hanafi berpandangan pembunuh yang tersilap, jika tidak memiliki diwan, maka aqilahnya ialah qabilahnya.
Dalil bagi ulama mazhab Hanafi dan Maliki yang mengatakan aqilah ditanggung oleh ahli Diwan, antaranya:
i. Riwayat Ibn Syaibah dan Abdul Razaq di dalam Musannaf mereka berdua: orang pertama yang membuat pemberian (berkala) adalah 'Umar bin alKhattab, dan yang pertama menetapkan diat sempurna dalam tempoh tiga tahun.
ii. Hukuman Umar ini beliau lakukan dengan pengetahun para sahabat dan tiada seorangpun dalam kalangan mereka yang membantah. Ini menunjukkan ia adalah ijma'.
iii. Illah kefardhuan diat ke atas akilah ialah alNusrah yang terlaksana dalam kalangan ahli alDiwan. Ini kerana orang-orang Arab dahulunya di zaman jahiliyyah memiliki sebab-sebab untuk alTanasur (التناصر) antaranya adalah dengan sebab keluarga (alQarabah), alWala' dan alHilf (الحلف). Mereka dahulunya akan menunaikan (tanggungan diat) terhadap individu-individu dari kalangan mereka, kerana mengambil kira alTanasur sepertimana mereka akan memnjaga diri mereka kerana alTanasur. Ketikamana di zaman 'Umar, beliau membentuk diwan-diwan, sesama ahli diwan saling membantu antara satu dengan yang lain sekalipun mereka dari qabilah yang berbagai. Justeru Umar menjadikan 'Aqilah adalah ahli diwan.
v. Orang wanita tidak termasuk dalam kalangan akilah disebabkan ketiadaan kemampuan mereka untuk melaksanakan alNusrah. Ini menunjukkan benarnya alNusrah sebagai suatu yang diambil kira dalam menentukan siapa akilah.
3) Mazhab alSyafie dan Hambali yang berpandangan al'Aqilah adalah 'Asabah seseorang yang mewarisi dari jalur bapa dan mereka adalah lelaki, setelah itu alWala', setelah itu baitul mal.
Dalil mereka:
i. Riwayat al-Imam alBukhari daripada Abu Hurairah RA yang berkata: "Rasulullah SAW telah memutuskan pada janin seorang perempuan dari Bani Lahyan yang keguguran dengan diserahkan seorang hamba lelaki atau perempuan. Kemudian wanita yang dijatuhkan hukuman menyerahkan hamba itu meninggal dunia, lalu Rasulullah SAW menetapkan warisnya kepada anaknya dan suaminya. Dan bahawasanya akilah adalah asabahnya iaitulah asabah pembunuh.
ii. Riwayat Imam Muslim daripada Abin alZubair yang mendengar Jabir bin abdillah berkata: "Nabi telah menetapkan atas setiap kematian (pembunuhan tersilap) adalah diat ke atas aqilah."
iii. Mewajibkan aqilah dengan tanggungan diat dengan jalan hubungan silaturrahim. Hubungan harta berhak dengan sebab hubungan keluarga seperti nafkah dan perwarisan. Sepertimana asabah berhak terhadap harta perwarisan maka dialah yang menunaikan diat, bagi setimpal kerugian dengan keuntungan.